Jimat elektrik untuk lindungi bumi!

"Lindungi Bumi Kita, Lindungi Anak-Anak Kita” merupakan inti utama misi Kempen Musim Penciptaan untuk tempoh lima tahun di Malaysia. Komisi Keadilan Ciptaan Tuhan bersama Tim Eco-Outreach (EOT) telah mengadakan pelancaran ini di peringkat Keuskupan Agung Kota Kinabalu pada 5 Sept di Dewan Katedral Hati Kudus.

Sep 12, 2020

KOTA KINABALU: "Lindungi Bumi Kita, Lindungi Anak-Anak Kita” merupakan inti utama misi Kempen Musim Penciptaan untuk tempoh lima tahun di Malaysia. Komisi Keadilan Ciptaan Tuhan bersama Tim Eco-Outreach (EOT) telah mengadakan pelancaran ini di peringkat Keuskupan Agung Kota Kinabalu pada 5 Sept di Dewan Katedral Hati Kudus.

Kempen yang akan berjalan selama lima tahun bermula 1 Sept 2020 sehingga 31 Ogos 2025 telah  disempurnakan oleh Uskup Agung Kota Kinabalu, Uskup Agung John Wong Soo Kau bersama-sama dengan YB Senator Adrian Lasimbang, dan disaksikan oleh Fr Russel Lawrine, Penasihat Rohani Komisi dan Sr Calista Saliun, Koordinator Komisi, berserta 40 orang yang terdiri daripada perwakilan dari setiap paroki, komisi dan religius.

Bagi tahun pertama ini, tema kempen adalah “Kurangkan Penggunaan Elektrik”, Uskup Agung dalam ucapannya menyatakan tentang adanya keperluan mendesak  untuk melindungi alam sekitar terutama pada masa-masa yang sukar ini, di mana kita sedang menghadapi situasi pandemik.

Mengenai tema kempen, Bapa Uskup Agung mencadangkan beberapa alternatif yang boleh diamalkan dalam memastikan penggunaan tenaga elektrik secara efisien seperti mematikan peralatan elektrik apabila tidak digunakan, menetapkan suhu penghawa dingin pada 24 darjah Celsius dan ke atas serta beralih tenaga yang boleh diperbaharui seperti tenaga solar.

Dalam ucapannya, Sr Calista Soliun berkata Sri Paus Fransiskus mengingatkan kita pada Musim Penciptaan untuk kembali ke Kitab Kejadian, di mana  Tuhan, umat manusia dan ciptaan lain hidup bersama dalam harmoni.

Sementara itu, Fr Russel Lawrine, dalam ucapannya mendorong masyarakat untuk menyertai kempen ini dalam melindungi Bumi dan generasi masa depan dengan hanya mengurangkan penggunaan elektrik sebagai sebahagian daripada amalan baru  kita dalam kehidupan seharian.

YB Senator Adrian Lasimbang turut dijemput untuk mengongsikan tentang tenaga yang boleh diperbaharui seperti tenaga suria dan bagaimana menggunakan elektrik dengan bijak.

Para perwakilan yang telah menghadiri pelancaran turut menerima poster dan risalah kempen dari Uskup Agung Kota Kinabalu untuk di bawa balik ke paroki masing-masing dan mengongsikan kepada semua umat gereja. ––CS

Total Comments:0

Name
Email
Comments