Firman-Nya adalah surat cinta yang memberi sukacita, harapan

"Dia yang adalah Sabda Tuhan telah datang untuk berkhutbah kepada kita dengan kata-kata dan hidup-Nya sendiri.

Feb 09, 2020

VATIKAN: "Dia yang adalah Sabda Tuhan telah datang untuk berkhutbah kepada kita dengan kata-kata dan hidup-Nya sendiri. Mari masuk ke akar pewartaan-Nya, ke sumber Firman Kehidupan, yang membantu kita mengetahui bagaimana, di mana dan kepada siapa Yesus mulai berkhutbah.”

Sri Paus Fransiskus berbicara demikian semasa menyampaikan homili pada Misa Hari Mingu Sabda Tuhan, 26 Januari 2020 seraya mendesak umat Kristian memberikan ruang dalam kehidupan mereka untuk Kitab Suci.  Hari Minggu Sabda Tuhan yang didirikan oleh Sri Paus Fransiskus melalui Motu Proprio “Aperuit illis” itu akan dirayakan setiap tahun pada hari Minggu Ketiga Masa Biasa dan didedikasikan untuk perayaan, pembelajaran, dan penyebaran Sabda Tuhan.

Pelayanan Yesus dimulai dengan kalimat sangat sederhana, “Bertobatlah, sebab Kerajaan Syurga sudah dekat.” Kalimat itu, adalah pesan utama semua khutbah Yesus. Dengan mengatakan bahawa Tuhan sudah  dekat, Dia turun ke bumi dan menjadi manusia, Dia meruntuhkan tembok dan mendekatkan jurang.

Ujar Uskup Roma itu, “Tuhan datang mengunjungi kita secara peribadi, dengan menjadi manusia,” dan Dia melakukannya bukan kerana tugas tetapi kerana cinta. “Tuhan mengambil sifat manusiawi kseperti ita kerana Dia mengasihi kita, Dia ingin tinggal bersama kita dan memberi kita keindahan hidup, kedamaian hati, sukacita kerana diampuni dan perasaan dicintai,” kata Sri Paus.

Sri Paus mengajak umat untuk mengizinkan Dia memasuki hidup kita. Firman Tuhan adalah “surat cinta” yang Dia tulis kepada kita masing-masing bagi membantu kita memahami bahawa Dia ada di samping kita.

“Kata-kata-Nya menghibur dan memberi semangat, membebaskan kita dari ikatan keegoisan, serta memanggil kita untuk bertobat. Firman-Nya memiliki kekuatan untuk mengubah hidup kita dan menuntun kita keluar dari kegelapan menuju terang,” kata Sri Paus.

Bapa Suci juga menyatakan bahawa Yesus memulai khutbahnya di tempat-tempat yang pada zaman itu dianggap “dalam kegelapan,” contohnya Galilea. Melalui tindakan-Nya, Yesus mahu memberitahu kita bahawa Sabda Keselamatan tidak pergi ke tempat yang aman sahaja.  Sebaliknya, Sabda Keselamatan memasuki tempat-tempat sukar dan rumit. Melalui firman-Nya, Yesus juga menyembuhkan setiap penyakit dan setiap kelemahan.”

Sri Paus mendesak semua orang Kristian untuk memberikan ruang dalam kehidupan mereka untuk Firman Tuhan. “Setiap hari, mari kita baca satu atau dua ayat Alkitab. Mulailah dengan Injil. Buka terus di meja kita, bawa dalam saku kita, baca di telefon pintar kita, dan biarkan Injil menginspirasi kita setiap hari. Kita akan menemui bahawa Tuhan dekat dengan kita, bahawa Dia mengusir kegelapan kita dan, dengan kasih yang besar, Dia memimpin hidup kita ke perairan yang dalam.” -- media Vatikan

Total Comments:0

Name
Email
Comments