Damai sejahtera Tuhan akan melindungi kamu!

“Damai sejahtera Tuhan, yang melampaui segala akal, akan memelihara hati dan fikiranmu dalam Kristus Yesus,” kata Uskup Agung John Wong kepada 95 orang calon Penguatan pada 8 Okt lalu sempena Hari Paroki Holy Rosary, Limbahau (HRL).

Oct 20, 2017

LIMBAHAU: “Damai sejahtera Tuhan, yang melampaui segala akal, akan memelihara hati dan fikiranmu dalam Kristus Yesus,” kata Uskup Agung John Wong kepada 95 orang calon Penguatan pada 8 Okt lalu sempena Hari Paroki Holy Rosary, Limbahau (HRL).

Para calon Penguatan tersebut terlebih dahulu mengikuti Kem Penguatan pada 29 Sept hingga 1 Oktober. Kem persiapan itu menekankan kepentingan hidup doa dalam diri masing-masing khususnya selepas menerima Sakramen Krisma.

Sebelum para calon menerima Sakramen Krisma, di dalam homilinya, Uskup Agung John Wong memberi penjelasan tentang angka tiga seperti yang disebut dalam Injil Matius.

Menurut Bapa Uskup Agung, angka tiga membawa maksud sempurna atau selalu.

“Angka tiga amat seiring dengan sifat Tuhan sendiri yang adalah Kasih, Pengampun dan amat berbelas kasihan kepada umat-Nya. Dia telah mengutus hamba-hamba-Nya kepada para penyewa kebun anggur, bukan sekali tetapi tiga kali dan pada kali ketiga Dia mengutus Putera Tunggal-Nya.”

Uskup Agung John Wong yang dibantu oleh Fr Thomas Yip dan Fr Rayner Bisius di Altar, memberitahu hadirin bahawa Tuhan sangat bersifat penyabar terhadap umat manusia. “Dia sentiasa memberi peluang kepada kita, untuk memperbaiki diri sendiri, menunggu kita untuk menyedari kesalahan-kesalahan kita. Oleh itu saudara dan saudari, marilah kita merenung batin kita, adakah kita sudah berdamai dengan Tuhan? Adakah kita selalu ada masa untuk bertemu dan meluangkan masa dengan Tuhan?”

“Ingatlah bahawa Tuhan itu setia, Tuhan itu berlimpah kasih karunia-Nya. Jangan teragak-agak untuk menyapa Tuhan. Jadikanlah Dia, Sang Penyelamat dan Raja di dalam hidup anda!”

Sempena lawatan pastoral Bapa Uskup Agung ke Paroki Holy Rosary Limbahau, Majlis Pastoral Paroki HRL telah menganjurkan Bazaar Hari Paroki bagi mengisi tabung dana bagi pembangunan “The Catholic Centre, Kota Kinabalu.”

Uskup Agung John Wong, dibawa melawat ke setiap gerai Bazaar yang dikendalikan oleh pelbagai KUK dan KKD yang bernaung di Paroki HRL.

Total Comments:0

Name
Email
Comments