Belia Telupid sambut Salib SYD-5 dari Mission Paitan

Pada 10-12 Mei yang lalu telah berlangsungnya program Telupid Parish Youth Day (TPYD) di Paroki St. Martin, Telupid yang di sertai lebih 180 orang belia dari seluruh paroki dan luar stasi.

Jun 13, 2019

TELUPID: Pada 10-12 Mei yang lalu telah berlangsungnya program Telupid Parish Youth Day (TPYD) di Paroki St. Martin, Telupid yang di sertai lebih 180 orang belia dari seluruh paroki dan luar stasi.

Tema SYD-5 iaitu Lukas 1:38, “Aku ini adalah hamba Tuhan; jadilah padaku menurut perkataan-Mu itu”, telah menjadi pilihan bagi tema sambutan perayaan 2 dalam1 ini. Sambutan penerimaan Salib Belia dan Ikon Bonda Maria dari Mision Paitan dirayakan bersama-sama dengan program TPYD ini.

Misa harian bagi pembukaan program TPYD ini telah diselebrankan oleh Fr. Jasery G. Emmanuel pada 10hb Mei. Hari pertama program, pada sebelah malam, sesi “Apa itu SYD?” telah disampaikan oleh Sdri Fetwinda. Ini disusuli penyampaian taklimat ringkas tentang perjalanan program pada keesokan harinya.

Keesokan harinya, 11 Mei, program diteruskan dengan sesi input sementara menunggu ketibaan Salib Belia. Padas hari itu, lebih 200 orang belia dan umat telah berkumpul bagi menyambut ketibaan Salib Belia SYD-5 dari Mision Paitan.

Rombongan dari Paitan tiba pada pukul 11.40 pagi yang diketuai oleh Sdra Daniel, Koordinator Kerasulan Belia Katolik Mision Paitan. Ketibaan Salib Belia ini disambut dengan paluan gong dan tari-tarian. Salib diarak masuk dari luar pagar sehingga masuk ke dalam perkarangan Gereja. Sebelum diarak ke dalam Gereja, umat dipersembahkan dengan tarian tradisional suku kaum Dusun Labuk iaitu Tarian Magalai daripada belia St.Martin, Telupid.

Misa Kudus dipimpin oleh Father Jasery G. Emannuel. Selepas menyampaikan homily, dua orang belia dari Mision Paitan mengongsikan pengalaman mereka bersama Salib Belia di tempat mereka.

Setelah Misa Kudus, para belia dan umat dijamu di dewan dan acara diteruskan dengan persembahan daripada para belia St. Martin, Telupid dan belia Mision Paitan.

Hadirin juga menyaksikan upacara penyerahan buku harapan SYD-5 daripada koordinato Mision Paitan kepada ko-ordinator belia St. Martin, Telupid untuk diisi dengan gambar aktiviti belia Telupid bersama dengan Salib Belia sepanjang Salib tersebut berada di paroki Telupid.

Selepas fellowship, sesi-sesi seperti “Isu dan cabaran belia” dan “Peranan ibu bapa” di ketengahkan bagi memupuk persefahaman antara ibu bapa dan belia dalam pelayanan masing-masing.

Pada sebelah malam, acara Youth Night menyerlahkan bakat belia yang membuat persembahan spontan mengikut zon masing-masing. Selepas itu, para belia berhimpun di Gereja bagi upacara Adorasi dengan Salib Belia.

Hari terakhir program TPYD, 12hb Mei, dimulakan dengan pertemuan tujuh langkah yang dibimbing oleh Sdra Pianus Laniu.

Kemudian para peserta menyertai Misa Kudus yang dipimpin oleh Father Stanley Matakim. Fr Stan menyeru para belia agar lebih ramai sanggup untuk melayani di dalam gereja. Selepas Misa, Fr Jasery dan Fr Stan, masingmasing menyampaikan sesi bertajuk, “Tanggungjawab komuniti” dan “Belia yang diutus.”

Program TPYD berakhir pada pukul 12.00 tengah hari. Kesemua belia yang mengikuti program TPYD dan sambutan Salib Belia SYD-5 ini menyatakan yang mereka berasa teruja untuk lebih mengenal Salib ini dengan lebih dekat dan mereka tidak sabar ke Paroki Papar dan Limbahau pada tahun hadapan untuk merayakan SYD-5.

Salib Belia SYD berada di paroki Telupid selama tiga minggu dan telah dibawa ke dua buah zon utama manakala dua zon utama lagi, datang menziarahi Salib di Gereja St Martin. -- Girald Palipus

Total Comments:0

Name
Email
Comments