Dengan hati seorang ayah, Keuskupan Keningau sambut Tahun Sto Joseph

Pada 27 Dis, Keuskupan Keningau melancarkan Tahun Istimewa iaitu Tahun Santo Joseph di peringkat Keuskupan Keningau dan Paroki Katedral St Francis Xavier.

Jan 09, 2021

KENINGAU: Pada 27 Dis, Keuskupan Keningau melancarkan Tahun Istimewa iaitu Tahun Santo Joseph di peringkat Keuskupan Keningau dan Paroki Katedral St Francis Xavier.

Pelancaran Sto Joseph itu juga jatuh pada Hari Raya Keluarga Kudus, dirayakan dengan Perayaan Ekaristi yang dipimpin oleh Uskup Cornelius Piong di Pusat Ziarah Keluarga Kudus, Nulu Sosopon. Misa Kudus itu turut disiarkan secara langsung melalui platform FB Keuskupan Keningau dan Youtube.

Melalui tema, "Dengan Hati Seorang Ayah", Uskup Cornelius yang juga amat kagum dengan kekudusan dan kebapaan Sto Joseph  mengharapkan tema perayaan Sto Joseph itu memberi inspirasi, sumber teladan hidup keluarga lebih-lebih lagi kepada kaum ayah  kerana bukan mudah membangun keluarga lebih-lebih lagi pada zaman moden ini.

Katanya, mungkin selama ini pihak gereja jarang menyentuh peranan para ayah, justeru selepas pewartaan Bapa Suci Fransiskus yang mencanangkan Tahun 2021 sebagai Tahun Sto Joseph, Keuskupan Keningau turut mengambil peluang ini untuk mempelajari sikap-sikap Sto Joseph dalam melindungi dan membangun keluarga kudus.

Bapa Uskup mengatakan bahawa keluarga yang kudus adalah keluarga yang berpusat kepada Kristus. Pelatus itu menerangkan tentang kehidupan Joseph dan Maria yang menghadapi pelbagai cabaran getir sebelum dan selepas kelahiran Yesus.

"Dalam menghadapi rintangan, Joseph sentiasa menaruh harapan penyertaan Tuhan dalam hidupnya, demikian juga Maria. Maria meskipun tidak memahami rencana Tuhan terhadapnya, tetapi dia membenarkan rencana Tuhan  terjadi dalam dirinya. Dan kerana iman dan penyerahan total mereka terhadap Tuhan, Yesus lahir dalam keluarga mereka.”

Uskup Cornelius menasihati bahawa, “Hidup kekudusan itu bukanlah hidup tanpa masalah dan nyaman, sebaliknya satu perjuangan setiap hari para bapa, ibu dan anak-anak dalam menaruh kepercayaan kepada Tuhan kerana Dia adalah Immanuel, Tuhan yang menyertai dan melindungi."

Bapa Uskup juga berpesan kepada pasangan yang merancang untuk mendirikan rumah tangga agar meneliti dan memahami perkah winan serta membangun keluarga dari segi ilahi. “Pada masa sekarang, persiapan perkahwinan lebih bersikap duniawi dan kurang sekali bersifat ilahi, padahal perkahwinan memberikan misi cintakasih iaitu membangun keluarga kudus.”

Jelasnya, "Ibu bapa dan belia terutamanya yang dalam proses mempersiapkan diri memasuki alam perkahwinan perlu memberi perhatian kepada aspek ilahi perkahwinan dan berkeluarga.

“Sebagai umat Kristian, jangan terlalu terpengaruh dengan sifat duniawi. Sangat baik sebagai umat Kristian dalam mempersiapkan  diri memasuki alam perkahwinan untuk mengutamakan aspek ilahi,” ujar Bapa Uskup yang amat menggalakkan bakal pasangan berkahwin mengambil masa untuk menghadiri retret, seminar atau refleksi sebelum melafazkan janji perkahwinan Katolik.

Pada akhir homilinya, Uskup berharap melalui Pesta Keluarga Kudus dan pelancaran Sto Joseph dapat membantu kita memahami keluarga, janji perkahwinan, peranan ibubapa sesuai dengan kehendak Tuhan, bukan dari apa yang kita lihat, dengar dan bersikap duniawi kerana semua itu adalah sementara.

Dalam Misa Kudus pelancaran Tahun Sto Joseph, umat juga dijelaskan tentang Tahun Sto Joseph melalui katekesis yang disampaikan oleh Pengerusi Team Pastoral Keuskupan Keningau, Sdra Patrick Marius.

Misa Kudus itu merupakan kemuncak Ziarah kepada Keluarga Kudus, Nulu Sosospon yang bermula sejak pada 4-27 Disember 2020.

Sepanjang ziarah tersebut,  seramai 75 pasangan telah mengambil peluang untuk memperbaharui janji perkahwinan mereka. — Didiroy, KOMSOS Keuskupan Keningau

Total Comments:0

Name
Email
Comments