Dunia perlu pemimpin rendah hati, tidak takut bertemu dengan musuh mereka

Dunia perlu pemimpin rendah hati, tidak takut bertemu dengan musuh mereka

Dec 07, 2018

ROMA: Dunia memerlukan pemimpin yang rendah hati dan bersedia bercakap dengan musuh mereka demi tujuan untuk memimpin negara mereka ke arah keamanan, kata Sri Paus Fransiskus.

“Ahli politik yang tidak tahu bagaimana untuk berdialog dan berhadapan dengan satu sama lain bukanlah pemimpin keamanan," katanya kepada penduduk dan penyokong Rondine-Citadel of Peace, sebuah projek perdamaian dan rekonsiliasi yang terletak dekat Arezzo di Itali tengah.

“Pemimpin yang tidak berusaha untuk bertemu dengan ‘musuh,’ untuk duduk bersama mereka di atas meja dan melakukan apa yang anda lakukan —mereka tidak boleh memimpin rakyatnya untuk perdamaian. Untuk melakukan ini, ia memerlukan kerendahan hati dan bukan keangkuhan,” katanya kepada sekumpulan kaum muda di Vatikan pada 3 Disember.

Projek Rondine menjadi tuan rumah bagi kaum muda dari negara-negara yang telah mengalami atau masih dalam peperangan dan konflik; orang muda hidup, belajar dan bekerjasama, menemui “musuh” mereka adalah manusia seperti mereka, demikian menurut laman web organisasi itu. Program dua tahun ini bertujuan untuk memberi para pelajar sarana untuk menjadi pemimpin yang kreatif, aktif walaupun dalam keadaan kompleks dan konflik.

Untuk meraikan ulang tahun ke-70 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat, wakil-wakil Rondine akan berucap kepada semua 193 negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 10 Disember di New York untuk meminta agar setiap kerajaan memperuntukkan sejumlah kecil dari bajet pertahanan mereka bagi melatih pemimpin global baru yang boleh campur tangan di mana terdapat konflik-konflik berat.

Fransiskus, yang diberitahu tentang rayuan itu, memuji inisiatif tersebut dan berkata beliau akan menyokong usaha tersebut dan meminta semua ketua negara dan kerajaan untuk melakukan perkara yang sama.

“Semoga suara anda — lemah, tetapi kuat dalam harapan muda dan berani — didengar pada 10 Disember di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Pemimpin yang mempunyai mentaliti baru amatlah diperlukan,” katanya.

“Keamanan, sebenarnya, adalah tanggungjawab semua orang. Dengan usaha semua orang, kita mesti menghapuskan peperangan dari planet ini dan daripada narasi manusia,” katanya. — CNS

Total Comments:0

Name
Email
Comments