Kaamatan bukan platform perkauman sebaliknya memupuk perpaduan

“Perayaan Kaamatan mengajak kita untuk memahami betapa tinggi nilai pengorbanan seseorang bagi memberi kehidupan kepada orang lain.

Jul 13, 2018

KOTA BELUD: “Perayaan Kaamatan mengajak kita untuk memahami betapa tinggi nilai pengorbanan seseorang bagi memberi kehidupan kepada orang lain. Lagenda Huminodun yang diceritakan oleh nenek moyang kita iaitu menyerahkan hidupnya untuk di olah menjadi benih padi sehingga menyelamatkan mereka yang kebuluran menyamai pengorbanan Yesus yang telah memberikan hidup-Nya bagi keselamatan seluruh umat manusia,” demikian pesan Fr Ambrose Atang, Paderi Paroki St Edmund, Kota Belud.

Pesanan beliau itu adalah sempena Pesta Menuai atau Pesta Kaamatan yang dirayakan baru-baru ini di St Joseph Mantanau, kawasan Zon Timbang. Pesta Menuai ini dirayakan selama dua hari iaitu hari pertama merupakan acara sukan tradisi dan keesokan harinya, perayaan kemuncak Kaamatan iaitu Perayaan Ekaristi dan persembahan pentas.

Meskipun Lagenda Huminodun seakan-akan sama dengan pengorbanan Yesus tetapi sebagai umat Katolik, pengorbanan Yesus tidak ada bandingan-Nya dan ia bukanlah lagenda sebaliknya sejarah nyata seperti yang dicatat dalam Kitab Suci. Fr Ambrose juga menegaskan bahawa pesta Kaamatan bukanlah platform perkauman dan perpecahan sebaliknya kesempatan untuk memupuk perpaduan serta mengekalkan adat budaya baik yang tidak bertentangan dengan ajaran agama Kristian.

Pengerusi Majlis Pastoral Paroki, Sdra Jinuin Victor dalam buku aturcara berkata, walaupun ada di antara kita yang tidak lagi mengusahakan sawah padi namun semangat Kaamatan yang kaya dengan unsur kesyukuran adalah ajakan untuk kita sentiasa berterima kasih kepada Tuhan atas segala hasil pekerjaan kita.

Manakala Pengerusi Penganjur, Sdra Thomas Dani pula tidak lupa merakamkan penghargaan kepada Paderi Paroki, AJK Pelaksana dan semua yang terlibat dalam perayaan tersebut.

Selepas Misa, umat beredar ke dewan untuk menyaksikan gimik perasmian mengetam padi dan memalukan gong oleh Fr Ambrose. Beliau juga mengumumkan tuan rumah Pesta Kaamatan peringkat Kota Belud pada tahun hadapan ialah Zon Bangkahak. --Alfred

Total Comments:0

Name
Email
Comments