Jauhi kehidupan seperti muzium, keluar dan kongsikanlah hidup anda

Sri Paus Fransiskus bersantai bersama belia dari seluruh dunia, pada Jumaat, 9 Jun lalu, dan bercakap dengan kaum muda tentang perlunya menjadi agen mengubah dunia bagi menumpaskan pendidikan elit.

Jun 16, 2017

ROMA: Sri Paus Fransiskus bersantai bersama belia dari seluruh dunia, pada Jumaat, 9 Jun lalu, dan bercakap dengan kaum muda tentang perlunya menjadi agen mengubah dunia bagi menumpaskan pendidikan elit.

Fransiskus yang banyak berjenaka tetapi tegas bergabung dengan kaum muda di alam maya melalui aplikasi atas talian “Google Hangout” lalu memberitahu mereka bahawa perkongsian dan membahagi- bahagikan harus ada dalam aktiviti kehidupan mereka, jika tidak, “hidup anda akan berakhir dalam muzium sahaja!”

“Kita semua mempunyai sesuatu untuk dibahagi-bahagikan dan kita semua harus membukakan diri untuk menerima sesuatu daripada orang lain, dengan cara ini, kita mengubah cara lazim manusia,” jelas Paus Fransiskus.

Setiap orang, ujar Sri Paus, mempunyai matlamat dalam kehidupan mereka dan kaum muda harus fokus untuk mencari matlamat masing-masing.

“Dalam pendidikan, kita memilih seleksi yang salah, iaitu menjadi elit. Kita mencipta kumpulan yang dikuasai oleh kepentingan diri sendiri.”

Kumpulan elit yang memisahkan diri daripada masyarakat, menurut Fransiskus, menjadikan hati dan minda tertutup pada suara dunia luar, menjadikan kita tidak berfikir tentang orang lain, tidak merasai apa yang dirasai oleh orang lain atau tidak mahu bekerjasama dengan orang lain.

Pertemuan belia dan Sri Paus ini dianjurkan oleh Scholas Occurentes, sebuah yayasan kanonik yang ditubuhkan 20 tahun lalu di Argentina, di mana Fransiskus masih menjadi Uskup Agung Jorge Mario Bergoglio bagi Keuskupan Agung Buenos Aires.

Seperti biasa, pertemuan santai Sri Paus dengan belia dari seluruh dunia itu dilakukan melalui aplikasi komunikasi Google Hangout. Kali ini, konferensi video atas talian Sri Paus bersama belia melibatkan kaum muda dari sembilan negara: Itali, Sepanyol, Mexico, Colombia, Brazil,

Fransiskus yang jelas dalam keadaan gembira, namun ada beberapa patah perkataan daripadanya sukar diterjemahkan secara langsung oleh para penterjemah misalnya kata “nigunear”, sebuah kata yang jarang digunakan dalam bahasa Sepanyol yang bermaksud, “memandang rendah terhadap seseorang.”

Paus Fransiskus memulakan perbualan dengan nada gurau bahawa masyarakat memerlukan belia seperti sebuah kamar ini memerlukan penghawa dingin! Kamar yang dirujuk oleh Sri Paus merupakan jabatan Scholas Occurentes yang baru dibuka di Vatikan. Skop yayasan tersebut adalah untuk mengintegrasikan kaum belia dari pelbagai latar belakang, bagi mempromosi aktiviti yang memacu kepada apa yang disebut oleh Sri Paus sebagai “budaya pertemuan.”

Beberapa orang belia yang menyahut panggilan ini telah menjadi peserta dalam beberapa aktiviti yang dipromosikan oleh yayasan tersebut. Mereka berbincang mengenai belajar berkongsi dengan rakan berlainan bangsa, agama dan kewarganegaraan.

Melalui perkongsian itu, para peserta mengatakan ia membantu mereka dalam usaha mewujudkan masyarakat yang lebih sejahtera di samping membantu mereka menghadapi pelbagai isu yang mempengaruhi kanak-kanak di peringkat persekolahan pada masa kini, misalnya isu buli.

Dalam konferensi atas talian itu juga, Fransiskus bercakap mengenai “tiga bahasa” iaitu “minda, hati dan tangan”.

Katanya, "Anda mengambil risiko agar anda dapat berfikir apa yang anda rasa, merasai apa yang anda fikirkan dan lakukan, serta melakukan apa yang anda fikir dan rasa. Ini akan menjadikan anda peka akan apa yang berlaku pada masa kini, bukannya menjadi serpihan pada dunia yang berbudaya “pakai buang”.

Kata prelatus itu lagi, di kebanyakan tempat, dana pendidikan sedang dikurangkan dan hanya yang berkemampuan dapat meneruskan pendidikan.

“Untuk mendidik bukanlah untuk menimba pengetahuan sahaja tetapi mampu menggunakan tiga bahasa yang disebutkan tadi, iaitu tangan, hati dan minda. Tegas Fransiskus, “Pendidikan adalah untuk semua orang.”

Selain pendidikan elit, Fransiskus juga menyebut sebuah lagi cabaran bagi kaum muda iaitu kesan daripada globalisasi masa kini: budaya “meja biliard.”

Uskup Roma itu menerangkan ketika bermain biliard, setiap titik adalah sama jarak ke pusat, dunia sekarang mengajar bahawa “semua orang adalah sama,” dan sifat-sifat unik atau ciri-ciri peribadi begitu berbeza pada setiap orang tidak diambil kira atau diabaikan.

Inilah cabaran kita, ujar Sri Paus. “Untuk membantu setiap orang yang menyertai program dalam Scholas, untuk mencari apa “keistimewaan” atau “keunikan” dalam diri mereka dan mengongsikan keunikan itu dengan orang lain kerana "saya, anda dan kita semua, masing-masing mempunyai matlamat dalam kehidupan."

“Untuk apa tujuan dan matlamat kehidupan ini? Untuk memberi dan berkongsi dengan masyarakat, dengan mereka yang memerlukan, dengan mereka yang terpinggir dan miskin. Dan dalam memberi itu, anda akan dapat mendengar, berbicara, berdialog tanpa keganasan.

“Dengan cara ini, anda bertumbuh dan terhindar daripada menjadi salah seorang daripada masyarakat yang semakin hari semakin mahu menjadi elit, mengasingkan diri dan kurang melibatkan diri dalam halhal masyarakat.”--Ines San Martín

Total Comments:0

Name
Email
Comments