Hari Paroki Sto Markus ke-26 dan ulang tahun penubuhan KBKI ke-9

Hari Paroki Sto Markus ke-26 dan ulang tahun penubuhan KBKI ke-9

May 18, 2018

SANDAKAN: Bersempena Perayaan Sto. Markus, 25 April 2018, Gereja St. Mark, sub-paroki Katedral St. Mary telah merayakan hari Santo Penaung dan ulang tahun Gereja St Mark yang ke-26. Pada hari itu juga, mereka turut merayakan Ulang tahun ke-9 penubuhan Keluarga Besar Katolik Indonesia (KBKI).

Perayaan bermula dengan Misa Kudus yang dipimpin oleh Father David A. Garaman, Paderi Paroki Katedral St. Mary tepat jam 7.30 malam.

Lebih 600 umat yang memenuhi ruang Gereja mendengar homili yang disampaikan oleh Fr David yang menerangkan tentang Santo Markus, salah seorang pengarang Injil.

Imam Katolik itu juga menegaskan kepada umat yang terlibat dalam pelayanan Gereja agar melakukannya dengan penuh dedikasi, jujur dan memperlihatkan Kristus dalam perbuatan serta perkataan mereka.

Selepas Misa Kudus, semua umat dijemput ke Dewan Serbaguna Gereja untuk acara makan malam bersama sambil berhibur dengan persembahan dari kumpulan KBKI, dan Belia.

Dimeh Koyopo selaku Pengerusi, Komiti Pastoral St. Mark, dalam ucapannya mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan perayaan ulang tahun St Mark dan KBKI. Beliau berharap agar para belia dapat meneruskan kesatuan dan keakraban di kalangan komuniti yang terdapat di Gereja St. Mark.

Fr. David yang turut sama meraikan majlis tersebut menghargai usaha komiti penganjur dalam menjayakan perayaan tersebut.

Paderi itu berharap agar perayaan seperti itu dapat diteruskan untuk generasi akan datang terutama sekali para belia.

Fr. David juga menegaskan kepada para ibu bapa agar memberi sokongan dan dorongan kepada para belia kerana merekalah pelapis pemimpin gereja untuk meneruskan kepimpinan Gereja. — Rogina R Sining

Total Comments:0

Name
Email
Comments