Junior SSVP anjur Kem Rosari untuk kanak-kanak

Junior SSVP anjur Kem Rosari untuk kanak-kanak

Oct 12, 2018

TAWAU: Sejak dahulu umat Katolik memiliki devosi yang kuat kepada Bonda Maria. Pada Bulan Maria tahun ini, Bapa Suci Fransiskus telah memutuskan untuk mengundang semua umat beriman dari seluruh dunia untuk menyediakan waktu berdoa Rosario setiap hari sepanjang Bulan Maria yang jatuh pada bulan Oktober agar dilindungi dari iblis yang selalu berusaha memisahkan manusia dari Tuhan dan dari satu sama lain.

Tidak lama dulu, pada 21-22 Ogos, Kem Rosari yang mempromosi rahmat kebaikan berdoa Rosari telah dianjurkan.

Disertai 53 kanak-kanak berusia 10-14 tahun, program ini dianjurkan oleh ketua-ketua Tim Junior St Vincent De Paul (SSVP).

Ia bermatlamat untuk meningkatkan pertumbuhan iman di kalangan ahli-ahlinya dan sebagai sarana mencapai Visi dan Misi Keuskupan Sandakan dalam membantu mereka menjadi komuniti yang berpusat kepada Kristus, melayani sesama dengan kasih.

Adalah diharapkan juga agar kanak-kanak yang menyertai kem tersebut dapat mengalami kepentingan untuk hidup dalam damai, membantu sesama dengan sukacita dan mempelajari nilai kesatuan di kalangan komuniti pelbagai kaum. Kem itu juga bermatlamat untuk mempromosi semangat kesatuan di kalangan kanakkanak dan membantu mereka menghayati semangat pelayanan sesuai dengan bakat mereka.

Kem itu dimulakan dengan Perayaan Ekaristi yang dipimpin oleh Msgr.Nicholas Ong. Dalam homilinya, Msgr Nicholas menekankan kepentingan menurunkan iman kepada generasi muda. Prelatus itu memuji program kem Rosari untuk kanak-kanak adalah sesuatu yang amat baik kerana ia memupuk dan menanam tradisi berdoa Rosari dan membukakan hati kepada Tuhan seterusnya meneguhkan iman serta mewujudkan budaya suka berdoa di kalangan kanak-kanak.

Selepas perayaan Ekaristi dan makan malam, para peserta berhimpun di groto untuk berdoa Rosari dalam dua bahasa.

Sepanjang Kem, fasilitator menerangkan setiap misterium doa Rosari dengan kehidupan Yesus dalam Kitab Suci agar kanak-kanak lebih memahami keilahian Tuhan Yesus.

Kem ini turut disertai sepuluh orang kanakkanak dari sekolah migran Sin On. Dapat dilihat, para peserta bukan sahaja belajar mengenai kekayaan doa Rosari malah belajar melayani, membantu malah melakukan tugas-tugas yang tidak pernah mereka lakukan sebelum ini di rumah.

Pada akhir Kem, kebanyakan peserta mahu agar masa untuk kem itu dipanjangkan pada masa hadapan. Selain itu, ahli-ahli Junior SSVP juga dapat mempraktikkan semangat kepimpinan dan pelayanan dalam kem itu.

Kem Rosari berakhir pada pukul 4.00 petang, 22 Ogos.

Total Comments:0

Name
Email
Comments