Conversation Hour versi Kerasulan BM Kuala Lumpur, kongsi keindahan doa Bapa Kami

Conversation Hour, sebuah siaran langsung Internet yang memaparkan beberapa orang paderi, religius dan umat awam bercerita tentang doa Bapa Kami telah dimulakan oleh kumpulan Catholic Business Network Malaysia atau Rangkaian Usahawan Katolik Malaysia sejak April lalu.

Jun 12, 2020

KUALA LUMPUR: Conversation Hour, sebuah siaran langsung Internet yang memaparkan beberapa orang paderi, religius dan umat awam bercerita tentang doa Bapa Kami telah dimulakan oleh  kumpulan Catholic Business Network Malaysia atau Rangkaian Usahawan Katolik Malaysia sejak April lalu.

Enam minggu kemudian, memikirkan keperluan rohani umat berbahasa Malaysia sekitar Keuskupan Agung Kuala Lumpur, Conversation Hour diadakan dalam bahasa Malaysia pada 7 Jun lalu melalui laman web sosial Facebook.

Ia merupakan sebuah segmen santai untuk saling meneguhkan iman, mengongsikan buah fikiran  khususnya tentang doa yang diajarkan oleh Yesus sendiri iaitu doa Bapa Kami.

Untuk siri pertama, para terdiri daripada Father Albeto Sj, Sr Angelina Limban dari Kiulu Sabah, Sdri Leah Basilika dan Sdra Spencer yang berasal dari Sibu tetapi kini melayani di Gereja Our Lady of Guadalupe, Puchong.

Dalam perkongsian mereka tentang bila mulanya mereka mengenal doa Bapa Kami, Fr Albeto menceritakan bahawa orang yang mengajarnya tentang doa Bapa Kami ialah seorang yang bukan Katolik, ketika beliau berusia sekitar lapan tahun. Sr Angelina pula mengatakan beliau mengenal doa Bapa Kami ketika belajar kelas  Komuni pertama, begitu juga dengan Sdr Spencer, namun Spencer menambah, pada ketika itu, dia tidak memahami doa Bapa Kami, sekadar menghafal agar dapat menerima Sakramen Ekaristi. Leah pula dibesarkan dalam keluarga Katolik yang taat berdoa Rosari. Dari situ dia mula mengenal doa Bapa Kami, namun semasa kecil,  dia sekadar melafazkan doa Bapa Kami dan akhirnya mula menghayati doa itu ketika meningkat remaja. Dalam salah satu perkongsian tentang impak doa Bapa Kami, Sr Angelina teringat semasa beliau berusia 15 tahun, ibunya berada di hospital selama tiga bulan.

Dalam tempoh itu, dia tidak dapat melawat kerana jarak hospital yang jauh. Namun Sr Angelina sentiasa berdoa Bapa Kami, berkali-kali dalam sehari kerana doa itu mempersatukan dirinya, ibu dan Tuhan. “Meskipun ibu saya sakit dan terlantar dan tiga bulan tidak dapat bertemu dengannya, tetapi melalui doa Bapa Kami, saya mendoakan kesembuhan, menyentuh dia dan mendakap ibu saya,” kata Sr Angelina.

Menurut Sr Angelina, doa Bapa Kami adalah untuk semua orang, ia menggunakan frasa “Bapa Kami” bukan “Bapa Aku” dan ini menyatakan bahawa kita ada satu Tuhan. Tuhan yang kita doakan dalam doa Bapa Kami merupakan seorang Bapa yang sangat penyayang dan menyertai kita sepanjang segala masa.

Total Comments:0

Name
Email
Comments