Iman dari pelbagai negara bersatu di PANAMA!

Iman dari pelbagai negara bersatu di PANAMA!

Feb 01, 2019

KOTA PANAMA: Jorge Soto memakai topeng sukan gusti yang terkenal dari negaranya, Mexico. Topeng Lucha Libre tersebut bukan sahaja melambangkan tempat asal negaranya Mexico, malah ia menarik perhatian para peserta Hari Belia Sedunia (WYD) di Panama serta beliau berbangga memakai topeng itu yang mewakili negaranya.

Para penziarah lain pula memakai topi, beg atau T-Shirt yang mempunyai lambang negara misalnya peserta WYD dari Australia, El Salvador, Guatemala. Para penziarah muda ini membanjiri Kota Panama sebelum pembukaan rasmi WYD. Jorge dengan gembira mengatakan, “Ini merupakan kali kedua saya menyertai WYD.

WYD sentiasa membuatkan saya berasa gembira dan bersyukur dengan semua perkara. Pengalaman bertemu dengan ratusan ribu kaum muda Katolik dari pelbagai negara global, mengalami iman dan mendengar kesaksian-kesaksian mereka tentang perjumpaan dengan Yesus adalah ‘harta’ yang sangat bernilai!”

Sebagai anak muda yang bergelut dengan sekularisme di negaranya, “WYD menguatkan saya untuk membantu orang lain agar tidak tergelincir dari landasan iman.”

Seorang peserta berusia 16 tahun, Charlie Martin dari Australia mengatakan beliau kagum melihat realiti fizikal Gereja Katolik yang hidup di Amerika selama beberapa abad sebelum negaranya merdeka pada tahun 1901. Dengan nada humor, Charlie mengatakan beliau dan rakan-rakan senegaranya berasa seperti selebriti di Panama

kerana setiap kali bertemu dengan warga Panama, atau sama ada kami mengunjungi pusat membeli belah, warga Panama akan menegur kami atau bertepuk tangan untuk kami.

Malah, sambutan hangat warga Panama terhadap para penziarah membuatkan kami sangat terharu.

Mereka sangat mesra sehingga melambai-lambai setiap bas yang membawa penziarah dan pusat-pusat perniagaan di sini turut menampal poster WYD dan Sri Paus Fransiskus.

“Meskipun kami tidak bercakap dalam bahasa yang sama, tetapi kami menghormati sesama, berhenti sejenak untuk berjabat tangan, menyanyi, mengambil gambar bersama dan kadang-kadang menari dengan orang yang tidak pernah dikenali sebelum ini,” kata Aubrey Tedd, 15 tahun dari Australia.

Seorang seminarian dari Vietnam, Hien Vu, 30, mengatakan dia melihat harapan Gereja Katolik melalui WYD di Panama.

Malah, mereka yang bukan Katolik, seperti Jose Gonzales, seorang Protestan yang hadir ke WYD dengan isterinya, Silvia Lopez dari Guatemala, seorang Katolik, turut merasai pengalaman luar biasa di Panama.

“Sangat banyak pengalaman iman yang dipelajari di WYD. Malah, Jose yang menggalakkan isterinya untuk datang ke WYD kerana dia telah banyak mendengar kisah-kisah menarik tentang WYD dan tidak mahu melepaskan peluang itu, lebihlebih lagi adik kepada Jose sendiri yang mengongsikan kisah-kisah menarik dari WYD yang lepas.

“Kami mendengar banyak perkara baik tentang WYD,” kata Jose seraya menambah bahawa penganut dari iman yang berlainan tidak seharusnya menjauhkan diri atau takut untuk belajar tentang agama lain.

“Kita harus membuka minda kerana matlamat kita adalah sama iaitu bersatu dan bekerjasama untuk menjadikan dunia ini tempat tinggal bersama yang lebih baik!” ujar Jose.

Peserta dari Keuskupan Agung Kota Kinabalu, Malaysia, Aaron Matanjun yang menjalani Days in Diocese (DID) di Keuskupan Colon- Kuna Yala, Panama, melalui aplikasi Whatspp memberitahu bahawa beliau telah menjalani DID yang sangat menarik dan meneguhkan iman.

“Selama seminggu saya telah menjalin persahabatan dari pelbagai negara dan mengalami pengalaman berharga yang tidak akan mudah padam.

Saya amat terharu dengan kemesraan umat Katolik di Colon terhadap seluruh peserta muda dari pelbagai negara. Ini mendorong saya untuk lebih terbuka, lebih mahu mengenali orang lain tanpa memandang latar belakang mereka!” ujar Aaron yang juga berharap akan terus terbuka menerima kehendak Tuhan setelah kembali dari Panama. — media Vatikan

Total Comments:0

Name
Email
Comments