99 krismawan berterima kasih kepada Roh Kudus

Hari Paroki St. Edmund Kota Belud telah dirayakan pada 27-28 Ogos 2016. Pada hari istimewa itu juga merupakan hari kunjungan pastoral Uskup Agung John Wong.

Sep 23, 2016

KOTA BELUD: Hari Paroki St. Edmund Kota Belud telah dirayakan pada 27-28 Ogos 2016. Pada hari istimewa itu juga merupakan hari kunjungan pastoral Uskup Agung John Wong.

Pada malam 27 Ogos, mereka mengadakan majlis makan malam bersama Uskup di dewan serbaguna St. Edmund lebih kurang jam 6.00 petang.

Bapa Uskup juga mengadakan pertemuan dengan ahli-ahli Masjlis Pastoral Paroki di bilik mesyuarat untuk mendengar dan melihat perkembangan atau aktiviti yang telah dijalankan mahupun yang sedang dirancang di paroki dan di luar stasi St. Edmund.

Dalam majlis makan malam itu Bapa Uskup sempat beramah mesra dengan umat-umat dan bergambar dari meja ke meja di samping menyaksikan beberapa persembahan pentas iaitu tarian Mongigol daripada belia Zon Timbang, rangkaian paluan gong dari Zon Tombulion dan juga nyanyian perorangan termasuk kedua-dua Paderi yang melayani di Paroki Kota Belud.

Kemuncak perayaan Hari Paroki ialah pada keesokan harinya, 29 Ogos yang dimulakan dengan perayaan Ekaristi. Ia dipimpin oleh Uskup Agung John Wong dan dibantu oleh keduadua Paderi Paroki.

Dalam homili Bapa Uskup Agung mengajak semua umat untuk merenung tentang perumpamaan Yesus mengenai pelayanan

Tegasnya, “Di mata Tuhan kita ini semua sama, tiada yang berkedudukan tinggi atau rendah seperti Yesus yang datang untuk melayani dan bukan dilayani.”

Prelatus itu meneruskan lagi homilinya bahawa, “Janganlah kita ikut seperti orang-orang Farisi yang suka meninggikan diri dan suka duduk di tempat yang terhormat. Ingatlah pesan Injil pada hari ini iaitu ‘rendahkanlah dirimu maka kamu akan ditinggikan’. Kita yang berdosa ini dijemput ke perjamuan Tuhan untuk mempersembahkan segala dosa-dosa kita agar diampuni.”

Bapa Uskup Agung juga mengingatkan kepada 99 orang calon Krismawan agar mempertahankan iman mereka dan sentiasa memohon kepada Roh Kudus untuk membimbing hidup mereka dan melayani di gereja di mana sahaja berada.

Dalam ucapan Bapa Uskup berikutnya menyarankan empat perkara berikut bagi pemantapan iman iaitu pertama membaca firman, kedua menerima sakramen Tuhan, ketiga patuh kepada hukum Tuhan dan keempat mewartakan sabda Tuhan.

Paderi Paroki St Edmund, Fr. Ambrose dalam ucapannya berterima kasih kepada semua yang terlibat dalam mempersiapkan perayaan ini, beliau juga berdoa agar semangat ini akan terus berkembang sehingga menjadi tradisi hidup menggereja umat paroki St. Edmund Kota belud. Sdra Jinuin Victor selaku pengerusi MPP dalam ucapannya bersyukur dan berterima kasih kepada Bapa Uskup Agung atas kehadirannya untuk menyempurnakan penerimaan Sakramen Penguatan dan kepada keduadua Paderi St Edmund, di atas sokongan mereka dalam menjayakan Hari Paroki ini.

Menurut Sdra Jinuin, menganjurkan perayaan seperti itu adalah kesempatan baik bagi umat untuk memperbaiki kelemahan dan mengukuhkan lagi kerjasama.

Selesai Misa semua umat beredar ke dewan untuk acara pemotongan kek oleh para krismawan bersama Bapa Uskup Agung. Uskup Agung John Wong juga sempat melawat khemahkhemah yang mewakili setiap zon dan mencuba permainan tradisi.--Alfred Tining

Total Comments:0

Name
Email
Comments