Biarawan Fransiskan dianugerahkan guru terbaik global

Seorang biarawan Fransiskan yang memberikan sebahagian besar pendapatannya kepada golongan miskin telah dianugerahkan anugerah “guru terbaik sedunia”.

Mar 28, 2019

DUBAI: Seorang biarawan Fransiskan yang memberikan sebahagian besar pendapatannya kepada golongan miskin telah dianugerahkan anugerah “guru terbaik sedunia”. Peter Tabichi memenangi Hadiah Guru Global 2019 sebanyak $ 1 juta (£ 760,000) pada 23 Mac lalu.

Guru matematik dan fizik, yang bekerja di sekolah menengah di sebuah kampung terpencil di Lembah Rift Kenya, memberikan 80 peratus pendapatan bulanannya kepada golongan miskin, kata penganjur.

Beliau menerima anugerah tersebut di sebuah majlis di Dubai yang dihoskan oleh bintang Hollywood, Hugh Jackman.

Pendidik berusia 39 tahun itu dipuji kerana pencapaiannya di sekolah terabai, tetapi penuh sesak dengan murid dan hanya mempunyai beberapa buku teks.

Tabichi, atau dikenali sebagai Brother Peter mengatakan, “Bukan semua tentang wang. Setiap hari di Afrika kita mengubah halaman baru dan bab baru ... Anugerah ini tidak mengiktiraf saya sebaliknya mengiktiraf kaum muda di benua yang hebat ini. Saya berada di sini kerana pencapaian pelajar-pelajar saya.”

“Anugerah ini memberi mereka peluang. Ia memberitahu dunia bahawa para pelajar miskin itu boleh berbuat apa-apa sahaja dengan pendidikan,” ujar beliau yang mengalahkan sembilan finalis lain dari seluruh dunia.

Tabichi, mengajar di Sekolah Menengah Campuran Keriko di kampung Pwani, di bahagian terpencil dan separuh kering Lembah Rift Kenya, di mana kemarau dan kebuluran kerap berlaku dan mempunyai ramai anak yatim.

Yayasan Varkey yang berpangkalan di Dubai, pengajur acara itu dan menyampaikan anugerah buat kali lima, memuji dedikasi, kerja keras dan kepercayaan Tabichi pada bakat pelajarnya. — Matters India 

Total Comments:0

Name
Email
Comments