10,000 sertai vigil doa untuk Sabah dan barisan hadapan
Peningkatan mendadak kes positif Covid-19 sejak September lalu mengakibatkan kebimbangan dan ketakutan akan masa hadapan di Sabah.
Oct 24, 2020
KARAMUNSING: Peningkatan mendadak kes positif Covid-19 sejak September lalu mengakibatkan kebimbangan dan ketakutan akan masa hadapan di Sabah. Barisan hadapan petugas kesihatan pula sedang bergelut dengan keletihan dan kebimbangan mereka terhadap ratusan kes jangkitan Covid-19 setiap hari.
Mendengar serta menyedari keluhan dan ratapan para petugas kesihatan yang selalu kelelahan serta merindui orang-orang tersayang mereka, Paderi Paroki Katedral Hati Kudus (SHC), Fr Paul Lo terpanggil untuk menganjurkan doa vigil bagi para barisan harapan pada malam Hari Minggu Misi Sedunia, 18 Oktober 2020.
Fr Paul mengamanatkan kepada para belia untuk menguruskan dan melaksanakan program tersebut.
Hari Minggu Misi Sedunia di Katedral Hati Kudus dirayakan dengan memanggil ramai umat, melalui siaran dalam talian, untuk berdoa bagi Negeri Sabah, khususnya para barisan hadapan dan mereka yang dijangkiti Covid-19.
Siaran langsung itu diikuti lebih 10,000 penonton, Fr Joshua Liew terlebih dahulu memberikan katakata aluan dan pemberitahuan akan sesi doa vigil tersebut.
Dua orang doktor memberikan perkongsian mereka bagaimana mereka dalam kepayahan dan kepenatan tetapi komited dalam tugas mereka. Gelombang kedua Covid-19 sangat mencabar kerana dibandingkan pada gelombang pertama, gelombang kedua mempunyai banyak kluster Covid-19 yang sangat aktif, malah banyak daerah di Sabah telah diisytiharkan sebagai zon merah. Antara cabaran lain yang dilalui oleh para petugas kesihatan ialah bekerja lebih masa, memakai peralatan perlindungan diri yang menyebabkan kurang selesa, terpaksa menahan ‘keinginan’ ke tandas, menahan rasa lapar dan dahaga kerana proses pemakaian PPE yang rumit malah ada ramai juga petugas kesihatan yang mengalami iritasi kulit kerana mereka harus membersihkan diri beberapa kali sehari.
Salah seorang belia, Jennifer, memberikan perkongsiannya berdasarkan pembacaan dari Ratapan 3:1726, Mazmur dan Injil Matius 8: 23-27.
“Akibat pandemik, kita selalu bertanya soalan seperti, “Bila saya dapat keluar seperti dahulu? Bila saya dapat menghadapi Misa lagi?” Coronavirus mencetuskan ketakutan – takut akan kehilangan, kematian, rasa tidak selamat dan banyak lagi. Masih adakah harapan pada ketika ini?” luah Jennifer.
Jennifer memetik homili Sri Paus Fransiskus sebelum memberikan berkat luar biasa urbi et orbi pada bulan Mac lalu,”Seperi para rasul di dalam Injil, kita semua terperangkap dalam keadaan yang kacau dan tidak dijangka. Semua kita adalah lemah dan mudah hilang arah seperti para rasul yang berada dalam perahu yang dilanda badai
“Dalam keadaan getir ini juga menyebabkan kita sukar memahami sikap Yesus. Ketika para rasul dalam kerisauan dan tidak tahu apa yang harus dilakukan, Yesus pula sedang tidur tetapi sebenarnya Dia percaya akan keselamatan Bapa-Nya di tengahtengah badai itu. Sebab itulah, ketika Dia bangun, Dia berkata kepada para rasul, “Mengapa kalian takut, hai kamu yang kurang percaya…”
Bagi Jennifer, iman bermula apabila kita menyedari bahawa kita memerlukan penyelamatan. Kita adalah manusia tidak sempurna dan kita memerlukan Tuhan. Mari kita mengajak Yesus untuk bersama-sama dengan kita dalam kehidupan ini. Mari kita menyerahkan ketakutan kita kepada-Nya agar Dia dapat menyembuhkannya.
Seperti para rasul, apabila bersama dengan Tuhan, kita pasti akan terus dapat belayar, kapal kita tidak akan karam. Inilah kekuasaan Tuhan, Dia mampu menjadikan semua yang buruk dan jahat, bertukar menjadi baik. Dia berkuasa meredakan badai, dan di dalam Tuhan, kehidupan tidak pernah berakhir.”
Fr Paul menyampaikan renungannya dalam tiga bahasa. Katanya, “Keadaan sekarang sangat sukar bagi kita. Namun seperti dalam pembacaan pertama hari ini, Nabi Yeremia sendiri pernah menghadapi krisis seakan-akan hari ini. Kerana peperangan, keluarga mereka hancur dan rakyat hilang harapan tetapi mereka tetap bertahan untuk percaya kepada Tuhan.
"Di dalam Injil pula, kita melihat para rasul yang berteriak kepada Yesus kerana kapal mereka digoncang kuat oleh badai, “Apakah Engkau tidak peduli?” Pandemik menyebabkan iman dan harapan kita ‘sehingga kita memikirkan Yesus sedang ‘tidur’ tetapi Injil pada hari ini, menyeru kepada kita agar terus bersandar pada Yesus. Dia tidak tertidur malah dengan kuasa-Nya, Dia tidak akan membiarkan kita ‘tenggelam’!”.
Selepas renungan, para penonton turut hening dan menyertai doa rosari yang dipimpin oleh para belia.
Setiap misterium, didoakan agar pandemik Covid-19 segera berakhir, untuk situasi politik di Sabah, bagi para petugas barisan hadapan, untuk para pesakit dan mereka yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit Covid-19, untuk para paderi dan semua Katolik, agar tekun dalam doa, tabah dalam iman dalam situasi mencabar ini.
Sesi doa malam itu diakhiri dengan berkat pengutusan oleh Fr Russell Lawrine.
Maklum balas program itu mendapat sambutan menggalakkan. Ramai yang berasa dikuatkan kembali dan bersatu dalam doa vigil online tersebut.
Bagi para belia paroki, “Ini adalah yang termampu kami berikan.
Meskipun kita berasa sukar dan takut tetapi dengan kekuatan kesatuan, dalam solidariti doa, kita dikuatkan dan bangkit semula untuk berharap dan berjuang bersama.
“Kita harus terus berdoa kerana doa adalah senjata ampuh pada masa ini.”
Total Comments:0