Apa yang mereka ingin beritahu dunia tentang Tuhan?

Dalam sebuah video singkat, Lenice, Serena, Chelsea, Charlton dan Aline mengongsikan impak dan makna kasih Tuhan terhadap mereka.

Jun 20, 2020

KOTA KINABALU: Jika anda mempunyai peluang untuk memberitahu dunia tentang kasih Tuhan, apakah yang kamu ingin katakan? Inilah persoalan yang dikemukakan kepada beberapa orang belia paroki Katedral Hati Kudus, Kota Kinabalu. Dalam sebuah video singkat, Lenice, Serena, Chelsea, Charlton dan Aline mengongsikan impak dan makna kasih Tuhan terhadap mereka.  Perkongsian ini adalah sahutan mereka terhadap pembacaan Injil pada Hari Raya Tritunggal Mahakudus. Berikut merupakan perkongsian mereka

Lenice: Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memberitahu sesama bahawa Tuhan tidak pernah mahu kita menderita.  Penderitaan bukanlah rencana Tuhan, Dia mencipta kita kerana Dia mengasihi kita. Tetapi bagi yang jatuh ke dalam dosa, Yesus tidak membiarkan kita terus tenggelam. Ketika kita mengalami kesukaran dan sukar merasai kehadiran Tuhan, ingatlah bahawa Yesus, kerana Dia sangat mencintai kita, Dia sanggup menderita dan wafat di kayu Salib. Mari kita berpusat kepada kasih-Nya yang agung itu. 

Serena: Pada suatu ketika dahulu saya beru saha sedaya upaya, menggunakan tenaga saya sendiri untuk dikasihi dan mengasihi. Ini menyebabkan saya cepat berasa letih dan tidak layak. Namun setelah mengenali dan bertemu dengan Tuhan, saya mengalami kasih-Nya yang amat dalam, Dia memberikan saya semangat baru dan mengatakan saya sangat layak menerima kasih-Nya. Dia mengingatkan saya bahawa Dia mengasihi saya bukan kerana kemahiran atau  kebijaksanaan tetapi semata-mata kerana Dia sangat mengasihi saya. 

Chelsea – Kasih Tuhan sangat indah. Pada tahun ini saya mula berdoa setiap hari tanpa gagal. Pada mulanya ia agak sukar tetapi ia sangat berbaloi kerana mengalami kasih Tuhan yang sangat manis dan saya mulai merasa kasih Tuhan itu sangat indah. Melalui doa saya semakin akrab dengan Nya dan dengan relasi yang akrab ini, Dia mendorong saya untuk berhati lembut dan hati kita amat mudah untuk mengampuni mereka yang telah menyakiti hati kita.

Aline: Suatu ketika dahulu, saya merasakan saya selalu tidak cukup bagus dalam semua perkara. Kemudian, pada suatu hari, ketika saya menghadiri Misa Kudus, saya menerima sentuhan daripada Tuhan yang mengubah pandangan dan peribadi saya. Sejak itu, Misa telah menjadi makanan utama saya. Kerana saya, Dia sanggup mati di kayu Salib. Inilah kisah cinta paling agung iaitu Yesus Kristus.

Charlton – Pada tahun 2015-2016, saya mengalami kesukaran kewangan dan keluarga  sehingga saya tertanya-tanya, di manakah Tuhan pada ketika ini. Meskipun sukar tetapi inilah masanya Tuhan memperlihatkan saya akan kasih-Nya melalui rakanrakan sepelayanan. Melalui keprihatinan rakan-rakan, saya menyedari betapa Tuhan sangat memperhatikan saya. Sehingga sekarang, pengalaman ini menjadi peringatan kepada saya bahawa Tuhan sentiasa bersama dengan kita dalam apa pun situasi.

Total Comments:0

Name
Email
Comments