487 warga kampus sertai HWK-22 atas talian

Hari Warga Kampus Ke22 pada tahun ini lebih membantu para pelajar kampus Katolik menerima keadaan masa kini akibat pandemik COVID-19 dan membawa mereka agar terus berani menyahut panggilan dalam norma baharu walaupun menghadapi pelbagai cabaran.

Nov 20, 2020

KOTA KINABALU: Hari Warga Kampus Ke22 pada tahun ini lebih membantu para pelajar kampus Katolik menerima keadaan masa kini akibat pandemik COVID-19 dan membawa mereka agar terus berani menyahut panggilan dalam norma baharu walaupun menghadapi pelbagai cabaran.

Pertama kalinya program HWK-22 tahun ini diadakan secara online melalui penggunaan aplikasi Zoom dan masih mendapat sambutan ramai dengan penyertaan 487 pelajar kampus serta sokongan kehadiran Uskup Keuskupan Agung Kota Kinabalu, Uskup Agung John Wong.

Uskup Agung berkata dia berasa bangga dengan para pelajar kampus kerana berani menerima cabaran untuk menganjurkan HWK-22 yang hanya bergantung sepenuhnya dengan teknologi media.

Prelatus itu mengajak para peserta untuk terus merenung dan mencari mesej Tuhan kepada dunia menerusi pandemik COVID-19 serta menyerahkan kepada Tuhan segala kerisauan yang ada dengan menghidupi tema HWK-22 kali ini.

HWK-22 atas talian ini telah diadakan se lama dua minggu bermula 30 Okt – 1 Nov kemudian bersambung lagi pada 7 Nov – 8 Nov, dengan tema “Bersukacitalah dalam Pengharapan, Sabarlah dalam Kesesakan dan Bertekunlah dalam Doa” (Roma 12:12).

HWK-22 dibuka dengan Misa Kudus atas talian yang dipimpin oleh Father Paul Lo, paderi paroki Katedral Hati Kudus. Banyak pengisian program telah disediakan sejajar dengan tujuan HWK-22. Antaranya adalah topik My Mental Health oleh Sr Suzan Guntabid, FSIC.

Sr Susan mengongsikan 15 distori yang mengganggu kesihatan mental manusia agar para warga kampus dapat melihat penyebab gangguan kesihatan mental terutamanya pada norma baharu ini.

HWK-22 juga menjemput Sdra Alexander Jiran dari paroki Kota Belud memberikan sesi My Faith and Prayer Life.

Alexander mengongsikan pengalaman hidup doanya sendiri dan menekankan bahawa doa adalah komponen yang sangat penting dalam kehidupan seorang Katolik dan perlu disertai dengan iman yang  mampu membuka kesempatan kepada sebuah mukjizat.

Selain itu, peserta juga berkesempatan membuat perkongsian dalam kumpulan kecil, bersama dalam aktiviti pujian dan penyembahan atas talian, games dan sebagainya.

Hal ini secara langsung membantu peserta melepaskan kerinduan mereka dalam pelayanan seperti pelayanan kebiasaan sebelum ini.

Fr Nicholas Stephen juga turut serta dalam HWK-22 ini di mana Paderi Paroki St Peter Claver, Ranau itu memimpin Misa Kudus penutupan program pada 8 Nov.

"Kita adalah bait Tuhan. Bila anda keluar dari universiti, anda menjadi saksi Kristus yang sanggup berkorban dan berani menghadapi cabaran. Jangan takut untuk bersaksi kerana Yesus bersama kalian. Jangan takut kerana Yesus sudah bangkit dan hadir di tengah-tengah kita semua," jelas Fr Nik.

Kesan PKP, ada orang yang mengeluh kepada Fr Nik bahawa Gereja ditutup dan banyak aktiviti Gereja tidak dapat dilakukan. 

Bagi orang itu, ketiadaan Gereja bermakna umat ke neraka! Namun Fr Nik menerangkan, jika tidak ada bangunan gereja, kitalah gereja. Gereja tidak pernah akan dapat ditutup kerana kita Bait Tuhan yang hidup, tetap meneruskan karya-karya keselamatan Tuhan.

Walaupun pengisian program memberi semangat dan membantu iman peserta, namun pelaksanaan program tetap berhadapan dengan beberapa cabaran. 

Cabaran utama semasa pelaksanaan program ini adalah jaringan Internet yang lemah. Namun tidak menjadi penghalang kepada para peserta untuk terus mengikuti HWK-22.

Para peserta tetap bersyukur kepada Tuhan kerana HWK yang disambut dengan meriah pada setiap tahun tetap dapat berlangsung pada tahun ini.

Mereka berkata meskipun hanya secara maya dan bergantung sepenuhnya melalui penggunaan teknologi namun Tuhan tetap berkarya di setiap saat dalam setiap keadaan. — Tim Dokumentasi HWK-22

Total Comments:0

Name
Email
Comments