Kegelapan jiwa kerana hati yang kosong

Friedrich Nietzshe dan Ludwig Feuerbach merupakan antara beberapa orang penulis yang pernah memberikan kritikan tajam mengenai iman serta agama.

Mar 14, 2014

Friedrich Nietzshe dan Ludwig Feuerbach merupakan antara beberapa orang penulis yang pernah memberikan kritikan tajam mengenai iman serta agama.

Nietzsche pernah mengisytiharkan bahawa “Tuhan sudah mati,” dan “kitalah pembunuh- Nya!” Dia menyatakan bahawa “Kita membunuh Tuhan dengan cara halus tanpa kita sedari.” Kritikan mereka ini boleh diringkaskan seperti berikut: Pada akhirnya, iman dan agama merupakan hasil tanggapan manusia.

Kita percaya kepada Tuhan kerana kita mahu menjadi suci dan sederhana. Kita menggambarkan Tuhan yang dapat memenuhi kehendak-kehendak kita. Kita percaya kepada Tuhan kerana tanpa kepercayaan tersebut, kita tidak dapat berhadapan dengan kesakitan, kekecewaan, kelemahan dan keterbatasan di dalam hidup kita. Kita tahu bahawa kita akan kehilangan kekuatan dan harapan tanpa Tuhan.

Oleh itu, Tuhan umpama candu di dalam iman dan agama. Tuhan dan agama merupakan sejenis candu yang kita cipta untuk diri sendiri agar kita dapat menempuh kesengsaraan hidup dan memberikan kita harapan untuk meneruskan hidup ini.

Namun, ini bukanlah teguran utama bagi kedua-dua penulis tersebut. Sebenarnya, perkara yang mereka tekankan di sini ialah kita mencipta Tuhan yang dapat memenuhi pilihan-pilihan kita dan meletakkan semua perkara yang kita kehendaki di bawah jagaan Ilahi.

Bagi kita, Tuhan adalah candu hebat yang boleh menjadikan kita kalis kesakitan dan kekecewaan. Meskipun kita beranggapan bahawa kita memuliakan Tuhan, Sumber Kekudusan kita tetapi sebenarnya kita hanya memerlukan Tuhan sebagai tempat kita mahukan keizinan dan kekuatan untuk diri sendiri. Kita tidak perlu melihat contoh-contoh yang jauh untuk mengetahui mengapa mereka mengatakan sedemikian.

Di mana-mana sahaja, kita memanipulasi iman dan agama untuk kebaikan diri sendiri. Ada kata-kata sinis yang menyatakan bahawa Tuhan mencipta kita mengikut imej dan keserupaan-Nya sehingga kita tidak pernah berhenti mengambil kesempatan terhadap- Nya. Kita jarang mempunyai niat murni di dalam iman dan agama.

Terdapat banyak sifat manusia yang ketara yang menunjukkan kita “mempergunakan” Tuhan untuk kepentingan diri sendiri. Lihatlah peranan agama sepanjang sejarah, terdapat bukti kukuh agama di mana manusia menggunakan agama untuk melakukan sesuatu.

Sebagai contoh, pada hari ini, kita melihat pelbagai bentuk keganasan yang menggunakan nama Tuhan sebagai alasan memulakan peperangan atau keganasan. Puak pelampau Islam merupakan bukti yang amat jelas, tetapi bukan itu sahaja, malah perkara “ekstremis” ini juga sebenarnya berlaku di dalam hidup kita sendiri.

Semua kita cenderung untuk memperlakukan Tuhan mengikut pemikiran dan keputusan kita serta menggunakan nama Tuhan dan agama untuk menyokong tindakan kita. Jadi apa yang harus kita renungkan mengenai perkara ini? Saya percaya, Yohanes dari Salib akan bersetuju 98% mengenai apa yang diperkatakan oleh Nietzsche dan Feuerbach.

Selalunya, kita memanipulasi Tuhan dan agama mengikut keperluan kita sendiri. Tetapi 2% yang diperkatakan oleh Nietzsche dan Feuerbach adalah salah.

2% tersebut ialah, Tuhan tetap dapat mencari ruang untuk mengalirkan kasih-Nya yang suci ke dalam hidup, dan agama dapat mencari ruangnya yang tersendiri untuk menjadi pengantara kehadiran Tuhan serta kebenaran yang kudus.

Sememangnya, dengan sifat semulajadi sebagai manusia biasa, tanpa disedari, kita cuba memperalatkan Tuhan mengikut kehendak kita sendiri. Kita tidak mudah memahami atau membenarkan Tuhan untuk melakukan kehendak- Nya kepada kita.

Kita mahu Tuhan, agama, kebenaran tetapi di dalam cara kita sendiri. Begitu juga di dalam hal Gereja. Gereja turut mempunyai kecenderungan yang sama. Gerejagereja juga sukar membenarkan Tuhan campur tangan di dalam hidup dan sukar membiarkan Tuhan menentukan hala tuju mereka.

Namun pada masa-masa tertentu, Tuhan akan mengakhiri semua kedegilan itu, Dia akan meletakkan kita, secara individu atau komuniti gereja dalam keadaan yang dipanggil “kegelapan jiwa” oleh ahli mistik. Apakah kegelapan jiwa ini?

“Kegelapan jiwa” berlaku apabila imaginasi dan hati kita kosong serta kering untuk memahami perasaan dan pemikiran agung Tuhan. Ini mendorong kita untuk berlutut di dalam kelemahan dan kita mendapati usaha kita di dalam memahami Tuhan melalui imaginasi serta pemikiran kita adalah siasia. Segala usaha, pemikiran lalu, perasaan dan rasa selamat berada di samping Tuhan, malah merasai kehadiran Tuhan pada masa sekarang, menjadi kosong dan siasia, semangat dan kepercayaan itu tidak lagi dapat membantu kita.

Tinggallah kita di dalam tahap pemikiran dan emosi seperti seorang ateis atau agnostik. Namun, Jurgens Moltmann pernah menyatakan bahawa iman kita bermula ketika tahap pemikiran kita berada seperti seorang ateis iaitu menyangka Tuhan tidak ada dan segalanya tentang iman sudah berakhir. Iman bertumbuh pada ketika kita merasa kekosongan, ketiadaan, kegelapan dan sangat tidak berdaya untuk menggambarkan kehadiran Tuhan atau mental kita tidak dapat merasai kehadiran-Nya.

Di dalam rasa kosong, kering, tidak dapat menggambarkan dan mempercayai Tuhan adalah unsurunsur yang menghindarkan kita daripada memanipulasi Tuhan.

Kita terlalu lemah untuk merosakkan aliran Roh Kudus yang memasuki di dalam hidup kita. Iman dan agama sebenarnya bermula dari titik kelemahan kita.

Apabila kita benar-benar tersungkur dan benar-benar merasa rapuh di dalam iman dan agama, barulah Tuhan dapat membentuk kita di dalam imej dan keserupaan- Nya, memasuki hati kita dan mengalirkan kesucian dan kemurnian- Nya di dalam hidup kita. -- Fr Ron Rolheiser, Hakcipta terpelihara 1999-2014

Total Comments:0

Name
Email
Comments