Bagaimana mengatasi kebosanan dalam pekerjaan

Saya diulit rasa bersalah kerana selalu berasa bosan dengan pekerjaan saya. Saya mempunyai pekerjaan yang baik dan gaji yang lumayan.

Mar 28, 2014

Soalan: Saya diulit rasa bersalah kerana selalu berasa bosan dengan pekerjaan saya. Saya mempunyai pekerjaan yang baik dan gaji yang lumayan.

Saya cuba mengatasi rasa bosan ini dengan doa. Adakalanya saya berasa cemburu melihat rakanrakan yang bekerja dengan sungguh- sungguh dan ceria ketika datang ke pejabat.

Saya berniat untuk berhenti kerja tetapi terpaksa membatalkannya kerana ekonomi negara yang merudum. Adakah Fr mempunyai sebarang cadangan? — Rayner Sidek

Jawaban: Sto Ignatius Loyola pernah memberikan nasihat bernas, "Jangan sesekali membuat keputusan atau mengubah keputusan ketika dalam kesedihan."

Nasihat beliau sesungguhnya tepat kerana ketika kita berasa sedih atau tertekan, kita cenderung untuk melihat semua perkara biasa atau menggembirakan sebagai sesuatu yang negatif.

Untuk lebih jelas, kita boleh merujuk di dalam Injil Lukas 24:13-35. Dua orang pengikut Yesus terlalu sedih di atas kematian Yesus sehingga kesedihan itu menyebabkan mata mereka 'tertutup" melihat Yesus. Mata mereka hanya 'terbuka' setelah merayakan Ekaristi bersama-Nya. Sebelum itu, mereka amat sedih kerana Yesus sudah tidak ada lagi di dunia sehingga tidak menyedari bahawa Yesus telah bangkit dengan mulia.

Di dalam hidup kita, sentiasa ada perkara-perkara yang menyebabkan kita bosan, sedih dan murung. Kita boleh menghadapi atau menyelesaikan masalah ini atau lari daripada masalah ini. Sudah tentu, lebih baik kita berhadapan dan menyelesaikan masalah dengan segera.

Orang-orang tua pada zaman dahulu juga menjalani hidup mereka yang penuh kesulitan. Mereka mempunyai pelbagai pepatah dan nasihat sebagai penghiburan atau panduan ketika di dalam kesukaran.

Misalnya orang-orang kuno di Roma mempunyai pepatah terkenal "cegah dari awal sebelum parah." Maksud pepatah ini ialah tindakan segera menyelesaikan sesuatu masalah boleh mengelakkan ia menjadi besar.

Manakala orang-orang Cina zaman dahulu juga mempunyai petua berguna bagaimana menghadapi perkara yang anda tidak gemar lakukan. "Belajar mengasihi kerja anda agar ia tidak membebankan hidup anda."

Yesus mengukuhkan lagi kebenaran ini. Tiga jam sebelum kematian- Nya, Dia meminta kita untuk memikul salib kita setiap hari. Ini bermakna, kita harus melaksanakan tanggungjawab kita, termasuklah pekerjaan kita.

'Pekerjaan' sudah dipertanggungjawabkan kepada manusia yang pertama iaitu Adam. Tuhan menempatkan manusia pertama di Taman Eden. Adam diberi pekerjaan atau tanggungjawab "untuk mengusahakan serta memelihara taman itu" (Kel 2:15). Selepas kejatuhan manusia ke dalam dosa, pekerjaan itu menjadi lebih berat dan mencabar.

Seorang Sarjana Alkitab pernah meneliti perintah-perintah Tuhan mengenai pekerjaan. Katanya, tidak ada satu ayat di dalam Perjanjian Baru yang menyatakan bahawa menjalankan pekerjaan adalah mudah. Semua pekerjaan mempunyai kesukaran dan cabarannya yang tersendiri.

Sto Paulus menyatakan, "Lakukanlah semua tugas dengan sepenuh hati, lakukannya dengan sungguh-sungguh untuk dipersembahkan kepada Tuhan bukan untuk manusia. untuk manusia. Ingatlah, kamu akan menerima pahala daripada Tuhan, yang telah disediakan Tuhan untuk umat-Nya. Hal itu demikian kerana tuan yang kamu layani sebenarnya Kristus," (Kol 3: 23-24). Setiap pekerjaan yang kita lakukan memberi peluang untuk kita memperlihatkan cintakasih untuk Tuhan dan sesama terutama terhadap mereka yang bergantung dengan kemahiran serta kecekapan kita.

Satu lagi nasihat berguna daripada Sto Ignatius ialah, "Cintakasih lebih baik dinyatakan melalui perbuatan daripada perkataan."

Anda mungkin bercadang untuk berhenti bekerja atau mencari pekerjaan lain. Tetapi ada satu pekerjaan yang tidak boleh kita lepaskan atau bersara darinya. Ia adalah pekerjaan utama kita iaitu mewartakan Khabar Gembira kepada semua orang. -- Fr Bernard J. McGuckian, SJ, Sacred Heart of Messenger

Total Comments:0

Name
Email
Comments