Kaum muda waspada “semangat-semangat” yang boleh memecah belah

Kaum muda waspada “semangat-semangat” yang boleh memecah belah

Oct 19, 2018

Prefek kepada Dikasteri untuk Komunikasi Vatikan, Paolo Ruffini, memulakan taklimat akhbar singkat pada 12 Okt lalu dengan menjelaskan beberapa intervensi yang berlaku semasa sinode pada hari tersebut. Para Uskup telah mula bekerja di bahagian kedua Instrumentum Laboris, menganalisis konteks di mana para belia melihat diri mereka pada hari ini.

Beberapa isu telah timbul semasa sesi intervensi, termasuk iringan dan pembentukan, panggilan, “totalitarianisme” yang baru (perkara yang menjajah orang muda dan merampas kebebasan) dan cara membuat ruang baharu bagi membantu golongan muda membezakan apa yang baik.

Kardinal Carlos Aguiar Retes dari Mexico mengatakan bahawa dalam semua peringkat usia, mereka yang paling berjuang untuk menyesuaikan diri dengan pembinaan sosial adalah orang muda. Katanya, kita hidup pada masa masyarakat berpecah dan terbahagi. Ini bermakna, Gereja harus mengambil peranan untuk membantu kaum muda. Prelatus itu menyatakan bahawa visi bersama Vatikan II dapat membantu kita mewujudkan kestabilan dan masa hadapan.

Kardinal Carlos juga mengatakan bahawa totalitarianisme selalu menggoda masyarakat, terutamanya dalam politik dan ekonomi. Terlalu banyak jenis totalitarianisme telah dibahas dalam Sinode, dan kardinal itu turut merujuk akan wujudnya lamanlaman web yang cuba memanipulasi golongan muda dalam ideologi tertentu.

Uskup Agung Hollerich berkata bahawa beliau khuatir dengan sikap populisme di Eropah. Menurut beliau populisme boleh menyebabkan perpecahan di Eropah dan akan menyebabkan benua itu dalam bahaya.

Beliau menjelaskan bahawa Sinode bukanlah membincangkan politik sebaknya prihatin kepada golongan yang terpinggir maka para Uskup berusaha untuk menghalang pertumbuhan populisme. Uskup Agung itu mengatakan bahawa Sinode adalah penawar yang baik untuk membanteras populisme.

Briana Regina Santiago, jurubicara kaum awam dari Amerika Syarikat, memberitahu para wartawan bahawa kaum muda telah menyuarakan pendapat mereka dan dalam kumpulan perbincangan, mereka telah menyuarakan banyak buah fikiran.

Beliau juga mengatakan kegembiraannya kerana dapat menyertai Sinode itu dan menjelaskan bahawa beliau tidak pernah mendengar rungutan atau kenyataan negatif daripada para peserta muda. Menurutnya lagi, sesi terbuka dialog telah membuka mata, memperkaya dan menjadi isu perbincangan yang sangat baik. — CNA/EWTN

Total Comments:0

Name
Email
Comments