Ekaristi puncak kerohanian pelayan altar

Buat julung kalinya, para Pelayan Altar dari seluruh Paroki Keuskupan Melaka Johor dapat berhimpun dalam Kem Pemimpin Pelayan Altar Keuskupan pada 3-6 Disember, 2018.

Jan 25, 2019

MAJODI, Plentong, Johor: Buat julung kalinya, para Pelayan Altar dari seluruh Paroki Keuskupan Melaka Johor dapat berhimpun dalam Kem Pemimpin Pelayan Altar Keuskupan pada 3-6 Disember, 2018.

Seramai 108 ketua pelayan altar berhimpun dalam kem empat hari yang dianjurkan oleh Komisi Melaka- Johor dengan kerjasama pelayanan belia dan pejabat panggilan Pusat Majodi. Kem tersebut bermatlamat untuk memupuk dan memperkasa kerohanian para pelayan altar serta memperkukuh hubungan sesama dan memperdalamkan pengetahuan mereka tentang Ekaristi.

Pada hari ketibaan para peserta, mereka diberikan taklimat mengenai aktiviti yang bakal mereka lalui selama empat hari. Para peserta juga dibahagikan kepada beberapa kumpulan.

Kecanggungan para peserta itu dipecahkan melalui sesi "ice breaking" diikuti sesi pujian dan penyembahan. Kemudian Father Lionel Thomas membuka kem dengan Perayaan Ekaristi.

Pada sebelah malam, selepas makan, para peserta berhimpun untuk sesi yang mempromosi panggilan menjadi paderi dan religius yang dikendalikan oleh Fr Lionel. Pada setiap malam, selepas sesi terakhir, setiap peserta belajar untuk mengongsikan pengalaman iman mereka dengan rakan-rakan mereka.

Pada hari kedua, selepas sesi pujian dan penyembahan, Father Adrian Mathews memimpin Misa Kudus dalam Bahasa Malaysia. Selepas sarapan, para peserta menyertai permainan yang direka untuk membina semangat kerja berpasukan, yang mendorong mereka untuk berkomunikasi dengan baik di samping bergembira dengan apa yang mereka lakukan.

Kemudian, para peserta merenung akan perbuatan dan amalan mereka sebagai Katolik dan pelayan altar, serta diberikan bimbingan dan peluang untuk menetapkan matlamat bagi diri masing-masing untuk menjadi lebih kudus.

Pada hari ketiga, para peserta diberikan penjelasan mengenai peranan mereka sebagai pelayan altar oleh Fr Adrian untuk menyelaraskan tata cara pelayanan pelayan altar di Keuskupan Melaka-Johor. Kemudian, paderi yang sama menerangkan bahagian- bahagian Misa Kudus agar para peserta semakin menghormati serta merayakan Ekaristi dengan penuh syukur.

Selepas makan tengah hari, para peserta bersiap sedia untuk memberikan persembahan pada sebelah malam iaitu Festival Nights yang merupakan kemuncak acara bagi kem tersebut. Festival Nights bermula selepas makan malam dan persembahan yang dipentaskan oleh para peserta membuktikan bahawa mereka amat berbakat dan bekerjasama dalam memberikan persembahan yang baik.

Pada hari terakhir kem, selepas sesi pujian dan penyembahan, para peserta mendapat peluang untuk bertanya soalan tentang iman dan pelayanan altari. Para peserta juga diseru agar terus belajar dan menuruti Panduan Umum Misali Romawi (GIRM). Kem Pemimpin Pelayan Altar diakhiri dengan Misa yang dipimpin oleh Uskup Bernard Paul.

Total Comments:0

Name
Email
Comments