Baptisan baru diharap jadi utusan Tuhan yang aktif

Setelah tertangguh lebih kurang lima bulan angkara Pandemik Covid-19, akhirnya Komiti Katekatikal Paroki St Peter Bundu yang diselaraskan oleh Kat.

Sep 19, 2020

KUALA PENYU: Setelah tertangguh lebih kurang lima bulan angkara Pandemik Covid-19, akhirnya Komiti Katekatikal Paroki St Peter Bundu yang diselaraskan oleh Kat. Jaffery Singli dapat meneruskan upacara pembaptisan yang dilaksanakan oleh Paderi Paroki sendiri, iaitu Rev. Fr. Clement Abel.

44 orang calon baptis IKD dan 8 orang calon Krisma khas tetap bersemangat walaupun pembaptisan mereka tertangguh sekian lama.

Lebih manis lagi tarikh pembaptisan mereka jatuh pada Hari Kebangsaan yang disambut setiap 31 Ogos.

Tiada keluhan atau rasa gundah di wajah mereka, semuanya tersenyum gembira penuh debaran menunggu waktunya mereka akan dibaptis. Setelah mempelajari ajaran Katolik selama setahun, pembelajaran mereka terhenti secara tiba-tiba kerana kerajaan melaksanakan PKP bagi memerangi wabak Covid-19.

Namun mereka tetap bertekad dengan penuh  kesabaran menunggu hari yang sangat bermakna bagi mereka. Komiti Katekatikal dengan kerjasama paderi paroki terlebih dahulu mengadakan rekoleksi singkat  untuk persiapan mereka yang terakhir sebelum menerima pembaptisan.

Di dalam ucapannya, Fr Clement berpesan kepada semua baptisan baru supaya terus setia mengimani Yesus serta  terus mendalami pengajaran Yesus.

Beliau juga berharap semoga ada baptisan baru yang mahu menjadi pelayan di gereja. Kepada Komiti Katekatikal, beliau merakamkan ucapan penghargaan kerana telah melakukan yang  terbaik sehingga terlaksananya pembaptisan walaupun dalam keadaan norma baharu. 

Beliau berharap agar para pembimbing terus bersemangat melaksanakan pelayanan mereka di masa hadapan. Penghargaan juga, beliau berikan kepada semua pihak yang terlibat dalam upacara tersebut termasuklah para penanggung, sister dan katekis juga para belia yang membantu dalam koir.

Selesai misa pembaptian, Fr. Clement menerima sumbangan  kasih daripada semua baptisan baru dan penerima Krisma khas yang dikumpulkan di dalam sampul dan diserahkan oleh Kat. Jaffery Singli. Sebelum pulang, Fr. Clement bergambar bersama semua baptisan baru di dalam gereja. –– Marcus Angang

Total Comments:0

Name
Email
Comments