Institusi Sekular Komuniti Betania sambut ulang tahun ke-21

Dengan penyertaan kuasa Tuhan, Institusi Sekular Komuniti Betania (ISKB) telah melayani dan berjalan bersama selama 21 tahun.

Aug 16, 2018

KENINGAU: Dengan penyertaan kuasa Tuhan, Institusi Sekular Komuniti Betania (ISKB) telah melayani dan berjalan bersama selama 21 tahun.

Seramai 100 orang umat termasuk anggota ISKB meraikan Ulang Tahun Penubuhan IKSB yang ke 21 pada 27 Julai 2018.

Misa sempena ulang tahun ISKB ini diadakan di Rumah Retret Keuskupan Keningau Tatal (RRKKT) dan dipimpin oleh Bapa Uskup Cornelius Piong, bersama Father Ronnie Luni dan Father Bonaventure Unting.

21 tahun lalu, ISKB telah dibentuk dan disahkan secara rasmi di Katedral St. Francis Xavier Keningau yang disempurnakan oleh Uskup Cornelius Piong. Sempena pelancaran ISKB 21 tahun yang lalu, tiga orang anggota komuniti melafazkan Komitmen Pertama .

Mereka ialah Sdri Rita Titing (Mission Sook), Sdri Losia Tumpangon (Paroki St John) dan Sdri Anita Uliti (Paroki Holy Cross Toboh). Setelah 21 tahun, kini, anggota ISKB mempunyai 20 orang anggota yang melayani di Keuskupan Keningau dan Keuskupan Agung Kota Kinabalu. Para anggota ISKB ini tekun melayani dalam bidang Katekatikal, rumah retret, kantin, menjual barangan kudus serta membantu umat dalam pembentukan iman.

Anggota ISKB hidup dan memilih pekerjaan sendiri sesuai dengan bakat, kemampuan dan kesempatan yang ada dengan menghayati komitmen yang diikrarkan melalui penglibatan secara sukarela dan aktif dalam pelbagai kegiatan di dalam Gereja, jabatan kerajaan dan masyarakat dan pekerjaan sederhana. Keunikan anggota ISKB ialah mereka tetap awam seperti umat Katolik lain.

Namun ISKB mengucapkan janji komitmen secara rasmi dan umum dalam Gereja, hidup tunggal untuk Tuhan dan mengamalkan hidup doa yang khusus serta komited pada kemurnian, kesederhaan dan ketaatan kepada Tuhan dan pemimpin Gereja. Bapa Uskup dalam homilinya, mengatakan inspirasi daripada Roh Kudus, komitmen dan usaha yang menjayakan pembentukan ISKB. Beliau berpesan kepada anggota ISKB agar mengambil sikap yang perlu supaya dapat menghasilkan buah yang baik untuk pelayanan yang efektif.

“Pelayanan sememangnya bukan mudah, maka dengan itu ambilah sikap keterbukaan agar sentiasa terbuka kepada firman Tuhan. Kerana tanpa firman-Nya kesediaan untuk melayani kurang. Meskipun kamu sentiasa membaca firman-Nya, tetapi ia akan sia-sia jika kita tidak ada keterbukaan,” pesan Bapa Uskup. Seusai Misa, jamuan kesyukuran diadakan di dewan RRKKT.

Turut dilangsungkan pada hari itu ialah sambutan ulang tahun kelahiran dua orang ahli ISKB.

Total Comments:0

Name
Email
Comments