Bual santai doa Bapa Kami bahagian Dua: Dimuliakanlah nama-Mu

Conversation Hour, sebuah siaran langsung Internet yang membincangkan doa Bapa Kami secara santai, kembali menemui para penonton Katolik pada 14 Jun lalu.

Jun 20, 2020

KUALA LUMPUR: Conversation Hour, sebuah siaran langsung Internet yang membincangkan doa Bapa Kami secara santai, kembali menemui para penonton Katolik pada 14 Jun lalu.

Bahagian kedua Conversation Hour menghongsikan bait kedua dalam doa Bapa Kami iaitu “Dimuliakanlah nama-Mu”.

Barisan panel dalam bahagian kedua ini ialah Sdra Spencer Klumai, seorang usahawan dan Pengerusi ABMA/KUBM Kuala Lumpur, Sr Angelina Limban dari kongregasi Gembala Baik, seorang ahli kaunseling bagi belia, kanak-kanak dan wanita, Sr Mary Sualleh dari kongregasi Daughters of St Paul dan Sdri Leah Basilika Simon yang berasal dari Beaufort Sabah, namun kini  bekerja di Kuala Lumpur dan Pengerusi Belia Borneo di Paroki St Francis Xavier , Petaling Jaya.

Memandangkan panel pada minggu lalu, Fr Albeto tidak dapat bersama pada ruangan bahagian kedua, Conversation Hour kali ini dikendalikan oleh Sr Angelina.

Dalam perkongsiannya, Sr Angelina mengaitkan bait “Dimuliakanlah nama-Mu” dengan panggilannya sebagai seorang religius.

“Secara peribadi, saya sangat tersentuh dengan petikan Injil Matus 5:5, 'Berbahagialah orang yang merendahkan hatinya, kerana syurga adalah milik mereka.” Injil ini memberitahu kita bahawa kebahagiaan sejati adalah dengan memuliakan nama-Nya.

Sr Angelina juga mengongsikan, saat beliau mengucapkan doa Bapa Kami, ia selalu mengajak beliau untuk merefleksi siapakah dirinya di hadapan Tuhan, apakah panggilanNya yang Dia ingin saya lakukan?

Mengimbas kembali pelayanannya beberapa tahun lalu di Keuskupan Agung Kuala Lumpur, Sr Angeline pernah melayani di sebuah pusat perlindungan di bawah pentad biran kongregasi Gembala Baik.

Sr Angeline bertugas memberi pelayanan pastoral kepada para mangsa pemerdagangan manusia. Tugas ini amat mencabar Sr Angeline kerana perlu bersabar dengan para mangsa yang mempunyai penderitaan amat mendalam.

“Setiap kali melayani mereka, saya berfikir adakah cukup berasa kasihan sahaja.

Bagi saya memuliakan Tuhan itu adalah sangat luas. Selain membantu mereka yang susah, saya juga sedaya upaya melindungi dan menghormati martabat sesama, mengasihi dan menghiburkan mereka yang sedang meratap. Inilah caranya saya memuliakan Tuhan,” kata Sr Angelina. Bagi Sdri Leah pula, bait “Dimuliakanlah nama-Mu” mengingatkannya kepada pesan  bapanya semasa Leah meninggalkan kampung halaman untuk ke Kuala Lumpur, beberapa tahun lalu. Bapanya berpesan agar, “jaga nama keluarga.”

Sama seperti menjaga nama keluarga, memuliakan Tuhan juga memerlukan disiplin doa yang tinggi. Sebagai belia, Leah mahu terus memuliakan Tuhan dan taat merayakan semua peristiwa-peristiwa wajib Gereja.

“Pada musim PKP lalu, saya berazam akan mengikuti semua Misa harian. Tetapi godaan lain begitu kuat misalnya mahu menonton drama-drama popular. Oleh itu, di sini penting adanya kesatuan dengan sesama kerana kita boleh menegur, mengingatkan dan berkongsi demi memuliakan nama Tuhan dalam rutin kehidupan kita.”

Sr Mary Sualeh pula menceritakan kisah  menariknya tentang nama beliau. Katanya, ibu bapanya bukan Kristian tetapi memberinya nama “Mary”. Nama yang diakui oleh ibu bapanya yang bukan Kristian sebagai nama yang cantik.

Semasa mempersiapkan diri dalam Sakramen Pembaptisan dan kemudiannya Penguatan,  paderi dan Bapa Uskup menasihatinya agar tidak perlu mengubah namanya kerana “nama Mary sudah sangat rahmat!”

Oleh itu, bagi Sr Mary, nama “Maria” dan bait “dimuliakanlah nama-Mu” membawa erti mendalam kerana Maria, perawan termulia mengajar kita memuliakan Tuhan dengan meletakkan firman Tuhan di tempat paling utama dalam hidup kita.

“Bagaimana kita dapat menjaga nama Tuhan? Kita menjaga nama-Nya yang kudus dengan memuliakan-Nya. Sama seperti kita menjaga nama ibu bapa kita, tidak menconteng arang di muka mereka dengan perbuatan yang tidak baik.

“Menghormati Tuhan, merendahkan diri, melayani sesama dan mengamalkan hidup kudus, bukan sahaja memuliakan Tuhan tetapi turut memperlihatkan orang lain, betapa sukacitanya hidup kita kerana kita menyembah dan memuliakan Tuhan yang wafat dan bangkit untuk kita semua!” kata Spencer dalam perkongsiannya.

Conversation Hour, sebuah siaran langsung Internet telah dimulakan oleh  kumpulan Catholic Business Network Malaysia atau Rangkaian Usahawan Katolik Malaysia sejak April lalu.

Enam minggu kemudian, memikirkan keperluan rohani umat berbahasa Malaysia sekitar Keuskupan Agung Kuala Lumpur, Conversation Hour diadakan dalam bahasa Malaysia pada 7 dan 14 Jun lalu melalui laman web sosial Facebook.

Total Comments:0

Name
Email
Comments