Fr Valentine Gompok OFM Cap: Panggilan Tuhan adalah mukjizat

“Saya katakan panggilan ini adalah mukjizat kerana pertemuan antara saya dan Capuchin Order adalah mukjizat.

Aug 16, 2019

TAMBUNAN: “Saya katakan panggilan ini adalah mukjizat kerana pertemuan antara saya dan Capuchin Order adalah mukjizat. Saya percaya bahawa setiap detik dalam hidup ini ada mukjizat yang perlu saya syukuri. Kebahagiaan dan juga cabaran yang saya alami selama ini membuat saya menjadi peribadi yang kuat dan mencintai Yesus tanpa ragu,” demikian kata Father Valentine Gompok OFM Cap yang menyambut ulang tahun Jubli Perak pada 6 Julai di Gereja St Theresa, Tambunan.

Misa sukacita itu telah dihadiri lebih 1000 umat termasuk keluarga dan sahabat handainya dari jauh dan dekat: Pulau Pinang,Kuala Lumpur, Johor-Melaka, Singapura, Kuching, Labuan dan sekitar Sabah.

Jubilarian itu dengan gembira mengalu- alukan kehadiran para Friar Fransiskan Kapusin di bawah jagaan Malaysia-Singapura, paderi, religius dan keluarga OFS.

Fr Valentine, 49, berasal dari Kg Kalasasan-Mogong, Tambunan dan menduduki peperiksaan SPM pada tahun 1987 di St Martin Tampasak Tambunan.

Beliau memasuki sebagai postulan pada 1 Mac 1993 di Pulau Pinang seterusnya memasuki Rumah Pembentukan St Fidelis Parapat Indonesia pada 3 Julai 1994, melafazkan kaul pertama pada 2 Ogos 1995 manakala kaul kekal pada 26 Julai 2000.

Pada 14 Okt 2002, Fr Valentine ditahbis menjadi diakon dan tahun berikutnya iaitu pada 17 Mei 2003, beliau ditahbis menjadi paderi Kapusin di Gereja St Theresa Tambunan.

“Kalau saya ditanya kenapa memilih hidup Religius? 1. Kerana menurut saya hidup religiuslah yang dapat mengisi kerinduan, kekosongan, kekeringan dan keinginan saya selama ini. 2. Kerana hidup religius itu merupakan pilihan saya dan bukan pelarian. Yang namanya pilihan, sedar atau tidak sedar, selalu mengandung risiko.

“Apa yang penting, sejak memutuskan untuk menyertai religius, saya hanya memikirkan satu hal: saya pasti boleh, kerana bukan saya yang memilih cara hidup seperti ini, melainkan Tuhan yang memilih saya,” tutur Fr Val.

Total Comments:0

Name
Email
Comments