Anugerah damai sejahtera Yesus

Beberapa tahun lalu, saya menghadiri sebuah simposium di mana kami membincangkan mengenai pergelutan iman yang dialami oleh kebanyakan kaum muda pada hari ini.

Apr 25, 2014

Beberapa tahun lalu, saya menghadiri sebuah simposium di mana kami membincangkan mengenai pergelutan iman yang dialami oleh kebanyakan kaum muda pada hari ini.

Salah seorang peserta Oblate dari Kanada, menceritakan pengalaman beliau dalam hal ini. Katanya, “Saya melayani sekumpulan mahasiswa sebagai paderi rohani. Mereka mempunyai semangat hidup, penuh tenaga dan pelbagai pesonaliti yang hanya mampu saya cemburui.

Namun di sebalik semangat dan tenaga ini, saya menyedari bahawa mereka kekurangan harapan kerana mereka tidak berpegang kepada suatu harapan teguh yang unggul.

Mereka tidak mempunyai kisah hebat atau visi teguh untuk menguatkan semangat mereka semasa menghadapi saat-saat suka dan duka di dalam hidup mereka.

Apabila kesihatan mereka baik, persahabatan mereka berjalan lancar dan kehidupan seharian mereka tidak bermasalah, mereka berasa gembira dan penuh dengan semangat.

Ketika berlaku sebaliknya iaitu apabila timbul masalah yang benarbenar mencabar, mereka mudah buntu, lemas dan tidak dapat keluar dari masalah tersebut. Mereka langsung tiada semangat atau harapan untuk menghadapi situasi tersebut.” Perkara penting yang beliau huraikan ini mungkin boleh disimpulkan sebagai “Damai sejahtera yang dapat diberikan oleh dunia kepada kita.”

Sebelum diangkat ke syurga, Yesus memberikan dua jenis kesejahteraan iaitu kesejahteraan yang Dia tinggalkan untuk kita dan kesejahteraan yang dunia dapat berikan kepada kita.

Apakah perbezaan dua jenis kesejahteraan ini? Kesejahteraan yang dapat diberikan oleh dunia kepada kita bukanlah damai yang negatif atau jahat. Kesejahteraan ini sememangnya benar dan baik namun lemah serta tidak memadai. Ia lemah kerana dengan mudah dapat diambil dari kita. Kesejahteraan yang kita alami di dalam hidup seharian kita biasanya dikaitkan dengan kesihatan yang baik, disayangi dan rasa selamat.

Namun semua ‘kesejahteraan’ ini mudah berkecai. Tanpa disangka, segalanya akan berubah dengan sekali lawatan kepada doktor, rasa pening yang tidak dijangka, tiba-tiba diserang sakit dada, kehilangan pekerjaan, keretakan perhubungan, kes bunuh diri seorang yang kita kasihi atau pelbagai jenis penipuan yang melemahkan kita.

Kita cuba untuk mengambil langkah- langkah tertentu untuk menjamin kesihatan, keselamatan dan kepercayaan di dalam perhubungan namun kita hidup dengan timbunan kerisauan kerana tahu bahawa semua jaminan tersebut tidaklah sekukuh mana.

Kita hidup di dalam pelbagai kerisauan. Malah, kesejahteraan yang kita alami di dalam hidup seharian sentiasa diiringi dengan kesukaran. Henri Nouwen menghuraikan konsep ini seperti berikut: Terdapat sebuah ‘ciri’ kesedihan yang membelenggu di dalam diri kita. Sehingga pada saat-saat kita sedang bergembira, kita masih merasa ada sesuatu yang kurang.

Di dalam setiap kepuasan, yang dikecapi, kita sedar bahawa ia adalah terbatas. Di dalam merangkul kejayaan kita takut orang lain berasa iri hati.

Di dalam setiap persahabatan pasti terdapat perselisihan faham. Di dalam setiap pelukan terdapat rasa kesepian. Di dalam hidup ini, tidak ada satu pun yang boleh dikatakan sebagai kegembiraan sejati dan pasti. Setiap detik kehidupan kita pasti digamit kematian. Dunia ini boleh memberikan damai sejahtera tetapi bukan dalam bentuk yang sempurna.

Damai sejahtera yang Yesus berikan adalah teguh, mengatasi rasa takut dan gelisah. Damai sejahtera Yesus bukan berkaitan dengan rasa sihat, keselamatan dan rasa dikasihi di dalam dunia ini. Apa makna sebenar damai sejahtera ini? Semasa Perjamuan Terakhir dan di ambang kematian-Nya, Yesus memberikan hadiah damai sejahtera.

Apakah damai sejahtera ini? Ia adalah jaminan mutlak bahawa kita dihubungkan dengan Sumber Kehidupan. Maka di dalam cara ini, tidak ada satu pun yang dapat memutuskan perhubungan kita dengan sumber kehidupan.

Kesihatan buruk, pengkhianatan seseorang atau dosa juga tidak dapat memisahkan kita dari Sumber Kehidupan. Kita dikasihi tanpa syarat dan diteguhkan oleh sumber kehidupan serta tidak ada apa yang dapat mengubahnya. Tidak ada apa yang boleh mengubah cintakasih tanpa syarat Tuhan terhadap kita. Inilah harapan unggul yang diperlukan dan sebagai penghibur semasa menghadapi masa sukar dan gembira di dalam hidup kita. Kita adalah seperti artis di dalam sesebuah drama.

Pada akhir skrip tersebut, ia akan tamat dengan cerita yang gembira. Kita tahu bahawa kita akan menang di akhir cerita namun sebelum tiba pada penamatnya, kita akan menempuh beberapa babak sukar.

Sekiranya perkara ini disemat dengan teliti di dalam minda, kita akan lebih sabar di dalam menghadapi tragedi sukar yang menjatuhkan kita. Kita akan diteguhkan oleh sumber kehidupan iaitu Tuhan sendiri di dalam cintakasih-Nya yang tidak bersyarat. Sekiranya kita menerapkan hal ini di dalam hati, kita akan mempunyai satu jaminan dan damai sejahtera di dalam hidup meskipun kita menghadapi kegagalan semasa muda, kesihatan yang kurang memuaskan, kehilangan reputasi, ditipu oleh rakan, kes bunuh diri seorang yang kita kasihi, dosa dan pengkhianatan. Julian dari Norwich menyatakan, pada akhirnya, semua tragedi akan menjadi tenang kembali dan semua perkara akan kembali seperti biasa serta setiap tabiat manusia juga akan menjadi baik. Dan kita memerlukan jaminan ini.

Kita hidup dengan kebimbangan yang berterusan kerana berasa kesihatan, keselamatan dan perhubungan kita mudah retak serta rasa damai di dalam hidup mudah hilang.

Selain itu, kita juga hidup dengan menyesali dosa-dosa dan pengkhiatan kita. Dan kita lebih banyak dirundung rasa gelisah mengenai perhubungan yang terputus, rasa terluka dan kecewa kerana seseorang yang membunuh diri.

Damai sejahtera dari dunia ini sesungguhnya rapuh dan membimbangkan. Kita perlu untuk menghargai serta mendalami makna hadiah perpisahan dari Yesus kepada kita: Kesejahteraan Aku tinggalkan dengan kamu yang tidak dapat diambil oleh sesiapa pun: Ketahuilah bahawa anda amat dikasihi tanpa syarat oleh-Nya. -- Fr Ron Rolheiser @ Hakcipta Terpelihara 1999-2014

Total Comments:0

Name
Email
Comments