Indahnya rasa ketika berdoa

Terdapat laporan akhbar bahawa satu perceraian berlaku di Malaysia setiap 15 minit dan bahawa hampir 99 peratus daripada perceraian tersebut membabitkan saudara kita yang beragama Islam.

May 29, 2014

HARI MINGGU PASKAH
VII (A)
PEMBACAAN
KISAH PARA RASUL 1:12-14;
1 PETRUS 4:13-16;
INJIL YOHANES 17:1-11

Terdapat laporan akhbar bahawa satu perceraian berlaku di Malaysia setiap 15 minit dan bahawa hampir 99 peratus daripada perceraian tersebut membabitkan saudara kita yang beragama Islam.

Dikatakan bahawa di antara punca daripada perceraian tersebut adalah tidak atau kurangnya bersolat (berdoa) dan kurangnya komunikasi yang baik di antara pasangan suami isteri tersebut. Daripada berita yang membuat hati kita kecut walaupun tidak membabitkan umat Kristian, kita boleh mengambil suatu hikmat yang boleh kita renungkan bersama. Pertama, budaya berdoa perlu kita amalkan selalu kerana berdoa itu merupakan suatu komunikasi yang baik dengan Tuhan. Apabila komunikasi kita baik dengan Tuhan, maka baik jugalah komunikasi dengan sesama kita terutama dengan pasangan kita, anak-anak dan keluarga kita.

Bayangkan, jika tiba-tiba Tuhan muncul di hadapan anda dan berkata, “Kita putuskan saja hubungan kita!” pasti anda terkejut dan bertanya “Kenapa?”

“Sebab, engkau semakin tidak memerlukan Saya, engkau jarang berdoa, engkau tidak memohon campur tangan-Ku dalam hidup mu lagi,” jawab Tuhan pula. Jika ini berlaku, maka kita perlu memeriksa hubungan kita dengan pasangan dan sesama kita serta kebiasaan kita berdoa kepada Tuhan. Mungkin selama ini kita tidak sedari ada terdapat kelemahan dan kesilapan. Mungkin juga cara kita berkomunikasi dengan sesama dan berdoa kepada Tuhan sudah terlalu biasa sehingga dianggap membuang masa atau sekadar endah tak endah sahaja.

Jika seseorang itu tidak mempunyai kepercayaan kepada Tuhan, maka tidak hairanlah orang tersebut terdorong untuk menganggap berdoa itu membuang masa sahaja. Tetapi kita adalah orang yang beriman.

Namun sekerap manakah kita berdoa? Semua bacaan pada hari ini berkisar tentang doa. Bahawa sesiapa yang mengasihi Tuhan dan memerlukan- Nya, tidak akan lari daripada budaya sentiasa berdoa. Malah Yesus di dalam Injil tadi juga berdoa, memperkuatkan lagi semangat kita untuk meniru cara hidup- Nya yang sentiasa berdoa.

Budaya berdoa memang baik, tetapi semangat berdoa itulah yang lebih kita utamakan. Sebab dengan amalan demikian, jiwa dan minda kita tertumpu hanya kepada Tuhan walau apa pun keadaan dan kegiatankegiatan yang sedang kita hadapi. Inilah yang kita namakan doa dari hati ke hati.

Berdoa dari hati ke hati memang berbeza dengan sekadar mengucapkan doa. Misalnya seorang ayah yang biasa berdoa “Bapa Kami” dengan keluarganya sebelum makan. Suatu hari sedang dia asyik mendaraskan doa tersebut, tiba-tiba berhenti pada kata, “Berilah kami rezeki pada hari ini” kerana sup kegemarannya belum dihidangkan dengan rasa marah. Si isteri terpaksa bergegas ke dapur mengambil sup barulah si ayah meneruskan doa.

Inilah salah satu sebab mengapa berdoa dari hati tanpa kata-kata lebih baik daripada hanya sekadar katakata tapi tanpa hati. Dengan kata lain, hanya doa yang muncul dari hati yang betul-betul dihayati akan dapat masuk ke dalam hati Tuhan.

Seandainya sukar bagi anda berdoa dari hati ke hati secara spontan, cubalah anda lakukan seperti yang dilakukan oleh seorang yang sudah lama terlantar di rumah sakit, tetapi sukar berdoa.

Salah seorang sahabatnya yang sering melawatnya mencadangkan kepadanya untuk meletakkan bangku dekat tempat tidurnya dan membayangkan Yesus duduk di sana. Kemudian menyuruhnya bercakapcakap dengan Yesus yang 'duduk' di bangku tersebut. Orang sakit tersebut mencubanya beberapa kali dan gembira kerana dapat bercakap lepas bebas dengan Yesus setiap waktu. Dikhabarkan bahawa apabila orang tersebut meninggal dunia, kedudukannya adalah menghadap ke bangku tersebut dalam keadaan yang aman dan damai.

Selain doa persendirian, kita perlu juga berdoa bersama sebagai suatu komuniti Kristian seperti yang pernah dilakukan oleh para rasul, “Mereka semua bertekun dengan sehati dalam doa bersama-sama” (Kis 1:14). Dengan kata lain, jika doa peribadi itu merupakan nafas iman, doa bersama pula bolehlah kita anggap sebagai paru-paru Gereja.

Sama ada doa persendirian atau doa komuniti, perlu mengandungi unsur pujian dan permohonan sebab, “Sebagai orang Kristian, hendaklah memuliakan Tuhan dalam nama Kristus itu" (1Pet 4:16). Bagi kita umat Kristian, hanya terdapat satu doa sahaja iaitu doa Yesus sendiri di mana kita semua mengambil bahagian. Itulah sebabnya setiap kali kita mengakhiri doa kita akhiri dengan berkata, “Demi Yesus Kristus Tuhan kita.”

Di dalam Injil tadi Yesus berdoa pertama-tama, Dia mengakui keutamaan kehendak Tuhan di dalam hidup-Nya dengan berkata, “Aku telah mempermuliakan Engkau di bumi dengan jalan menyelesaikan pekerjaan yang Engkau berikan kepada-Ku untuk melakukannya” (ay 4). Persoalannya, melalui doa-doa kita seharian, apakah kita mendahulukan kehendak Tuhan, atau kehendak kita sendiri?

Di dalam doa-Nya, Yesus memperlihatkan keprihatinan-Nya terhadap para pengikut-Nya apabila Dia berdoa, "Aku berdoa untuk mereka… yang telah Engkau berikan kepada-Ku" (ay 9). Persoalannya, selalukah kita mendoakan sesama kita terutama sesama yang berada di bawah tanggungjawab kita, contohnya keluarga dan rakan sekerja kita?

Rupa-rupanya dalam hal berdoa pun sama dengan praktik kehidupan harian kita terhadap sesama, iaitu menjaga kepentingan orang lain dan jangan terlalu mementingkan diri sendiri.

Apapun, amalkan budaya berdoa maka budaya membentuk iman dan budaya bertanggungjawab sosial pasti menyusul dengan mulus dan harmonis sesuai dengan kehendak Tuhan. -- JL

Total Comments:0

Name
Email
Comments