Ibu bapa, ‘pintu masuk’ bagi anak-anak mengenal Tuhan

Paderi Paroki Katedral St Mary menegaskan bahawa ibu bapa mempunyai tanggungjawab untuk menghidupi iman anak-anak mereka.

Mar 15, 2019

SANDAKAN: Paderi Paroki Katedral St Mary menegaskan bahawa ibu bapa mempunyai tanggungjawab untuk menghidupi iman anak-anak mereka. Father David A.Garaman berkata demikian semasa menyampaikan taklimat kepada ibu bapa, baru-baru ini, di Diocesan Centre Worship Hall.

Paderi itu juga menekankan kepentingan untuk mewujudkan suasana pertumbuhan, pemupukan dan pemantapan iman kanak-kanak di rumah.

Memetik Katekismus Gereja Katolik 2226 (KGK 2226), Fr David mengatakan pendidikan iman oleh ibu bapa seharusnya bermula sejak awal usia anak-anak.

“Ia bermula dengan kebiasaan, bahawa anggota-anggota keluarga saling membantu, supaya dapat tumbuh di dalam iman melalui kesaksian hidup yang sesuai dengan Injil. Katekesis keluarga mendahului semua bentuk pelajaran iman yang lain, menyertainya dan memperkayanya. Ibu bapa diutus untuk mengajar anak-anaknya berdoa dan mengajak mereka menemui panggilan mereka sebagai anak-anak Tuhan.”

Ibu bapa juga diseru agar membimbing anak-anak mereka tentang iman Katolik, bukan sekadar menghantar mereka ke Sekolah Minggu. Tegas Fr David, ibu bapa harus menepis tanggapan bahawa “agama” adalah subjek yang diajar di Sekolah Minggu kerana ibu bapa adalah katekis pertama bagi anak-anak.

Klerus itu menerangkan bahawa pembelajaran di Sekolah Minggu hanya dapat membantu pemahaman kerohanian anak-anak dan memerlukan peneguhan serta penerapan berterusan di rumah.

Seorang kanak-kanak memerlukan pembentukan iman secara berterusan agar mereka dapat menjadi insan yang lebih baik. Oleh itu, ibu bapa harus menjadi model iman Kristian yang unggul kepada anak-anak.

Fr David berpesan kepada ibu bapa agar jangan berasa “tertekan” apabila Gereja meminta mereka lebih bertanggungjawab dalam hal iman anak-anak sebaliknya mengambil cabaran ini sebagai peluang untuk membesarkan anak-anak yang seimbang dari segi rohani dan jasmani. Beliau mengatakan, membesarkan anak seiring dengan iman dan jasmani memang sukar serta mencabar tetapi Tuhan sentiasa hadir serta merahmati setiap usaha ibu bapa.

Katedral St Mary menyediakan Sekolah Minggu dalam pelbagai bahasa (Bhs Inggeris, Cina dan Bhs Malaysia) namun Fr David menganjurkan agar ibu bapa sentiasa menggalakkan anak-anak mereka untuk melakukan aktiviti bersama komuniti lain.

Beliau mengingatkan ibu bapa agar menjadikan Visi dan Misi Keuskupan Sandakan sebagai inspirasi mereka untuk mewujudkan komuniti berpusat kepada Kristus yang melayani sesama dengan cinta kasih.

Total Comments:0

Name
Email
Comments