Bersiap sedialah kerana kita tidak tahu waktunya Tuhan datang

Dalam hidup kita di dunia ini banyak perkara yang boleh berlaku dan mengancam kehidupan manusia, tanpa kita sedari.

Nov 14, 2014

HARI MINGGU KE-32
MASA BIASA
Kebijaksanaan 6: 12-16
1 Tesalonika 4:13-18
Injil: Matius 25:1-13

Dalam hidup kita di dunia ini banyak perkara yang boleh berlaku dan mengancam kehidupan manusia, tanpa kita sedari.

Seperti kata pepatah yang selalu kita dengar: malang tidak berbau. Setiap hari kita membaca berita- berita dalam surat khabar mengenai kematian kanak-kanak, remaja dan dewasa yang disebabkan oleh pelbagai macam kemalangan.

Kenyataannya kematian tidak memilih umur. Maka mengambil sikap dan langkah berhati-hati dan bersiap sedia dalam kehidupan setiap hari untuk menghadapi apa sahaja yang mungkin akan terjadi tanpa kita sangka-sangka merupakan suatu tindakan yang bijaksana. Demikian juga dalam perjalanan iman, kita perlu bersiap sedia setiap hari untuk menyahut kehendak Tuhan.

Firman Tuhan hari ini mengingatkan kita supaya mengamal sikap selalu bersiap sedia untuk menghadapi hari kedatangan Tuhan.

Perumpamaan yang disampaikan oleh Tuhan Yesus dalam bacaan Injil hari ini adalah bertujuan untuk mengajar kita supaya selalu mengamalkan sikap berjaga-jaga dan bersiap sedia dalam perjalanan kita menuju ke destinasi akhir hidup kita di mana kita akan bersemuka dengan Tuhan semesta alam. Sebab kita tidak tahu bilakah hari atau waktunya Tuhan datang pada akhir zaman atau saat akhir hidup kita di dunia ini.

Hidup kita di dunia ini merupakan perjalanan menuju kepada Tuhan. Sepuluh gadis dalam perumpamaan menggambarkan semua kita umat Kristian. Dengan menerima sakramen pembaptisan kita semua memulakan perjalanan iman kita menuju kepada Tuhan Bapa di syurga.

Ia merupakan perjalanan yang penuh dengan cabaran, dugaan, rintangan dan pergelutan. Jika kita tidak mengambil langkah yang bijaksana dan mengamalkan sikap berjaga-jaga dan bersiap sedia besar kemungkinan kita akan gagal memasuki kerajaan syurga. Sama seperti lima orang gadis bodoh itu mereka hanya membawa pelita sahaja bersama mereka tetapi tidak membawa minyak yang mencukupi. Apabila pelita mereka padam kerana kehabisan minyak mereka tinggal di dalam kegelapan dan gagal bertemu dengan mempelai mereka kerana mereka sudah terlalu lambat sampai.

Di dalam perjalanan iman, terutama sekali dalam masa menunggu, kadang kala kita berasa mengantuk dan tertidur oleh sebab kelemahan manusia.

Namun demikian kita masih dapat meneruskan perjalanan jika kita mempunyai kesedaran dan tahu apa yang harus kita lakukan untuk mendapat kekuatan baru dan bangun kembali serta mengambil langkah-langkah yang bijaksana membangun hubungan intim dengan Tuhan melaui pertaubatan sebelum terlambat.

Ada juga orang Kristian yang berpendapat; “Oh saya masih muda. Nantilah ... masa saya berusia 50 tahun barulah saya bertaubat...” Pemikiran seperti ini merupakan perangkap untuk diri sendiri. Bertaubatlah sekarang, jangan berlengah kerana akibatnya anda mungkin akan terlambat!

Bacaan pertama menyatakan bahawa orang yang mencintai kebenaran mudah menemukan kebijaksanaan.

Kebijaksanaan itu senantiasa hadir bagi orang yang sering merenung nilai-nilai baik dalam kehidupan dan mengamalkan sikap berjaga-jaga dan bersiap sedia dalam hidupnya setiap hari.

Sebagai umat Kristian sepatutnya kita tahu tentang kebenaran dan nilai-nilai Injil. Jika kita setia membaca dan bersungguh-sungguh menghayati dan menghidupi ajaran Injil Yesus Kristus sudah pasti kita menjadi orang yang bijaksana (ruj. 7:24-27; Yoh 8:31-32).

Rasul Paulus dalam bacaan kedua memberi keyakinan kepada umat Kristian di Tesalonika bahawa kebangkitan Kristus adalah jaminan bagi mereka akan kehidupan kekal sesudah kematian. Paulus menekankan bahawa melalui pembaptisan kita mati bersama Kristus dan juga turut serta dalam kebangkitan-Nya.

Maka sebagai umat Kristian kita dipanggil untuk hidup bersatu dengan Kristus sebab Dia adalah jalan, kebenaran dan hidup bagi kita. Dialah kebijaksanaan bagi kita.

Jika kita senantiasa bersatu dengan Kristus melalui taat berdoa, taat menghayati Sabda Tuhan dan me rayakan sakramen-sakramen yang menghidupkan iman tentu sekali kita berada dalam keadaan berjaga-jaga dan bersiap sedia dalam menunggu kedatangan Tuhan untuk membawa kita ke syurga. Marilah kita mohon bantuan dan bimbingan Roh Kudus supaya kita senantiasa bersiap sedia dalam hidup setiap hari. -- Fr Boniface Kimsin, Gereja Holy Cross Toboh, Tambunan

Total Comments:1

Name
Email
Comments
Puji Tuhan,