Gereja Katolik Malaysia rayakan Tahun Misionari Khas 2019

Para Uskup di Malaysia telah memutuskan untuk melancarkan Tahun Misionari Khas 2019 pada Hari Penampakan Tuhan iaitu 6 Januari 2019 sehingga akhir bulan Oktober tahun ini.

Jan 12, 2019

KUALA LUMPUR: Para Uskup di Malaysia telah memutuskan untuk melancarkan Tahun Misionari Khas 2019 pada Hari Penampakan Tuhan iaitu 6 Januari 2019 sehingga akhir bulan Oktober tahun ini. Keuskupan Agung Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Melaka Johor dan Keuskupan Agung Kuching telah melancarkannya pada 6 Januari 2019 manakala keuskupan-keuskupan lain pula akan melancarkannya pada akhir bulan Januari. Tahun Misionari Luar Biasa ini juga adalah untuk merayakan ulang tahun ke-100 surat Apostolik Sri Paus Benediktus ke15 “Maximum Illud” yang menjemput kita untuk mewartakan berita baik Yesus Kristus ke seluruh dunia. Tujuan serta kandungan surat itu masih relevan sehingga ke hari ini. Paus Fransiskus telah menetapkan bulan Oktober 2019 sebagai Bulan Misionari Khas Oktober 2019 sebagai kemuncak perayaan ini. Tema sedunia yang diberikan oleh Paus Fransiskus untuk tahun ini adalah: Dibaptis dan Diutus – Gereja Kristus Dalam Misi di Dunia. Uskup Sebastian semasa merayakan Misa Kudus pembukaan Tahun Misionari Khas 2019 di Pulau Pinang mengatakan, “Sebagai umat Katolik yang telah dibaptis, identiti kita adalah Satu Gereja – Gereja Tuhan Kristus. Sebagai Gereja Kristus, kita mempunyai tanggungjawab untuk mengikut perintah Tuhan, iaitu untuk “Pergi ke seluruh dunia dan sebarkan Injil kepada setiap insan” (Markus 16:15). Mematuhi mandat ini bukan satu pilihan untuk umat Katolik. Mengikut Konsili Vatikan II, mandat ini adalah tugas terunggul Gereja, kerana sifat Gereja adalah untuk menginjil (Ad Gentes). Menginjil adalah rahmat dan panggilan Gereja. Inilah identiti Gereja. Gereja wujud untuk menginjil (Evangelii Nuntiandi). Majlis tersebut pun berkata bahawa jika Gereja ingin setia kepada dirinya sendiri bagi mewartakan Kristus yang penuh Rahim, yang telah disalibkan dan bangkit untuk semua sebagai Juruselamat, ia mesti mengikuti jalan sama seperti Kristus, jalan kesederhanaan dan kesetiaan, jalan pelayanan dan pengorbanan diri, didorong oleh Roh Kudus (Ad Gentes). Dengan cara ini, ia akan mewartakan Tuhan, kerana Kristus adalah contoh kemanusiaan yang ditebus, dipenuhi dengan cinta persaudaraan, keikhlasan, dan roh keamanan yang dicitacitakan oleh semua (Ad Gentes). Sepanjang Tahun Misionari Khas ini, keuskupan/agung di Malaysia telah menyediakan pelbagai program pembinaan di peringkat paroki untuk membantu umat merenung dan menyiapkan iman untuk keluar ke dunia sebagai misionari. Umat juga dijemput untuk berziarah ke tempat-tempat ziarah yang didedikasikan bagi tujuan ini untuk mendapat inspirasi tentang bagaimana iman dan kepercayaan kita datang ke Tanah Air ini dan tersebar kepada pelbagai suku kaum, bukan sahaja di Malaysia, malah juga di rantau ini. Umat juga digalakkan untuk menghormati relik-relik atau peninggalan santo-santo misionari serta mereka yang telah mengorbankan nyawa bagi iman. Mereka ini telah menjadi sebahagian daripada perjalanan iman di Keuskupan ini. Paroki-paroki digalakkan untuk merancangkan misi pelayanan bagi memenuhi pelbagai kehendak bukan hanya dalam paroki, tetapi juga di peringkat keuskupan, negara dan di luar sana. Di Keuskupan Agung Kuching, Uskup Agung Simon Poh telah melancarkan Tahun Misionari Khas 2019 pada 5 dan 6 Januari serta menetapkan pusat ziarah Catholic Memorial and Pilgrimage Centre Mount Singai dan New Gethsemane Garden, Bunan.

Keuskupan Keningau pula bakal melancarkan Tahun Misionari Khas pada 27 Januari 2019 sempena Hari Minggu Kateketikal sejajar dengan temanya “Kristus, Misi Kita.” Sempena Perhimpunan Perwakilan Keuskupannya pada 31 Januari-2 Februari ini, Keuskupan Sandakan mengambil kesempatan itu untuk melancarkan Tahun Misionari sempena pertemuan besar tersebut.

Total Comments:0

Name
Email
Comments