KDN haram komik ‘Ultraman The Ultra Power’

Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada Mac 7 lalu menjelaskan pengharaman buku komik 'Ultraman The Ultra Power' kerana isi kandungannya yang merujuk watak Ultraman King digelar sebagai "Tuhan."

Mar 14, 2014

PETALING JAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada Mac 7 lalu menjelaskan pengharaman buku komik 'Ultraman The Ultra Power' kerana isi kandungannya yang merujuk watak Ultraman King digelar sebagai "Tuhan."

Menurut Bahagian Kawalan Penerbitan Dan Teks Al-Quran KDN, kandungan seperti itu dikhuatiri boleh merosakkan akidah anak-anak umat Islam dengan menyamakan "Allah" dengan Ultraman.

Dan menurut Bahagian itu lagi, oleh kerana watak ultraman menjadi kesukaan kanak-kanak, kandungan yang merujuk watak Ultraman King sebagai "Allah" akan dikhuatiri akan memudaratkan ketenteraman awam dan menggemparkan fikiran orang ramai.

Bagaimanapun jelas KDN, pengharaman berkenaan hanya dikenakan terhadap terbitan 'Ultraman The Ultra Power' sahaja tanpa melibatkan komik atau watak ultraman lain.

"Alasan kenapa buku ini dikenakan perintah larangan adalah kerana kandungan buku itu menggunakan watak Ultraman King yang digelarkan sebagai "Allah".

"KDN mengenakan perintah larangan terhadap bahan penerbitan ini disebabkan watak Ultraman menjadi idola kepada kanak-kanak yang boleh mengelirukan pemikiran kanak-kanak terhadap sifat "Allah" yang disamakan dengan Ultraman King.

Buku berbahasa Melayu itu adalah terbitan Resign Publications, manakala pencetaknya dibuat oleh Network Printers.

Mengikut kenyataan tersebut, warta perintah larangan berkenaan berkuatkuasa pada Februari 8 lalu mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984. -- mStar

Total Comments:0

Name
Email
Comments