Jangan leka kejar kejayaan sehingga abai keperluan rohani

Pada 16-18 September yang lalu, kumpulan Pelayanan Muzik BM Labuan yang disertai oleh sembilan orang ahli telah berziarah di tiga Pintu Suci di Sabah

Oct 14, 2016

LABUAN: Pada 16-18 September yang lalu, kumpulan Pelayanan Muzik BM Labuan yang disertai oleh sembilan orang ahli telah berziarah di tiga Pintu Suci di Sabah iaitu St.Patrick Membakut, Gereja Holy Rosary Limbahau dan Rumat Retret Keuskupan Keningau di Tatal.

Perjalanan selama tiga hari dua malam itu banyak memberikan pengalaman berharga bagi para ahli Pelayanan Muzik dalam lebih merenung panggilan hidup dalam pelayanan serta tanggungjawab mereka terhadap masyarakat di sekeliling.

Penulis artikel, Clarence Micheal menceritakan: Kami memulakan perjalanan pada 16 Sept (Jumaat) pada jam 6.00 pagi dari Gereja Blessed Sacrament Labuan dan tiba di Pintu Suci St Patrick, Membakut pada jam 10.30 pagi.

Di sana, kami terpegun apabila melihat kawasan Gereja dibanjiri oleh para penziarah dari gereja-gereja lain.

Rombongan kami telah dipimpin oleh seorang Paderi untuk menghayati tentang Pintu Kerahiman Tuhan. Setelah melewati Pintu Suci, kumpulan kecil kami telah dipelawa oleh seorang belia untuk berdoa di Rumah Doa Kerahiman Ilahi yang terletak bersebelahan dengan Gereja. Pengalaman berdoa dalam keheningan di Rumah Doa ini sangat menyentuh setiap ahli kumpulan kami.

Setelah itu kami bergabung dengan rombongan utama kumpulan ziarah dari Gereja Blessed Sacrament Labuan ke Gereja Holy Rosary, Limbahau. Di Holy Rosary, kami lebih dapat menghayat perarakan dengan bersemangat ke Pintu Suci kerana buku panduan yang kami gunakan adalah dalam Bahasa Malaysia. Maka sahutan doa daripada para umat juga adalah lantang dan meriah.

Kami melewati Pintu Suci dengan penuh hormat dan perlahan- lahan agar setiap umat yang terlibat benar-benar dapat menghayati belas kasihan Tuhan secara peribadi, sambil menyentuh gambargambar suci yang terdapat pada Pintu Suci.

Setelah itu, bersama dengan rombongan utama Gereja Blessed Sacrament Labuan kami singgah di Pusat Penjagaan Warga Emas, Holy Family, di Kg. Purak, Papar. Pusat ini dikendalikan oleh para Sisters dari Kongregasi FSIC.

Di pusat ini, kami telah dibenarkan beramah-mesra dengan dan para penghuni. Meskipun para penghuni kelihatan agak letih kerana sentiasa dikunjungi oleh ramai pelawat dari serata tempat namun mereka tetap meluangkan masa untuk berbual dengan rombongan kami.

Aktiviti ini sangat menyentuh setiap hati kami agar lebih prihatin terhadap golongan tua yang begitu memerlukan doa, bantuan dan perhatian daripada masyarakat. Kami juga sangat terharu dengan komuniti FSIC yang dengan sepenuh hati melayani dan menjaga keperluan serta kebersihan para warga emas ini yang sentiasa terpinggir dan dilupakan oleh masyarakat luar.

Semoga pelayanan para komuniti Sister ini sentiasa diberkati oleh Tuhan kita.

Pada hari seterusnya iaitu 17 Sept 2016, kumpulan Pelayanan Muzik Labuan meneruskan ziarah ke Rumah Retret Keuskupan Keningau yang terletak di Kg Tatal.

Kami sangat bertuah kerana kunjungan kami bertembung dengan rombongan-rombongan lain seperti dari Monsorulung Tambunan, D7, Beriawa Tengah Keningau dan beberapa rombongan dari Paroki lain.

Ziarah ini diawali dengan Misa yang dipimpin oleh Fr.Gilbert Lasius. Di dalam homilinya, beliau menekankan bahawa “Pintu Belas Kasihan menandakan keinginan atau ketulusan kita untuk mengasihi, meninggalkan kegelapan dan cara hidup lama ke kehidupan baru melalui Kristus iaitu Pintu yang membawa kita kepada Bapa yang amat berBelas Kasihan.”

Sebelum memulakan upacara melewati Pintu Suci, kami sempat melihat sedikit keunikan pada Pintu Suci di Chapel Sakramen Mahakudus dan Sakramen Mahakudus telah menanti kami di hadapan Altar bagaikan Yesus sedang bersukacita mengalu-alukan kedatangan kami.

Pengalaman ini sangat menyentuh hati setiap kami dan benar-benar dapat merasakan kehadiran Tuhan serta merasai sentuhan damai Tuhan dengan anak-anak kesayangan-Nya. Kemudian, kami melanjutkan perjalanan kami ke Pusat Ziarah Keluarga Kudus di Nulu Sosopon.

Ziarah ke Pusat Ziarah Keluarga Kudus ini kami lakukan bersama dengan rombongan ziarah dari Kg.Beriawa Tengah, Keningau. Katekis Valentina Usad telah menerangkan sejarah Nulu Sosopon iaitu pada suatu ketika dahulu menjadi "tempat binatang hutan meminum air" dan kini, hasil usaha Uskup Cornelius Piong dan umat setempat, tempat ini telah berubah sebagai tempat mencari “air kehidupan” iaitu sebagai pusat retret khusus untuk keluarga.

Kami telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan mengambil giliran menaiki beberapa tingkat pada Menara Doa. Pada setiap tingkat kami diberikan renungan dan kemudian kami memanjatkan doadoa kami.

Pada sebelah petang hari kedua, kami telah mengadakan Persekutuan Doa khas bersama-sama dengan umat Gereja Our Lady Queen's of Peace Kg.Beriawa Tengah Keningau.

Kami melihat kerinduan yang mendalam daripada umat KKD ini dalam memuji dan menyembah Tuhan melalui lagu-lagu yang dinyanyikan. Program itu kami akhiri dengan majlis persaudaraan yang disediakan atas kemurahan hati para umat kampung.

Pada hari ketiga iaitu 18 Sept 2016 (Ahad), sekali lagi kami ke Pusat Ziarah Keluarga Kudus, Nulu Sosopon untuk menyertai Misa yang dipimpin oleh Uskup Cornelius Piong. Dalam homilinya, prelatus itu menekankan agar "jangan terlalu leka mengejar kekayaan dunia serta mengejar posisi pekerjaan sehingga mengabaikan keperluan rohani kita". Seusai Misa Kudus, kami berangkat kembali ke Labuan dengan perasaan sukacita kerana memperoleh pelbagai pengalaman rohani dan berasa sangat dekat dengan Tuhan sepanjang ziarah ini.

Kami juga sangat bersyukur atas kesempatan dan rencana Tuhan dalam program kami dan kami juga berhasrat untuk berkunjung ke Gereja lain pada tahun hadapan.”

Total Comments:0

Name
Email
Comments