Fransiskus ambil langkah baru dalam lancar semula dialog dengan Al-Azhar

Kurang dari dua bulan selepas salah seorang pihak berwenang tinggi Islam Suni datang ke Vatikan selepas hubungan kedua-dua belah pihak yang dingin selama bertahun-tahun, baru-baru ini Paus Fransiskus telah menghantar wakil ke Universiti Al Azhar di Mesir untuk memulakan semula dialog di antara Takhta Suci dan Al Azhar.

Jul 21, 2016

VATIKAN: Kurang dari dua bulan selepas salah seorang pihak berwenang tinggi Islam Suni datang ke Vatikan selepas hubungan kedua-dua belah pihak yang dingin selama bertahun-tahun, baru-baru ini Paus Fransiskus telah menghantar wakil ke Universiti Al Azhar di Mesir untuk memulakan semula dialog di antara Takhta Suci dan Al Azhar.

Sejajar dengan impian jelas Paus Fransiskus, Uskup Miguel Angel Ayuso Guixot, setiausaha Dewan Kepausan untuk Dialog Antara Agama baru-baru ini berada di Mesit untuk lawatan rasmi ke Universiti Al Azhar, demikian laporan akhbar pada 12 Julai lalu di Vatikan.

Uskup Ayuso ditemani oleh duta Vatikan di Mesir, Uskup Agung Bruno Musaro dalam sebuah pertemuan dengan ahli akademik Sunni dan ahli politik, Mahmoud Hamdi Zakzouk, juga ahli kepada Majlis dan Sarjana-sarjana Senior Universiti Al-Azhar, pengarah Pusat Al-Azhar bagi Dialog dan mantan Menteri Agama Mesir pada 13 Julai.

Menurut kenyataan akhbar Vatikan, pertemuan itu membincangkan bagaimana menyambung semula dialog antara Dewan Kepausan untuk Dialog Antara Agama dan Universiti Al-Azhar.

Imam Al-Azhar pada masa ini, Ahmed al Tayyed yang dianggap oleh sesetengah umat Islam sebagai kuasa tertinggi kepada 1.5 bilion penganut Islam Sunni dunia dan menyelia Masjid Al-Azhar Mesir serta universiti berprestij Universiti Al-Azhar.

Beliau mengunjungi Vatikan pada 23 Mei untuk bertemu dengan Paus Fransiskus, yang menandakan satu langkah pemecah hubungan dingin antara institusi Al- Azhar dan Takhta Suci sejak 2011 setelah kerajaan Mesir mendakwa Paus Benediktus XVI telah campur tangan dalam hal ehwal dalaman Mesir berikutan kecamannya terhadap serangan bom di sebuah gereja di Alexandria semasa perayaan Natal Koptik.

Pertemuan selama 30 minit di antara Sri Paus dan Imam Besar itu tertumpu kepada kerjasama kedua-dua agama dalam karya perdamaian, menolak keganasan terorisme dan melindungi umat Kristian di Timur Tengah. Dalam sebuah temuramah dengan Radio Vatikan selepas audiensi peribadi dengan Sri Paus, Tayyed memuji Paus Fransiskus sebagai pemimpin yang sangat tegas, pencinta damai,taat kepada ajaran agama Kristian iaitu agama kasih dan damai.

Dengan kunjungan Ayuso ke Mesir, apa yang jelas ialah hubungan Takhta Suci dengan Islam semakin pulih dengan usaha serta permohonan tidak henti-henti daripada Fransiskus untuk membuka ruang dialog dan melalui pesan akhir Ramadan kepada umat Islam di seluruh dunia.--CNA/EWTN

Total Comments:0

Name
Email
Comments