Kaamatan, Gawai diraikan dalam normal baharu

Pesta Kaamatan bagi masyarakat Kadazandusun di Sabah dan Hari Gawai bagi komuniti Dayak di Sarawak merupakan salah satu platform mengeratkan perpaduan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Jun 06, 2020

KOTA KINABALU: Pesta Kaamatan bagi masyarakat Kadazandusun di Sabah dan Hari Gawai bagi komuniti Dayak di Sarawak merupakan salah satu platform mengeratkan perpaduan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Ia biasanya diraikan secara besar-besaran  namun kali ini disambut dalam suasana berbeza kerana negara masih berjuang menentang penularan Covid-19.

Disebabkan oleh kemajuan teknologi digital, sambutan Pesta Kaamatan dan Gawai  dianjurkan secara dalam talian supaya tradisi kesyukuran tetap dapat diteruskan dalam normal baharu rakyat Malaysia. Malah, komuniti Katolik di Sabah dan Sarawak tetap merayakan Misa Kaamatan/ Gawai yang disiarkan secara langsung dalam talian.

Di Keuskupan Agung Kota Kinabalu misalnya, Paroki Katedral Hati Kudus dan St Peter Claver, Ranau masingmasing merayakan Misa Kaamatan pada 1 Mei dan 7 Mei. Manakala di Keuskupan Keningau, Misa Kaamatan dirayakan serentak dengan Ulang Tahun Keuskupan Keningau ke-27 pada 3 Mei lalu.

Komuniti Katolik di Sarawak pula tidak melepaskan peluang merayakan Hari Gawai dengan perayaan Misa yang dianjurkan oleh pelbagai Paroki khususnya pada 1   Jun lalu. Antara Gereja yang menganjurkan Misa Hari Gawai ialah Katedral St Joseph Kuching dan St Ann, Kota Padawan.

Di Sabah, meskipun hanya menyambut perayaan pesta Kaamatan secara sederhana bersama keluarga terdekat dan rakan sekampung, namun, kemeriahannya tetap dirasai oleh Anastasia Eva Danny, 19, gadis berbangsa Murut berasal dari  Kampung Indah, Nabawan, kira-kira 180 kilometer, dari Kota Kinabalu.

Anak keempat daripada tujuh beradik itu berkata sambutan pesta Kaamatan pada tahun ini sememangnya agak berlainan berbanding tahun sebelumnya kerana kebiasaannya dia akan menghadiri beberapa aktiviti diadakan termasuk menyaksikan pertandingan Unduk Ngadau (Ratu Cantik) dan Sugandoi (nyanyian).

Bagaimanapun, Anastasia berkata perbezaan cara sambutan perayaan yang turut menerapkan normal baharu mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan bagi membendung penularan Covid-19 bukan menjadi penghalang untuknya terus menyuburkan budaya serta  tradisi pesta Kaamatan.

Sambutan Kaamatan hari ini dibuat secara kecil-kecilan. Ada seramai 17 orang daripada empat keluarga di kampung ini bersama meraikannya. Masih mematuhi SOP ditetapkan. Kami juga memakai baju tradisi dan membawa juadah masing-masing bagi memeriahkan lagi suasana,” katanya kepada akhbar Bernama pada 31 Mei lalu.

“Walaupun Kaamatan disambut dalam keadaan begini (mengikut SOP), namun, tradisi tetap ada dalam hati dan kami tidak boleh melupakannya.

“Kami masih boleh mendengar lagu Kaamatan, menyaksikan pertandingan Sugandoi dalam talian, memakai baju  tradisi dan mengambil gambar sebagai kenangan,” katanya.

Bagi Melianus Maturin, 24, yang setiap tahun merayakan Pesta Kaamatan bersama keluarga di Hongkod Koisaan mengatakan meskipun terkilan tidak dapat menyambut Pesta Kaamatan seperti biasa pada tahun ini tetapi beliau dan keluarga amat gembira kerana dapat mensyukuri Kaamatan dengan perayaan Ekaristi dalam talian.

"Kami sekeluarga memakai pakaian tradisi semasa mengikuti Misa Kudus Kaamatan siaran dari Keuskupan Keningau. Dan pada 30-31 Mei, kami mengadakan pertemuan kecil, hanya 15 orang, untuk berdoa Rosari bersama, mendengar cerita daripada orang yang lebih tua mengenai lagenda Kaamatan dan makan minum bersama," kata Melianus.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu entri beliau di Facebook mengatakan meskipun sambutan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai tahun ini tentunya disambut dalam suasana berbeza kerana kita masih berjuang menentang penularan pandemik COVID-19, "Namun, saya harap situasi itu tidak menghalang kita daripada berhubung sesama ahli keluarga dan sahabat handai untuk menyatakan kegembiraan menyambut perayaan ini.

PM juga menyambut baik acara sambutan Pesta Kaamatan yang akan berlangsung dalam talian. "Ini amat dialu-alukan supaya tradisi kesyukuran tetap dapat diteruskan dalam 'norma baharu' masyarakat Malaysia. "Semoga perayaan ini terus menyemarakkan keharmonian antara kaum di Malaysia dan  memperkukuhkan perpaduan." -- pelbagai sumber akhbar tempatan

Total Comments:0

Name
Email
Comments