Di Itali, Misa dengan kehadiran umat bermula 18 Mei

Persidangan episkopal Katolik Itali (CEI) dan pegawai tinggi kerajaan negara itu telah mencapai kesepakatan untuk membenarkan perayaan liturgi dengan kehadiran umat beriman mulai 18 Mei.

May 16, 2020

ROMA: Persidangan episkopal Katolik Itali (CEI) dan pegawai tinggi kerajaan negara itu telah mencapai kesepakatan untuk membenarkan perayaan liturgi dengan kehadiran umat beriman mulai 18 Mei. Kardinal Gualtiero Bassetti, presiden CEI, bersama Perdana Menteri Giuseppe Conte dan Menteri Dalam Negeri Luciana Lamorgese pada 7 Mei telah menandatangani protokol yang membenarkan umat Katolik kembali merayakan Misa di Gereja secara umum.

Perbincangan Gereja dan kerajaan sebelum ini kelihatan tegang setelah jawatankuasa teknikalilmiah pemerintah menolak untuk menyetujui cadangan awal CEI yang mahu Misa dibuka kepada umum pada 4 Mei.

Ketika itu, Itali sedang beralih ke "Fasa 2" selepas kawalan perintah pergerakan yang ketat, yang berlangsung selama hampir sembilan minggu dalam usaha menghentikan penyebaran COVID-19.

Para uskup membantah keras pendirian jawatankuasa tersebut  yang menolak cadangan mereka. Namun, ini terjadi sebelum Sri Paus Fransiskus meminta umat Katolik untuk “berhati-hati, bersabar” dan menunjukkan "kepatuhan" terhadap perintah kerajaan sambil menggalakkan perbincangan dilakukan di tingkat tertinggi.

Topeng muka wajib, pembasmian kuman gereja selepas setiap Misa
"Protokol ini adalah hasil sinergi mendalam antara pemerintah, komiti  teknikal-ilmiah dan CEI, di mana masing-masing harus memainkan peranan dengan penuh tanggungjawab," kata Kardinal Bassetti.

Beliau mengulangi komitmen Gereja untuk memainkan peranan utama dalam mengatasi krisiscoronavirus. Secara konkrit, ini bermaksud umat Katolik Itali dapat menghadiri perayaan liturgi di Gereja bermula pada hari Isnin, 18 Mei.

Tetapi mereka mesti mematuhi peraturan kebersihan yang sangat ketat. Gereja mesti mengosongkan bekas air suci mereka dan menyediakan gel pembersih tangan di pintu masuk.

Para umat wajib memakai topeng muka dan sukarelawan akan membantu memastikan bahawa mereka mematuhi penjarakan sosial satu meter (sedikit lebih dari tiga kaki).

Komuni: sarung tangan pakai buang bagi paderi
Bangunan gereja, peralatan suci dan semua benda liturgi mesti dinyah kuman selepas setiap perayaan.

Akses terhadap peralatan dan benda liturgi ini akan terus dilarang bagi sesiapa sahaja  pernah mempunyai kontak dengan orang yang telah positif COVID-19 pada hari-hari sebelumnya atau yang mempunyai suhu lebih dari 37.5 darjah.

Mengenai perayaan liturgi itu sendiri, salam damai ditiadakan. Kolekte semasa persembahan (offertory) juga ditiadakan, tetapi para umat dapat memberikan sumbangan dalam bekas yang diletakkan di pintu Gereja.

Penggunaan seorang pemain organ diizinkan tetapi tidak ada koir atau nyanyian kongregasi. Juga, bilangan selebran bersama dikurangkan.

Selebran Misa harus memakai topeng muka semasa Misa. Paderi selebran mesti membersihkan tangannya dengan gel pembersih dan memakai sarung tangan pakai buang sebelum mengedarkan Komuni kepada umat dengan berhati-hati sambil menjaga jarak yang selamat dan tidak menyentuh tangan penerima komuni semasa memberikan komuni.

Penggunaan topeng muka dan sarung tangan pakai buang juga diharuskan semasa mengurapi orang sakit dan pembaptisan. Manakala, penguatan pula ditangguhkan. Oleh kerana peraturan baru itu berkuat kuasa pada hari Isnin, maka paroki-paroki di Itali memulakan Misa harian. Umat diharapkan dapat membiasakan diri dengan rutin norma baharu ini sebelum 24 Mei, iaitu Pesta Kenaikan Tuhan di Itali dan di bebeapa negara lain.

Menurut  Menteri Dalam Negeri, Lamorgese, protokol yang sama turut diamalkan  oleh denominasi agama lain. --Oleh Nicolas Senèze

Total Comments:0

Name
Email
Comments