Impak Konsili Vatikan II terhadap Gereja tempatan di Keuskupan Keningau

Yesus memberi jaminan kepada kita pengikut-pengikut-Nya, “Aku akan sentiasa menyertai kamu sehingga akhir zaman”, (Mat.28:20). Berbagai cara Tuhan memperlihatkan bahawa Dia sungguh-sungguh hadir dan mendampingi perjalanan Iman Umat-Nya. Dengan Roh Kudus Tuhan menolong, mengajar dan mengingatkan kita akan ajaran-ajaran Yesus (Yoh. 14:26).

Apr 17, 2014

Yesus memberi jaminan kepada kita pengikut-pengikut-Nya, “Aku akan sentiasa menyertai kamu sehingga akhir zaman”, (Mat.28:20). Berbagai cara Tuhan memperlihatkan bahawa Dia sungguh-sungguh hadir dan mendampingi perjalanan Iman Umat-Nya. Dengan Roh Kudus Tuhan menolong, mengajar dan mengingatkan kita akan ajaran-ajaran Yesus (Yoh. 14:26).

Dengan jaminan ini saya percaya Roh Kudus telah menggunakan Sri Paus Yohanes XXIII dalam membaharui Gereja-Nya melalui Konsili Vatikan II.

Secara peribadi saya mengalami bahawa Gereja sebelum dibaharui melalui Konsili Vatikan II adalah sangat tidak bersifat peribadi (impersonal). Misalnya dalam perayaan Misa Kudus umat yang hadir tidak ada keterlibatan. Paderi yang merayakan Misa Kudus membelakangi Umat maka tidak ada suasana komuniti, masing- masing menjalankan doa atau devosinya sendiri. Ditambah pula bahasa yang digunakan sebelum Konsili Vatikan II hanya bahasa Latin, yang tidak difahami oleh Umat. Kami pelayan altar pada waktu itu sanggup menghafal jawapan-jawapan sepanjang Misa Kudus tetapi tidak memahami maksudnya!

Syukur, kerana dorongan Roh Kudus kepada Sri Paus Yohanes XXIII maka Konsili Vatikan II telah diadakan dan pembaharuan telah dimulakan. Dengan adanya pembaharuan, Gereja dialami bersifat peribadi, umat dapat turut serta dalam setiap perayaan Liturgi dan semangat komuniti antara Paderi, Religius dan Awam dapat dinikmati.

Dokumen-dokumen Konsili Vatikan II sangat membentuk pemahaman umat mengenai Gereja sebenar yang diinginkan Yesus. Dengan itu Gereja dialami relevan dengan zaman. Pengaruh Konsili Vatikan II mendorong para Uskup di Asia (FABC) memutuskan bahawa Gereja di Asia perlu sentiasa berdialog dengan agama-agama, budaya-budaya dan kemiskinan di Asia.

Pada tahun 1990 semasa persidangan Uskup-Uskup seAsia (FABC) di Bandung Indonesia, Uskup-Uskup telah bersetuju bahawa Gereja di Asia haruslah bersifat “Persekutuan antara Komuniti-Komuniti” (Communion of Communities).

Keuskupan Keningau yang dilahirkan pada Mei 6, 1993 sangat bertuah kerana umat yang menjadi anggota-anggotanya majoritinya adalah generasi muda dan sedikit sebanyak telah terdedah dan mengalami arus pembaharuan oleh semangat Konsili Vatikan II.

Melalui seminar-seminar bertajuk Liturgi, Alkitab, peranan Umat Awam dalam Gereja, dsb Umat lebih mudah mengenali, menerima dan rasa memiliki Visi-Misi-Matlamat Keuskupan. Semangat Kekitaan yang ada pada Umat di peringkat KKD, KUK, Zon, Paroki dan Keuskupan sangat memudahkan lagi merancang, melaksanakan dan menilai setiap perancangan Pastoral Keuskupan. Saya yakin semuanya ini adalah dorongan dan bimbingan Roh Kudus serta kesan-kesan positif dari Konsili Vatikan II.

Semangat yang ditunjukkan oleh Konsili Vatikan II seperti cara menggereja (Eklesiologi), tanggungjawab sosial dan Ekumenisma mendorong kita Umat mahu membangun Iman yang berasaskan kesatuan dengan peribadi Yesus (Yoh. 15:4-5), dikuasai oleh Roh Kudus (2 Tim. 1:6-7) serta mengenal Yesus melalui sesama (Mat.25:40). Kita yakin iman yang bersifat seperti ini akan melindungi kita dari mudah terpedaya atau menjadi fanatik.

Cita-cita kami ialah “membentuk Komuniti Umat Tuhan yang komited dan efektif melayani kerajaan-Nya” berpandu kepada Tema Pasoral: “Keluarga berpusat kepada Kristus berbudaya menyembah Tuhan, memantapkan Iman dan bertanggungjawab sosial” kami berharap cita-cita ini dapat direalisasikan.

Terima kasih tidak terhingga kepada semua Paderi, Religius dan Awam kerana semangat KEKITAAN dalam perjalanan Iman kita bersama yang kini 21 tahun usianya. Terima Kasih. Kebahagiaan Adalah Kekitaan +Bishop Datuk Cornelius Piong

Total Comments:0

Name
Email
Comments