Dosa menjarakkan kita dengan Tuhan, sesama

Sri Paus Fransiskus menekankan bagaimana dosa memisahkan hubungan kita dengan Tuhan dan komuniti, di mana pada permulaan setiap Misa, kita berhenti sejenak untuk mengingati dosa-dosa kita dan memohon keampunan bagi dosa-dosa tersebut.

Jan 12, 2018

KOTA VATIKAN¨Sri Paus Fransiskus menekankan bagaimana dosa memisahkan hubungan kita dengan Tuhan dan komuniti, di mana pada permulaan setiap Misa, kita berhenti sejenak untuk mengingati dosa-dosa kita dan memohon keampunan bagi dosa-dosa tersebut.

“Dosa menjarakkan hubungan dengan Tuhan dan menjauhkan kita daripada saudara dan saudari kita, memecah belahkan hubungan dengan masyarakat.

“Dosa sentiasa memisahkan, menjauhkan dan membahagikan," jelas Sri Paus pada 3 Jan, pada audiensi bersama umat awam yang pertama tahun 2018.

Mengaku dosa, pada permulaan Misa, “mengajak umat untuk menyesali kesilapan dan dosa agar layak merayakan misteri-misteri suci iaitu dengan mengakui kita berdosa di hadapan Tuhan dan saudara-saudari kita.”

Paus Fransiskus meneruskan siri katekesisnya tentang Misa Kudus semasa audiensi mingguannya yang menumpukan bahagian di mana umat mengaku dosa secara umum, mengaku di hadapan Tuhan dan saudarasaudari seiman bahawa, “saya telah berdosa, dengan fikiran dan perkataan, dengan perbuatan dan kelalaian.”

Bapa Suci menekankan bahawa kita juga mengaku melakukan dosa melalui kelalaian, di mana kita gagal melakukan kebaikan. “Kita selalu mengatakan bahawa kita baik kerana tidak menyakiti hati jiran kita, tetapi ini tidak mencukupi, kita harus memilih untuk melakukan kebaikan, dan mengambil peluang untuk memberikan kesaksian bahawa kita adalah pengikut-pengikut Yesus.

“Apabila kita mendoakan doa “Saya mengaku ... atau Confiteor", kita mengaku dosa kepada an saudara-saudari kita bahawa kita sama-sama berdosa. Ini membantu kita memahami bahawa dosa bukan hanya memisahkan kita daripada Tuhan tetapi turut menjarakkan kita dengan rakan-rakan,” jelas Sri Paus Fransiskus.

Dengan aksi menebah dada, dan mengulangi perkataan, “saya berdosa” tiga kali, ia mengingatkan kita bahawa kita bertanggungjawab atas dosa-dosa kita, bukan orang lain.

Kadang-kadang, oleh sebab malu atau takut, kita menuduh orang lain yang menyebabkan kita berdosa. Tetapi, adalah baik jika kita mengaku dosa kita dengan jujur dan tulus.

Selepas mengakui dosa, kita kemudiannya memohon bantuan Perawan Maria, para santo dan malaikat, untuk membantu kita berada di jalan benar, di dalam persekutuan dengan Tuhan, di mana dosa benar-benar dihapuskan.

Sri Paus juga menerangkan ada beberapa cara untuk melakukan aksi pengakuan ini ketika Misa misalnya dengan menyanyikan Kyrie eleison (Tuhan kasihanilah kami) atau dalam ritus memercik air suci semasa musim Paskah sebagai memperingati pembaptisan kita. Prelatus itu juga mengatakan bahawa ramai tokoh dalam Kitab Suci yang berdosa, tetapi mereka berani mengakui dosa dan kesilapan akhirnya mereka diberkati serta menerima belas kasihan daripada Tuhan seperti Raja Daud, anak yang hilang, Zakheus dan wanita Samaria.

“Dalam kita mengakui dosa dan kelemahan kita, ia juga membukakan hati kita untuk memohon pertolongan daripada Tuhan yang Berbelas Kasihan, agar mentransformasi dan mengubah kita. Inilah yang kita lakukan dalam doa mengaku dosa pada permulaan Misa.”--CNA/EWTN

Total Comments:0

Name
Email
Comments