Doa menghangatkan kembali hati yang telah dingin

Perintah Kawalan Bergerakan (PKP) telah memupuk umat Katolik unutk berdoa bersama dan mengikuti Misa Kudus online. Tanpa disedari, PKP dan sekarang ini PKPB, memberikan rahmat tersendiri kepada keluarga iaitu memupuk budaya berdoa.

May 23, 2020

HARI MINGGU PASKAH KETUJUH (A)
KISAH PARA RASUL 1:12-14;
1 PETRUS 4:13-16;
INJIL YOHANES 17:1-11

Perintah Kawalan Bergerakan (PKP) telah memupuk umat Katolik unutk berdoa bersama dan mengikuti Misa Kudus online. Tanpa disedari, PKP dan sekarang ini PKPB, memberikan rahmat tersendiri kepada keluarga iaitu memupuk budaya berdoa.

Berdoa itu merupakan suatu komunikasi yang baik dengan Tuhan. Apabila komunikasi kita baik dengan Tuhan, maka baik jugalah komunikasi dengan sesama kita terutama dengan pasangan kita, anak-anak dan keluarga kita. Bayangkan, jika tiba-tiba Tuhan muncul di hadapan anda dan berkata, “Kita putuskan saja hubungan kita!” pasti anda terkejut dan bertanya “Kenapa?”

“Sebab, engkau semakin tidak memerlukan Saya, engkau jarang berdoa, engkau tidak memohon campur tangan-Ku dalam hidup mu lagi,” jawab Tuhan pula.

Jika ini berlaku, maka kita perlu memeriksa hubungan kita dengan pasangan dan sesama kita serta kebiasaan kita berdoa kepada Tuhan. Mungkin selama ini kita tidak sedari ada terdapat kelemahan dan kesilapan. Mungkin juga cara kita berkomunikasi dengan  sesama dan berdoa kepada Tuhan sudah terlalu biasa sehingga dianggap membuang masa atau sekadar endah tak endah sahaja.

Jika seseorang itu tidak mempunyai kepercayaan kepada Tuhan, maka tidak hairanlah orang tersebut terdorong untuk menganggap berdoa itu membuang masa sahaja. Tetapi kita adalah orang yang beriman.

Namun sekerap manakah kita berdoa? Semua bacaan pada hari ini berkisar tentang doa. Bahawa sesiapa yang mengasihi Tuhan dan memerlukan- Nya, tidak akan lari daripada budaya sentiasa berdoa. Malah Yesus di dalam Injil tadi juga berdoa, memperkuatkan lagi semangat kita untuk meniru cara hidup- Nya yang sentiasa berdoa.

Budaya berdoa memang baik, tetapi semangat berdoa itulah yang lebih kita utamakan. Sebab dengan amalan demikian, jiwa dan minda kita tertumpu hanya kepada Tuhan walau apa pun keadaan dan kegiatan-kegiatan yang sedang kita hadapi. Inilah yang kita namakan doa dari hati ke hati.

Berdoa dari hati ke hati memang berbeza dengan sekadar  mengucapkan doa. Misalnya seorang ayah yang biasa berdoa “Bapa Kami” dengan keluarganya sebelum makan. Suatu hari sedang dia asyik mendaraskan doa tersebut, tiba-tiba berhenti pada kata, “Berilah kami rezeki pada hari ini” kerana sup kegemarannya belum dihidangkan dengan rasa marah. Si isteri terpaksa bergegas ke dapur mengambil sup barulah si ayah meneruskan doa.

Inilah salah satu sebab mengapa berdoa dari hati tanpa kata-kata lebih baik daripada hanya sekadar kata-kata tapi tanpa hati. Dengan kata lain, hanya doa yang muncul dari hati yang betul-betul dihayati akan dapat masuk ke dalam hati Tuhan.

Selain doa persendirian, kita perlu juga berdoa bersama sebagai suatu komuniti Kristian seperti yang pernah dilakukan oleh para rasul, “Mereka semua bertekun dengan sehati dalam doa bersama-sama” (Kis 1:14). Dengan kata lain, jika doa peribadi itu merupakan nafas iman, doa bersama pula bolehlah kita anggap sebagai paru-paru Gereja.

Sama ada doa persendirian atau doa komuniti, perlu mengandungi unsur pujian dan permohonan  sebab, “Sebagai orang Kristian, hendaklah memuliakan Tuhan dalam nama Kristus itu" (1Pet 4:16). Bagi kita umat Kristian, hanya terdapat satu doa sahaja iaitu doa Yesus sendiri di mana kita semua mengambil bahagian. Itulah sebabnya setiap kali kita mengakhiri doa kita akhiri dengan berkata, “Demi Yesus Kristus Tuhan kita.”

Di dalam Injil tadi Yesus berdoa pertama-tama, Dia mengakui keutamaan kehendak Tuhan di dalam hidup-Nya dengan berkata, “Aku telah mempermuliakan Engkau di bumi dengan jalan menyelesaikan pekerjaan yang Engkau berikan kepada-Ku untuk melakukannya” (ay 4). Persoalannya, melalui doa-doa kita seharian, apakah kita mendahulukan kehendak Tuhan, atau kehendak kita sendiri? 

Di dalam doa-Nya, Yesus memperlihatkan keprihatinanNya terhadap para pengikut-Nya apabila Dia berdoa, "Aku berdoa untuk mereka… yang telah Engkau berikan kepada-Ku" (ay 9). Persoalannya, selalukah kita mendoakan sesama kita terutama sesama yang berada di bawah tanggungjawab kita, contohnya keluarga dan rakan sekerja kita?

Rupa-rupanya dalam hal berdoa pun sama dengan praktik kehidupan harian kita terhadap sesama, iaitu menjaga kepentingan orang lain dan jangan terlalu mementingkan diri sendiri.

Apapun, amalkan budaya berdoa maka budaya membentuk iman dan budaya bertanggungjawab sosial pasti menyusul dengan mulus dan harmonis sesuai dengan kehendak Tuhan.--santapan rohani

Total Comments:0

Name
Email
Comments