2,000 penziarah raya Ekaristi di puncak Gunung Rosary Ranau

Lebih dua ribu umat Katolik dari seluruh Sabah dan negeri terdekat berhimpun sempena ziarah di Gunung Rosary di Kg Toboh Baru, Ranau pada 31 Ogos lalu.

Sep 14, 2018

RANAU: Lebih dua ribu umat Katolik dari seluruh Sabah dan negeri terdekat berhimpun sempena ziarah di Gunung Rosary di Kg Toboh Baru, Ranau pada 31 Ogos lalu. Sempena perasmian Gunung Rosary ini, para penziarah telah berjalan kaki sambil berdoa sejauh dua kilometer sebelum menyertai Misa Kudus.

Memetik akhbar Utusan Borneo ( 6 Nov, 2017) idea untuk menjadikan Gunung Rosary sebagai pusat ziarah tercetus daripada Paderi Paroki St Peter Claver Ranau (SPCR), Father Nicholas Stephen (Fr Nick).

Ketika mula-mula melayani di paroki itu kira-kira tiga tahun lalu, beliau menyatakan keinginannya untuk memilih sebuah tempat yang sesuai untuk membina tempat ziarah dan berdoa bagi umat Katolik daerah ini.

Selepas melawat umat Katolik di kampung Toboh Baru dan dibawa ke Gunung Modingko, Fr Nick berkenan memilih tempat itu sebagai pusat ziarah di mana penduduk kampung seterusnya menyerahkan pengurusan tanah seluas dua ekar itu kepada Gereja SPCR.

Melalui kerjasama penduduk-penduduk kampung berhampiran, akhirnya Gunung Rosary dapat diziarahi oleh ribuan umat Katolik Fr Nick yang terharu melihat sambutan luar biasa daripada umat mengatakan, "bukan semua orang mempunyai wang, kenderaan untuk datang ke sini jika bukan Tuhan yang memanggil anda. Pada hari ini, anda adalah mukjizat Tuhan, banyak lagi perkara yang boleh dilakukan pada musim cuti ini tetapi anda memilih untuk datang ke sini."

Sempena perayaan 100 tahun penampakan Bonda Maria di Fatima pada tahun lalu, SPCR telah menganjurkan perarakan raksasa dengan mengusung patung Bonda Maria di pekan dan perkampungan.

“Melalui perarakan tahun lalu, ramai orang telah bersaksi bahawa kebanyakan doa mereka telah didengar dan dijawab oleh Tuhan, keluarga yang berpecah belah telah kembali bersatu dan ramai orang yang sesat telah kembali ke jalan Yesus semula,” ujar Fr Nick.

Semasa menyampaikan homilinya dalam Misa Kudus di Gunung Rosary, beliau menjelaskan bahawa sebagai seorang Kristian, kita dipanggil untuk sentiasa berpaut pada salib Tuhan, meskipun salib itu sering diremehkan oleh orang lain, tetapi sejarah membuktikan bahawa salib Yesus telah banyak mengubah dunia.

Kedudukan Gunung Rosary yang menghadap Gunung Kinabalu serta dikelilingi pemandangan cantik kepada beberapa kampung seperti Kampung Kinapulidan, Manantanga, Kibbas, Kinarasan dan Kiwawyoi mampu menggamit ramai umat beriman untuk datang berziarah ke situ.

Ketinggian Gunung Rosary yang melebihi 3,000 kaki dari paras laut dengan keadaan cuaca yang agak sejuk pasti menjadikan kawasan itu sesuai untuk berdoa sambil menikmati ketenangan.

Salah seorang penziarah, Hilary Henry Ripan dari Paroki St Theresa, Serian, Sarawak, pengalaman pertamanya berziarah ke Gunung Ziarah pasti akan dikenang sampai bila-bila.

“Puji dan syukur kepada Tuhan kerana saya dapat menjejakkan kaki ke sini. Saya pasti akan kembali suatu hari nanti. Hilary berasa sangat damai menyertai perarakan yang mengusung patung Bonda Maria dan kehadiran Tuhan amat dirasai melalui cuaca yang baik serta melalui keramahan para penziarah lain biarpun baru pertama kali berada di situ.

Selepas Misa Kudus di Gunung Rosary, Fr Nick menandatangani sebuah plak yang melambangkan pembukaan Gunung Rosary Kg Toboh Baru, Ranau, sebagai pusah ziarah.

Umat yang berminat untuk mengetahui pusat ziarah ini dengan lebih lanjut boleh menghubungi pejabat SPCR di talian 011-2627 1801.

Total Comments:0

Name
Email
Comments