Hosana! Diberkatilah Dia yang datang dalam nama Tuhan

Kita sudah sampai pada minggu yang sangat penting – Minggu Suci. Minggu Suci bermula dengan memperingati Yesus memasuki kota Yerusalem pada hari minggu Palma dan kemudian berpuncak pada kemuliaan Yesus apabila Dia bangkit pada minggu Paskah.

Apr 12, 2019

HARI MINGGU PALMA (C)
YESAYA 50:4-7;
FILIPI 2:6-11;
INJIL LUKAS 22:14 – 23:56

Kita sudah sampai pada minggu yang sangat penting – Minggu Suci. Minggu Suci bermula dengan memperingati Yesus memasuki kota Yerusalem pada hari minggu Palma dan kemudian berpuncak pada kemuliaan Yesus apabila Dia bangkit pada minggu Paskah.

Dengan merenungi kisah kesengsaraan Yesus tersebut, kita sebenarnya boleh mempelajari banyak perkara yang boleh menjadi pedoman hidup kita setiap hari. Bahawa terdapat dua kuasa besar di tengah-tengah masyarakat kita iaitu agama dan politik.

Walaupun kedua-dua kuasa ini sebenarnya tidak sehaluan namun seakan-akan menjadi rakan yang baik atas sebab kedua-duanya ingin mempertahankan keberadaan mereka di tengah-tengah masyarakat.

Yesus berhadapan dengan para pemimpin agama dan tanpa segansegan Dia menegur mereka bahawa mereka juga berperanan di dalam keruntuhan moral masyarakat.

Dia mengecam sikap hipokrit yang diamalkan oleh mereka yang menganggap diri mereka ‘suci’ dan menyebut mereka sebagai penghianat serta menyamakan mereka seperti kubur yang cantik kelihatan dari luar tetapi berbau busuk di dalamnya.

Yesus mengkritik secara berterus terang terhadap pengamalan tradisi agama yang lebih mementingkan pelaksanaan hukum daripada mengasihi sesama manusia. Malah Yesus tidak pernah menutup mata atau berkata-kata dengan lembut apabila dia mengutuk mereka yang menganggap tidak baik bergaul dengan orang-orang yang berdosa dan yang disingkir oleh masyarakat.

Dengan tegas Yesus menegur para pemimpin agama serta mereka yang menganggap diri mereka alim untuk bertaubat, berubah dan membaharui hidup mereka. Secara terbuka Yesus selalu bercanggah pendapat dengan para pemimpin agama dan memperingati pengikut-pengikut-Nya untuk tidak meniru sikap orangorang Saduki dan Farisi tersebut.

Orang-orang pada waktu itu menyokong penuh apa yang dikatakan oleh Yesus terhadap para pemimpin agama dan yang menganggap diri mereka benar di mata Tuhan. Mengapa? Mungkin mereka sendiri ingin mahu menegur para pemimpin tersebut tetapi tidak berani berbuat demikian.

Mereka sangat menyukai dan percaya pada Yesus sebab tidak seperti orang-orang Saduki dan Farisi, Yesus mengajar dengan suatu kuasa yang baru. Tidak sukar bagi orang-orang waktu itu untuk mempercayai Yesus sebab mereka melihat Yesus berada di pihak mereka, tidak seperti para pemimpin yang lain yang lebih suka memberikan bebanan yang berat kepada mereka sedangkan para pemimpin tersebut tidak pernah memikul apa-apa beban.

Para pemimpin agama tersebut mempunyai pandangan yang licik. Mereka tahu bahawa cepat atau lambat mereka akan dikalahkan oleh Yesus. Maka mereka merancang untuk menutup mulut Yesus dan jika perlu, mereka akan membunuh Yesus.

Namun Yesus tidak takut pada pemimpin duniawi. Walaupuin Dia menghormati kerajaan yang memerintah, Dia tidak pernah membenarkan diri-Nya diperhambakan oleh apa dan sesiapa pun. Sedar akan panggilan-Nya hanya dari atas, Yesus tunduk hanya kepada kehendak BapaNya.

Dalam memperingati kemenangan Yesus memasuki Kota Yerusalem, kisah sengsara dan kematian Yesus yang panjang dibacakan kepada kita untuk memperingatkan kita bahawa Yesus pergi ke Yerusalem bukan untuk sekadar bersuka-suka tetapi untuk menghadapi kematian-Nya yang sungguh mengerikan dan memalukan itu.

Kematian tersebut terjadi disebabkan pertempuran pengamalan agama dan politik yang tidak baik. Tetapi penyebabnya yang paling teruk adalah datang daripada orangorang yang sebenarnya boleh menghalang terjadinya penyaliban Yesus tersebut namun tidak dapat berbuat apa-apa atas sebab takut atau sikap tidak ambil peduli untuk menyelamatkan Yesus yang sungguh tidak bersalah itu.

Ketika Yesus dialu-alukan di Yerusalem dengan sorakan, “Hosana, hosana!” Yesus sebenarnya sudah mendengar bunyi paku yang ditukul menembusi kedua belah tangan dan kaki-Nya. Walaupun orangorang pada waktu itu berteriak-teriak memuji Yesus, namun jauh di dalam hati-Nya terdapat suasana sunyi yang mencekam perasaan-Nya di mana Dia merasakan hari kematian-Nya semakin mendekat. Kita semua tahu bahawa kematian Yesus itu tidak dipedulikan, dibiarkan dan ditinggalkan begitu sahaja.

Apakah kita juga berkeinginan meninggalkan Yesus? Apakah kita hanya sekadar peminat Yesus tapi bukan sebagai murid-Nya yang setia? Menjadi peminat yang pelampau tapi bukan pengikut-Nya yang pengasih dan pemurah? Apakah kita mahu berkorban bersama Yesus ataukah kita mengorbankan Yesus lagi dan lagi? Dan lagi?

Pada hari minggu Palma ini, kita mempunyai daun-daun palma yang diberkati, kita membawanya pulang dan diletakkan di atas pintu atau di tempat-tempat yang mudah dilihat. Cepat atau lambat ianya akan menjadi layu, gugur dan akhirnya lenyap. Tetapi hendaknya sisa-sisa daun palma tersebut sentiasa memperingatkan kita bahawa kasih dan kesetiaan kita kepada Kristus tidak akan layu.

Semoga suara kita yang memuji Tuhan betul-betul merupakan luahan kepercayaan kita kepada-Nya yang tidak berbelah bagi, “Hosana! Terpujilah yang datang atas nama Tuhan!” (Mk 11:9). — santapan rohani, keningaudiocese.net

Total Comments:0

Name
Email
Comments