CBCMSB bincang persiapan Konvensyen Katolik Malaysia 2026

CBCMSB bincang persiapan Konvensyen Katolik Malaysia 2026

Jan 25, 2019

PLENTONG, Johor: Konferensi para Uskup Katolik Malaysia, Singapura dan Brunei kali ke-103 berlangsung di Pusat MAJODI, pada 7-19 Januari lalu.

Nunsio Apostolik, Uskup Agung Joseph Marino membuka konferensi itu dengan ucapan yang menekankan migrasi dari Malaysia Timur ke Semenanjung Malaysia. Beliau juga mengiakan peranan baik sekolah-sekolah Mision di seluruh negara seperti yang dilaporkan di akhbar baru-baru ini.

Prelatus itu juga menyampaikan seruan Sri Paus Fransiskus yang mencabar para gembala umat Katolik untuk membawa iman ke dalam pelayanan pastoral untuk lebih bersifat misionari pastoral.

Dalam konferensi ini, Uskup Richard Ng dari Miri mengambil alih tugas Setiausaha Episkopal daripada Uskup Agung William Goh. Manakala Charles Bertille, menjalankan tugas sebagai Setiausaha Eksekutif Konferensi yang sebelum ini dipegang oleh Sdri Angila Yong.

Salah satu agenda yang dibincangkan dalam mesyuarat ini ialah perancangan Konvension Pastoral Pan Malaysia 2026 yang akan menggantikan Konvensyen Pastoral Semenanjung Malaysia (PMPC) pada tahun 2016 di mana konvensyen ini turut disertai oleh keuskupan/agung Sabah dan Sarawak.

Setakat ini, sebuah proposal telah dibentangkan termasuklah strategi dan pelan di peringkat Keuskupan dan Paroki untuk menjambatani jurang perbezaan di antara Keuskupan/Agung menuju 2026.

Proposal ini disokong oleh para Uskup/Agung bagi tim yang mengeluarkan pelan dan strategi tersebut meneruskan perbincangan serta rancangan mereka.

Tim itu akan diketuai oleh Uskup Agung Julian Leow dari Kuala Lumpur untuk Semenanjung Malaysia, Uskup Agung John Wong dari Kota Kinabalu mewakili Sabah dan Uskup Joseph Hii dari Sibu mewakili Sarawak.

Para Uskup/Agung turut bertemu dengan ketua-ketua Kongregasi Religius dan memaklumkan para religius Malaysia agar bersiap sedia untuk Perhimpunan Religius Pan-Malaysia yang akan diadakan pada 2022.

Perhimpunan religius peringkat nasional itu merupakan susulan dari Perhimpunan Klerus Katolik Malaysia yang kali pertama diadakan pada Julai 2018.

Total Comments:0

Name
Email
Comments