10 belia dalam EOT bangkit sedarkan umat tentang planet kita

Menyahut seruan Bapa Suci Fransiskus dalam tema Hari Belia Sedunia tahun ini “Hai anak muda, aku berkata kepadamu, bangkitlah”, Eco-Outreach Team telah memberi inspirasi penjagaan alam sekitar kepada belia dan umat melalui pelbagai aktiviti sepanjang sambutan Hari Bumi Sedunia, 22 April yang lalu.

May 16, 2020

KOTA KINABALU: Menyahut seruan Bapa Suci Fransiskus dalam tema Hari Belia Sedunia tahun ini “Hai anak muda, aku berkata kepadamu, bangkitlah”, Eco-Outreach Team telah memberi inspirasi penjagaan alam sekitar kepada belia dan umat melalui pelbagai aktiviti sepanjang sambutan Hari Bumi Sedunia, 22 April yang lalu.

Eco-Outreach Team (EOT) merupakan komponen penting di bawah Komisi Keadilan Ciptaan Tuhan Keuskupan Kota Kinabalu (Creation Justice Commission/CJC). Mereka bertindak sebagai pelaksana program khusus bagi membantu komisi itu memberi kesedaran penjagaan alam sekitar kepada komuniti.

Kumpulan yang dianggotai oleh 10 orang belia yang datang dari beberapa paroki di bawah keuskupan agung KK telah dibentuk melalui latihan intensif tahun lalu sebagai persiapan mereka untuk misi pelayanan ekologi.

Walaupun Sambutan Hari Bumi pada tahun ini dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun untuk terus memupuk kesedaran memulihara alam sekitar di kalangan umat Katolik maka sambutan Hari Bumi diadakan secara online.

Program Hari Bumi tersebut turut mendapat perhatian dan maklumbalas daripada beberapa pemimpin belia di keuskupan agung Kota Kinabalu. Salah seorang daripadanya, Sr Dora Obod dari Komisi Pastoral Belia Keuskupan Agung Kota Kinabalu berkata dia berasa sangat gembira melihat semangat para belia Katolik yang sangat aktif terlibat dalam aktiviti-aktiviti “care for the environment” yang bermanfaat terutama musim PKP ini.

“Ini sangat sesuai dengan pesan Bapa Suci Fransiskus kepada para belia di seluruh dunia sempena Hari Belia Sedunia 2020 yang berkata, “Bangunlah dari tempat dudukmu jika engkau melihat sesuatu yang indah dan ambillah keputusan bagi dirimu untuk berbuat demikian.

“Apa yang indah membangkitkan ghairah. Dan jika seorang belia itu terpikat pada sesuatu, atau lebih baik, pada seseorang, akhirnya akan bangun dan mulai mengerjakan hal-hal besar; dari yang dulunya mati, boleh menjadi saksi Kristus dan memberikan hidup bagi Dia.”

“Oleh itu belia Katolik dipanggil untuk bersaksi dan bangkit berdiri untuk mempertahankan kehidupan. Maka amat sesuai melihat apa yang dilakukan oleh para belia  terhadap bumi ini yang juga adalah satu tindakan memberi kehidupan. Mencintai bumi bererti menjaga kehidupan agar semua makhluk di bumi ini tetap hidup dan dipelihara sesuai dengan kehendak Tuhan.

“Semoga segala usaha seperti ini diteruskan dan menjadi contoh kepada para belia yang lain untuk sama-sama menjaga bumi ini,” akhiri Sr Dora sambil mengucapkan tahniah kepada CJC.  --CS

Total Comments:0

Name
Email
Comments