Bangkitlah belia!

Tema Hari Belia Asia 2014 di Korea Selatan pada bulan Ogos lalu iaitu, "Bangkitlah, belia!" telah menjadi tema kepada kem belia yang dianjurkan bersama oleh belia-belia dari Gereja Holy Family, Kajang dan Gereja St. Francis of Assisi, Cheras.

Dec 18, 2014

KAJANG: Tema Hari Belia Asia 2014 di Korea Selatan pada bulan Ogos lalu iaitu, "Bangkitlah, belia!" telah menjadi tema kepada kem belia yang dianjurkan bersama oleh belia-belia dari Gereja Holy Family, Kajang dan Gereja St. Francis of Assisi, Cheras.

Kem belia ini telah diadakan pada Nov 28-30 dan dinamakan sebagai Seminar Kebangunan Rohani dan Peneguhan Iman Belia Kristian. Bertempat di Gereja Holy Family, Kajang, tujuan seminar ini adalah sebagai medium untuk mempelajari dan mengetahui cabaran-cabaran masa kini serta situasi-situasi semasa yang berlaku di Malaysia ketika ini.

Selain itu, seminar ini juga bertujuan untuk mewujudkan semangat kekitaan di kalangan belia yang terdiri daripada pelajar- pelajar universiti/kolej dan belia yang bekerja serta menjadi medium teras dalam memberi pendidikan dan pembentukan iman yang berterusan bagi para belia.

Seramai 73 orang peserta telah menyertai seminar ini dan menghayati tema yang diambil dari petikan Roma 6:8 "jadi jika kita telah mati dengan Kristus, kita percaya bahawa kita akan hidup juga dengan Dia".

Ia merupakan seruan kepada para belia untuk menyedari cabaran- cabaran masa kini agar mereka berani bangkit dan mempertahankan iman Kristiani mereka. Bagi memantapkan lagi objektif seminar, Fr. Justin Joannis SJ telah dipanggil untuk menyampaikan ceramah-ceramah yang membuka mata semua belia berkenaan isu-isu yang jarang diperdebatkan di kalangan belia Kristian. Sesi-sesi berkenaan menjadi hangat lagi dengan adanya sesi soal jawab yang memberi peluang kepada para belia untuk mengajukan persoalan- persoalan mereka mengenai isu-isu tersebut. Malahan, terdapat juga sesi yang santai tetapi mendidik belia seperti menonton wayang tentang hak asasi manusia dan kekeluargaan serta sesi 'Talent Time' untuk mengetengahkan bakat-bakat terpendam di kalangan belia.

Dengan sokongan yang padu daripada Fr. George Harrison selaku Paderi Paroki Holy Family, Kajang, beliau menyeru kepada semua belia yang datang ke Semenanjung Malaysia agar menjadi rasul dan saksi Yesus melalui penglibatan dalam aktiviti Persatuan Pelajar Katolik di kampus dan program-program belia yang dianjurkan Gereja. Beliau juga mendorong para belia agar mendekati rakan-rakan yang tidak datang ke gereja dengan berkongsi renungan Alkitab, buletin gereja dan Herald.

Seterusnya, Fr. George mengedarkan buku-buku yang mengandungi doa-doa pedoman harian dan persoalan-persoalan lazim dalam gereja kepada para peserta.

Selain itu, Sdr Becker Ray Benedict yang merupakan salah seorang wakil belia Malaysia ke Hari Belia Asian telah menyampaikan perkongsian beliau tentang pengalamannya yang penuh bermakna sepanjang menyertai acara yang bukan calang-calang itu.

Tidak dilupakan juga perkongsian- perkongsian daripada para peserta tentang perjalanan iman mereka dan cabaran-cabaran yang mereka hadapi dalam hidup. Iman mereka dimantapkan lagi dengan sesi refleksi batin, sesi sakramen pengakuan dosa dan pemberkatan dalam Misa Kudus.

Bagi pihak komiti pelaksana kem belia ini, setinggi-tinggi penghargaan kepada pengerusi KUBM Holy Family, Kajang iaitu, Dr. Jiloris F. Dony dan isteri, Paderi Paroki Holy Family, Kajang, Fr. George Harrison, Paderi Paroki St. Francis of Assisi, Cheras, Fr. Andrew Manickam, dan juga Fr. Justin Joannis SJ selaku penceramah utama atas segala sumbangan dan sokongan yang tak terhingga. -- Brenda Alpheus

Total Comments:0

Name
Email
Comments