Keangkuhan memisahkan kita dengan belas kasihan Tuhan

Letupan di selatan Turki telah menyebabkan kebakaran di sebuah majlis perkahwinan yang meragut nyawa seramai 50 orang dan hampir 100 orang cedera parah.

Aug 26, 2016

VATIKAN: Letupan di selatan Turki telah menyebabkan kebakaran di sebuah majlis perkahwinan yang meragut nyawa seramai 50 orang dan hampir 100 orang cedera parah. Berikutan tragedi itu, Paus Fransiskus menawarkan doa bagi para mangsa dan bersungguhsungguh meminta kepada Tuhan yang Berbelas Kasihan agar damai dapat dinikmati oleh semua orang di bumi ini.

Paus Fransiskus menyatakan dukacitanya di atas kejadian berdarah yang terjadi di Turki pada semasa memimpin doa Angelus pada 21 Ogos.

Menurut agensi berita Aljazeera, lebih kurang 50 orang telah terbunuh dan 94 orang lagi cedera selepas letupan yang dipercayai dilakukan oleh pengebom berani mati. Pengebom berani mati itu merempuh ke majlis perkahwinan di daerah Sahin Bey, kota Gaziantep, iaitu dekat sempadan Syria pada 20 Ogos.

Meskipun belum ada orang yang mendakwa bertanggungjawab melakukan serangan itu, menurut Aljazeera, Ali Yerlikaya, gabenor Gaziantep, merujuk tragedi itu sebagai serangan teroris dan presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan mendakwa pembunuhan kejam itu ada kemungkinan besar dilakukan oleh Daesh.

Sebelum berucap, terlebih dahulu Sri Paus merenung petikan Injil pada hari tersebut yang dipetik dari Injil Lukas, di mana semasa Yesus sedang mengajar di Yerusalem, seseorang telah bertanya mengapa hanya sedikit orang yang diselamatkan?

Sangti Papa menerangkan bahawa Yesus tidak segera menjawab soalan itu sebaliknya merujuk kepada sebuah pintu serta mengajak umat untuk berusaha melewati pintu sempit itu.

Dengan memberikan gambaran sebuah pintu, Yesus memberitahu para pendengar-Nya bahawa berapa orang yang akan diselamatkan adalah tidak penting.

“Umat harus tahu bahawa yang lebih penting ialah mengenal dan mengetahui jalan yang membawa kita kepada keselamatan dan kegembiraan kekal.”

Laluan itu diperlukan sekiranya kita melewati pintu itu. Pintu itu, kata Sri Paus, adalah Yesus sendiri. “Dia mahu memimpin kita semua dan bersatu dengan Bapa di mana kita akan dinaungi dengan cinta kasih, perlindungan dan belas kasihan.”

“Mengapa pintu itu begitu sempit?” tanya Sangti Papa. Ia bukanlah bermaksud menindas atau menekan sebaliknya mencabar kita untuk merendahkan diri, meninggalkan sikap angkuh dan ketakutan serta membuka hati kita untuk taat kepada-Nya, mengakui bahawa kita adalah pendosa yang memerlukan belas kasihan-Nya.”

Meskipun pintu penyelamatan itu sempit tetapi pintu belas kasihan Tuhan “sentiasa terbuka lebar” bagi semua orang malah Tuhan juga tidak memilih kasih serta mengalualukan kedatangan semua orang.

Yesus mengatakan bahawa Dia menanti setiap kita, walau apa pun dosa yang telah kita lakukan, Dia menunggu kita datang kepada-Nya, untuk mengampuni dosa kita dan merangkul kita ke dalam pelukan- Nya yang sarat dengan cinta kasih. Hanya dengan membuka hati untuk menerima belas kasihan dan kasih sayang-Nya, barulah kita dapat memahami makna kehidupan kita dan sukacita yang sejati.”--CNA/EWTN

Total Comments:0

Name
Email
Comments