Kecewa dengan Uskup Ruteng, puluhan paderi mahu undur diri

Hampir 60 orang Paderi di Keuskupan Ruteng mengancam akan mengundurkan diri dari pelayanan imamat kerana kecewa dengan Uskup Ruteng, Msgr Hubertus Leteng.

Jun 23, 2017

JAKARTA: Hampir 60 orang Paderi di Keuskupan Ruteng mengancam akan mengundurkan diri dari pelayanan imamat kerana kecewa dengan Uskup Ruteng, Msgr Hubertus Leteng.

Beberapa media di Indonesia melaporkan bahawa lebih kurang 69 orang Paderi dari Keuskupan Ruteng telah menyerahkan surat peletakan jawatan berkuat kuasa pertengahan bulan Jun, mengundurkan diri dari pelayanan mereka sebagai vikaris episkopal dan paderi paroki serta mendesak Uskup Hubertus memberikan penjelasan tentang perbelanjaan kewangan yang banyak serta banyak lagi.

Menurut laporan, pada 12 Jun lalu, para Paderi berkenaan telah mengadakan sesi dengan Uskup Hubertus, malangnya Uskup Hubertus tidak dapat datang pada saat akhir kerana ada urusan keluarga yang mendesak.

Namun begitu, dalam Uskup Hubertus sempat menyampaikan pesan kepada para Paderi tersebut bahawa beliau tidak mahu para pelayan tertahbis itu melepaskan jawatan mereka namun jika mereka mahu terus mengundurkan diri, Uskup itu mengatakan ia adalah pilihan bebas mereka.

Kepada para wartawan, Uskup Ruteng itu tidak mahu mengulas dakwaan yang dilontarkan oleh para Paderi terhadap beliau. Sebaliknya berpesan kepada para Imam yang mengancam untuk mengundurkan diri bahawa, “Jika anda menyayangi Gereja, anda harus mewujudkan rasa tenang di kalangan umat anda,” tegas beliau.

Fr Marthen Chen, jurucakap para Paderi mengatakan masalah yang menimpa di Keuskupan Ruteng sudah diketahui umat bahkan sudah dibawa ke Vatikan namun masih tidak ada penyelesaian, malah semakin meruncing.

“Hal ini membuat para Paderi meminta untuk segera diselesaikan secara terbuka,” katanya lagi seraya menambah, akibat masalah itu, para klerus tidak tenang ketika menggembala.

Salah seorang Paderi yang tidak mahu disebutkan nama, mendakwa, pada tahun lalu, Uskup Hubertus secara diam-diam telah meminjam $94,000 dari Konferensi para Uskup Indonesia (KWI) dan $ 30,000 lagi dari Keuskupan tetapi gagal mengemukakan laporan akaun yang wajar.

Paderi itu juga menyatakan bahawa dalam sebuah mesyuarat, Uskup Hubertus telah memberitahu para Paderi bahawa wang itu digunakan untuk membiaya pendidikan seorang belia dari keluarga miskin yang sedang belajar untuk menjadi juru kemudi kapal terbang di Amerika. Apabila para paderi mahu meminta penjelasan yang lebih lanjut mengenai hal ini,
Uskup Hubertus mengatakan kepada mereka agar tidak menyibuk dalam perkara ini.

Pada tahun lalu, 112 dari 167 Paderi Keuskupan telah menandatangani surat tidak percaya kepada Uskup Hubertus. Para paderi syak bahawa wang tersebut telah dibelanjakan ke atas seorang wanita yang mempunyai hubungan sulit dengan uskup tersebut.

Pada tahun 2014, seorang paderi yang mengetahui hal tersebut telah mengundurkan diri dari jabatan imamat dan mendakwa Uskup Ruteng secara terbuka. Pada masa itu, uskup telah menafikan tuduhan itu dan mengatakannya sebagai fitnah.

Salah seorang paderi juga menjelaskan bahawa perkara ini sudahpun diberitahu kepada KWI dan Vatikan namun masih belum ada apa-apa maklum balas.--CNA/EWTN

Total Comments:0

Name
Email
Comments