Gereja wujud untuk menginjil!

Paderi Paroki St. Theresa Tambunan, Father Rudolf Joannes telah melancarkan Tahun Missionari dengan tema “Kita dibaptis dan diutus dengan Misi mewartakan Kristus” pada 27 Januari yang lalu.

Feb 15, 2019

TAMBUNAN: Paderi Paroki St. Theresa Tambunan, Father Rudolf Joannes telah melancarkan Tahun Missionari dengan tema “Kita dibaptis dan diutus dengan Misi mewartakan Kristus” pada 27 Januari yang lalu.

Dalam masa yang sama Paroki itu turut merayakan Hari Minggu Kateketikal yang bertema “Kristus Misi Kita.” Sempena kedua-dua acara besar itu, Fr. Rudolf mengajak seluruh umat Paroki St. Theresa agar terus mahu mengenali dan mewartakan Yesus melalui penginjilan dalam keluarga, komuniti dan sesama.

Menurut beliau sesuai dengan tema Tahun Misi dan Hari Minggu Kateketikal, Kristus haruslah terus menjadi pusat kepada pelayanan dalam keluarga dan komuniti.

“Jangan takut dan malu dalam mewartakan Kristus, supaya dunia dapat melihat Yesus dalam diri kita. Selaku umat Tuhan, hendaklah membenarkan Yesus hadir dan mengubah peribadi kita kerana kesatuan dan kesetiaan kita kepada Kristus akan meneguhkan dan menguatkan kita untuk sentiasa bertumbuh di dalam kekudusan Yesus Kristus,” Ujar Fr. Rudolf.

Pelancaran Tahun Missionari turut diadakan serentak di lima stasi luar St. Theresa yang turut dihadiri oleh Father Harry Dorisoh, Father John Emerson Tepait dari Keuskupan Masbate, Filipina dan para Majlis Pastoral Paroki St Theresa.

Paus Fransiskus telah menetapkan bulan Oktober 2019 sebagai Bulan Missionari Khas Oktober 2019. Oleh itu para Uskup Malaysia telah sebulat suara melancarkan Tahun Misionari di Keuskupan masing-masing bagi mempersiapkan umat menyambut Bulan Misionari serta menyedarkan seluruh penganut Kristian tanggungjawab mereka.

Sebagai Gereja Kristus, kita mempunyai tanggungjawab untuk mengikut perintah Tuhan, iaitu untuk “Pergi ke seluruh dunia dan sebarkan Injil kepada setiap insan” (Markus 16:15). Mematuhi mandat ini bukan satu pilihan untuk umat Katolik sebaliknya ini adalah terunggul Gereja! — Katarina Adolfina

Total Comments:0

Name
Email
Comments