13 negara sertai Kongres Kerahiman Ilahi di Pulau Pinang

13 negara sertai Kongres Kerahiman Ilahi di Pulau Pinang

Oct 19, 2018

PULAU PINANG: Selepas sebelas bulan merancang, Gereja Divine Mercy CDM) telah berjaya menjadi tuan rumah Kongres Belas Kasihan Asia Apostolik kali keempat (AACOM 4) pada 26-28 Sept.

Diadakan di Pusat Konsyen SPICE, lebih 1,300 pesrta dari 13 negara telah menghadiri kongres ini. Dengan tema, "Mengalami Belas Kasihan melalui Sukacita Injil di Asia", seramai empat orang Uskup Agung, sembilang Uskup, lima Monsignor, 106 Paderi telah memeriahkan lagi kongres ini.

Ia dibuka dengan perarakan membawa bendera yang mewakili Malaysia, Filipina, Indonesia, Guam (AS), Singapura, Thailand, Vietnam, Korea Selatan, Hong Kong, Taiwan, Poland dan Vatikan. Filipina merupakan kontinjen terbesar dalam acara ini.

Dalam ucapan alu-aluannya, Uskup Ruperto Santos, Koordinator Episkopal Kongres Apostolik Dunia tentang Kerahiman Ilahi (WACOM) menyebut bahawa devosi Kerahiman Ilahi merupakan sumber evangelisasi yang cepat bertumbuh di Asia.

Selama tiga hari, kongres Kerahiman Ilahi ini diisi dengan sembilan sesi ceramah, disusuli kesaksian peribadi mereka yang disentuh oleh devosi Kerahiman Ilahi ini.Salah seorang penyampai sesi, Msgr Krzysztof Marcjanowicz, wakil Vatikan dari Majlis Kepausan bagi Mempromosi Penginjilan Baru menyampaikan tentang Kerahiman Ilahi dalam hidup dan penulisan Sto Sri Paus Yohanes Paulus II (JP II). Prelatus itu menceritakan bagaimana kehidupan awal Karol Wojtyla yang bergelut dengan kehilangan bapa dan abangnya serta kesan Perang Dunia kedua yang mematangkan beliau sehinggalah terpilih sebagai Sri Paus. Msgr Krzysztof turut menyebut bahawa JPII merupakan Sri Paus yang memainkan peranan penting dalam kanonisasi Sta Faustina dan mengeluarkan dekri yang menjadikan Hari Minggu Kedua Paskah sebagai Hari Minggu Kerahiman Ilahi.

Pada hari kedua, selepas sesi-sesi utama, beberapa orang pendevosi Kerahiman Ilahi, Peter Chang, seorang usahawan berjaya dari Indonesia telah mengongsikan bagaimana devosi hebat itu telah menyelamatkan keluarganya dalam pelbagai mukjizat. Manakala, Elizabeth Simon, seorang pesara jururawat, bersaksi bahawa Kerahiman Ilahi telah beberapa kali memberi impak dalam hidupnya serta membantunya menghadapi kehilangan anaknya.

Manakala Sr Diana Kuczek, dari kongregasi Sisters of Our Lady of Mercy (Poland) mengatakan devosi kepada Kerahiman Ilahi telah banyak membantunya menghadapi cabaran dalam meneruskan kehidupannya sebagai religius

Kongres Kerahiman Ilahi kali keempat ini agak berbeza dari tiga kongres yang dianjurkan sebelum ini. Para penganjur telah menyediakan tiga aktiviti unik untuk para perwakilan bagi memperdalamkan lagi pengalaman mereka tentang Belas Kasihan Tuhan. Pada petang hari pertama, para perwakilan menyertai perarakan membawa lilin sepanjang satu kilometer mengelilingi pusat konvensyen. Perarakan ini diketuai oleh Nunsio sambil berdoa Kaplet Kerahiman Ilahi.

Pada hari kedua, upacara Sakramen Pengakuan diadakan bagi membantu para perwakilan memperoleh indulgensi plenari yang diizinkan oleh Bapa Suci dengan menyertai perayaan Ekaristi, melakukan Sakramen Pengakuan dan mendoakan intensi-intensi Bapa Suci, serta diberikan sijil perakuan bagi para perwakilan yang menyelesaikan semua karya ini.

Kemudian pada pagi hari ketiga, para penganjur mengadakan perjalanan "Walk of Mercy" yang memberi peluang kepada para peserta bagaimana mereka dapat melaksanakan karya-karya Belas Kasihan dalam kehidupan harian mereka. Selepas itu, mereka menyertai Misa dan mempersembahkan semua intensi khusus mereka kepada Kerahiman Ilahi.

Total Comments:0

Name
Email
Comments