Bapa Suci hantar bantuan pada mangsa tsunami Palu, Indonesia

Bapa Suci hantar bantuan pada mangsa tsunami Palu, Indonesia

Oct 12, 2018

KOTA VATIKAN: Sri Paus Fransiskus memberi sumbangan kepada mangsa tsunami, agar para mangsa dapat membina kehidupan semula selepas bencana gempa bumi dan tsunami yang melanda persisiran pantai Sulawesi dan menyebabkan lebih 1,400 orang mati.

Sri Paus mengirim $100,000 bantuan pemulihan melalui Vatican Dicastery untuk Pembangunan Manusia pada 4 Oktober untuk memberi bantuan kecemasan dan perubatan.

Gempa bumi berukuran 7.5 magnitud melanda pulau Sulawesi pada petang 28 September lalu, menyebabkan gelombang tsunami setinggi 20 kaki melanda persisiran bandar Palu, disusuli tanah runtuh.

Hampir satu minggu selepas bencana itu, ramai orang hilang atau cedera, dan puluhan ribu rakyat Indonesia telah dipindahkan dari rumah mereka.

Antara yang hilang ialah 52 orang pelajar sekolah Katolik dan Protestan yang menghadiri retret hujung minggu di mana gempa bumi menyebabkan gereja runtuh. Tiga puluh empat mayat ditemui dalam runtuhan gereja beberapa hari selepas itu.

Khidmat Bantuan Katolik, Caritas Itali dan Dana Bantuan Antarabangsa Katolik Scotland juga menyalurkan dana bantuan dan pasukan untuk menangani keadaan kecemasan Indonesia.

“Gambar-gambar yang disiarkan mengenai Palu sungguh mengerikan dan membawa kembali kenangan kehancuran yang disebabkan oleh gempa bumi dan tsunami pada tahun 2004,” kata Yenni Suryani, pengurus Khidmat Bantuan Katolik di Indonesia.

Sri Paus Fransiskus turut mendoakan orang-orang Indonesia semasa doa Angelus pada30 Sept, prelatus itu mendoakan mereka “yang meninggal dunia, yang begitu ramai, bagi mereka yang cedera, dan mereka yang telah kehilangan tempat tinggal dan pekerjaan.”

“Semoga Tuhan menghibur mereka dan menyokong usaha-usaha mereka yang berusaha membawa bantuan,” doa Fransiskus. — CNA/EWTN

Total Comments:0

Name
Email
Comments