Berjalan dengan yakin ke arah Yesus

Apapun andaian kita mengapa Yesus berjalan di atas air, yang jelas Yesus mempunyai mesej dan tujuan tertentu bagi kita pada hari ini.

Aug 08, 2020

HARI MINGGU BIASA KE-19 TAHUN A
1RAJA 19:9A11-13A; ROMA 9:1-5; INJIL MATIUS 14:22-23

Kisah Injil minggu ini sangat menarik dan dramatik – Yesus berjalan di atas air. Bukan air yang tenang tetapi di atas air yang bergelora. Saya pernah bertanya kepada para peserta kursus katekis mengapa Yesus berjalan di atas air? Semua diam. Namun ada seorang yang agak lucu orangnya menjawab dengan muka selamba, “Sebab Yesus tidak pandai berenang.”

Apapun andaian kita mengapa Yesus berjalan di atas air, yang jelas Yesus mempunyai mesej dan tujuan tertentu bagi kita pada hari ini. Apabila Yesus berjalan di laut Galilea sekitar jam tiga pagi, para murid-Nya menyangka Dia adalah hantu.

Tetapi Petrus mengenali-Nya lalu mohon agar dia dibenarkan untuk dapat berjalan di atas air untuk merasakan sendiri mukjizat tersebut. Sikap Petrus tersebut sungguh manusiawi sama seperti kita ingin melihat sendiri tanda-tanda dan mukjizat dari Tuhan sendiri. Inilah sebabnya mengapa banyak tempat yang ada penampakan dan banyak mukjizat terjadi didatangi oleh banyak orang Kristian dan bukan Kristian, untuk mengalami dan melihat sendiri keajaiban tersebut.

Kisah tentang nabi Elia dalam bacaan pertama tadi merupakan  gambaran sikap kita yang suka pada hal-hal yang ajaib. Tindakan bahawa apabila Tuhan menyuruhnya ke gunung Karmel, kerana Dia akan melewati tempat tersebut, Elia berharap akan terjadi suatu kuasa syurgawi di mana terdapat pelbagai kejadian aneh yang terjadi. Namun Tuhan tidak muncul melalui ribut petir, gempa bumi atau cahaya yang bergemerlapan. Dia datang melalui angin sepoi-sepoi bahasa bagaikan bisikan yang sangat halus, sangat sederhana dan sangat tenang.

Pesan diterima oleh nabi Elia tersebut juga ditujukan kepada kita semua. Bahawa Tuhan tidak kita temui hanya melalui kejadiankejadian yang hebat, dramatik dan yang mengujakan tetapi melalui kehidupan harian kita yang sederhana yang biasanya membuat kita terlepas pandang akan kehadiran Tuhan di hadapan mata kita.

Pesan kedua sehubungan dengan Injil tadi adalah mengenai iman kepercayaan. Ketika Petrus merasa ketakutan disebabkan ribut dan ombak yang besar itu, maka imannya mulai goyah sehingga Yesus mengecamnya: “Hai orang yang kurang percaya, mengapa engkau bimbang?” (ay 31). Namun bukankah kita pun seringkali bersikap seperti Petrus? Apabila segalanya  berjalan baik, kita lupa pada Tuhan? Tetapi apabila masalah menimpa kehidupan kita silih berganti bagaikan gempa dan tsunami, baru kita ingat Tuhan?

Fr. Albert Cylwicki di dalam bukunya His Word Resounds menulis: “Selagi Petrus menumpukan perhatiannya kepada Tuhan, segalanya berjalan dengan lancar. Tetapi segera dia melupakan tentang Yesus dan bimbang tentang angin tersebut, dia mulai tenggelam. Mungkin inilah yang dikatakan iman itu. Kita tetap menumpukan tumpuan kepada Tuhan walau apa pun yang terjadi di sekitar kita!”

Pada zaman Matius, melihat kisah Petrus pada hari ini sebagai gambaran pengalaman komuniti Kristian di zamannya. Mereka bagaikan para rasul di dalam perahu tersebut.

Mereka mengalami pelbagai tekanan hidup yang tidak bersahabat dengan mereka. Mereka takut kerana Yesus tidak bersama dengan mereka. Namun walaupun Dia tidak bersama dengan mereka, tetapi secara misteri, Dia tetap berada di antara mereka menguatkan iman mereka dan membimbing mereka di dalam misi kehidupan mereka.

Jadi, sebenarnya tiada sebab mengapa mereka takut dan kurang  semangat sebaliknya mereka sebenarnya mempunyai banyak alasan untuk bersyukur sebab Yesus sentiasa berada bersama-sama mereka.

Sebagai komuniti Kristian yang hidup pada zaman kita ini, mungkin kita pun merasakan pengalaman seperti komuniti Matius di zamannya itu.

Hidup bergerak dengan cepat sehingga kita merasakan kita tidak sanggup lagi untuk mengejarnya. Angin berubah meniup begitu kuat sekali sehingga kita tidak dapat menempatkan diri kita sesuai dengan tuntutan zaman. Fikiran anakanak generasi baru begitu dipengaruhi oleh dunia digital sehingga kita yang masih berada di dunia analog tidak sesuai lagi dengan dunia yang sudah bersifat global walaupun melakukan secara lokal.

Kita mula merasakan bahawa kemajuan teknologi mula meminggirkan Tuhan di tepi kehidupan dan  bukan lagi di tengah-tengah kehidupan.

Di kebanyakan belahan dunia kita ini dilaporkan sudah ramai umat Kristian mula tidak mengamalkan iman kepercayaan mereka. Sementara media dan komunikasi moden berlumba-lumba menyebar luas nilai-nilai sekular yang bertentangan dengan moral Kristian, dibawa masuk langsung ke dalam rumah kita melalui alat-alat yang canggih seperti radio, TV, telefon, ipad, iphone, Internet dan macammacam lagi.

Pada zaman moden ini, kita berasa kalah, terumbang ambing di antara iman dan kebimbangan. Tetapi jangan sampai kita tenggelam pula. kerana kerisauan sebaliknya beranilah memohon, “Tuhan, selamatkanlah kami.” Dan Tuhan pasti menjawab, “Aku menyertai kamu senentiasa sampai akhir zaman” (Mat 28:20). — santapan rohani

Total Comments:0

Name
Email
Comments