Kekuatan dan keunikan kepimpinan Yesus

Saya percaya dunia zaman sekarang ini sungguh memerlukan pemimpin-pemimpin yang berwawasan untuk membangun – bukan meruntuhkan, menjaga – bukan menyalahgunakan kuasa, membolehkan orang – bukan mendominasikan dan bukan pemimpin yang mencari keuntungan di dalam kedaifan orang yang dipimpinnya.

May 08, 2014

HARI MINGGU PASKAH
IV (A)
PEMBACAAN
KISAH PARA RASUL 2:14,36-41;
1 PETRUS 2:20-25;
INJIL YOH10:1-10

Saya percaya dunia zaman sekarang ini sungguh memerlukan pemimpin-pemimpin yang berwawasan untuk membangun – bukan meruntuhkan, menjaga – bukan menyalahgunakan kuasa, membolehkan orang – bukan mendominasikan dan bukan pemimpin yang mencari keuntungan di dalam kedaifan orang yang dipimpinnya.

Perhatikan dua orang pemimpin politik berikut ini. Pada suatu hari pemimpin pertama menjemput pemimpin kedua datang ke rumahnya untuk merayakan kejayaan sebagai pemimpin.

Pemimpin kedua sangat kagum pada rumah dan semua perabot di dalam rumah yang serba mewah itu dan bertanya bagaimana dia membiayai itu semua, “Kau lihat balai raya di tengah padang itu? Kata pemimpin pertama “50%”.

Pemimpin kedua mengangguk-angguk kepalanya tanda faham bahawa 50% daripada peruntukan balai raya tersebut masuk ke dalam poket si pemimpin pertama.

Beberapa bulan kemudian, pemimpin kedua menjemput pemimpin pertama ke perasmian rumah barunya.

Pemimpin kedua sangat kagum pada rumah tersebut dan bertanya bagaimana dia mendapat wang membina rumah bagaikan istana itu. “Sahabatku, lihat di sungai itu” katanya sambil memperlihatkan pelan jambatan besi. “Tetapi saya tidak melihat jambatan di sungai itu” kata sang pemimpin pertama sambil langsung dijawab oleh pemimpin kedua sambil berbisik di telinganya “100%!”

Kedua-duanya ketawa terbahak-bahak kerana saling memahami kelicikan hati mereka berdua. Memang lucu, tapi mahukah kita pemimpin seperti ini. Atau mahukah kita meniru pemimpin ini untuk menjadi tauladan bagi kehidupan harian kita pula?

Yesus adalah pemimpin paling agung yang pernah kita dengar di dunia ini. Injil pada hari ini memperkatakan tentang-Nya “Gembala Yang Baik” sebagai model kepimpinan kita.

Kisah sejarah mengenai latar belakang Gembala Yang Baik dalam Injil hari ini sebenarnya berdasarkan kitab Yehezkiel bab 34, di mana nabi diberi kuasa untuk melawan pemimpin-pemimpin (gembala-gembala) Israel yang lebih mementingkan diri mereka. Pendek kata, pemimpin-pemimpin yang mengambil kesempatan mengaut keuntungan semasa mereka memegang kuasa.

Bagi mereka yang berpura-pura menjadi pemimpin, Yesus menegaskan bahawa Dialah pemimpin yang perlu dicontohi. Yesus memberikan tiga sifat asas yang perlu dimiliki oleh seorang pemimpin yang tulen – berdedikasi, mengenal orang-orang yang dipimpinnya dan berdikari.

Sifat pertama, berdedikasi. Sebagai seorang gembala yang baik, dia hendaknya bersedia mengorbankan diri demi orang-orang yang dipimpinnya. Tidak seperti pemimpin-pemimpin biasa yang biasanya mengambil banyak kesempatan untuk menambah kekayaan diri sendiri daripada menjaga kesejahteraan orang-orang yang dipimpinnya.

Sifat kedua, mengenal orang yang dipimpinnya. Pemimpin yang tulen adalah pemimpin yang kenal dan dikenali oleh orang-orang yang dipimpinnya. “Mengenali” bererti memenuhi dan mengetahui keperluan- keperluan asas orang-orang yang dipimpinnya.

Sifat ketiga, berdikari. Jika kita perhatikan dengan lebih, apabila Yesus menyelamatkan kita, Dia tidak menggunakan kuasa ilahi-Nya. Dia mengalami kesengsaraan dan akhirnya mati sebagai seorang manusia, bukan dengan cara keajaiban atau cara olok-olok sahaja. Inilah sebabnya mengapa Yesus meninggalkan murid-murid-Nya tanpa apa-apa peninggalan daripada-Nya sebagai bantuan untuk mereka meneruskan karya penyelamatan-Nya.

Dengan berbuat demikian, Yesus pasti mempunyai alasan-alasan yang kukuh. Dia sebenarnya mengajar kita bahawa seorang pemimpin yang sejati tidak seharusnya melakukan segala sesuatu secara bersendirian.

Seorang pemimpin yang baik sentiasa memberi semangat dan dorongan kepada pengikut-pengikut-Nya untuk mengambil peranan betapa sedikit pun kemampuannya. Supaya para pemimpin dapat berkata, “Bukan saya sahaja membangun Gereja, kampung dan Negara ini tetapi juga kamu, dengan keringat dan segala kekhuatiran kamu.”

Sifat kepimpinan Yesus memang menarik untuk dipelajari dan sebenarnya tidak sukar juga untuk ditauladani. Berdasarkan maklumat-maklumat yang kita perolehi di dalam Injil, terdapat tiga jenis kekuatan kepimpinan yang dimiliki-Nya.
— Kekuatan kawalan kendiri yang kuat dalam menghadapi apa juga keadaan.
— Kekuatan untuk melakukan apa yang difikirkan dan dikatakan-Nya.
— Kekuatan untuk berhubungan dengan segenap lapisan masyarakat.

Kemungkinan pada ketika ini kita hanya mempunyai satu atau dua kekuatan kepimpinan tersebut. Namun kejayaan di dalam apa juga bidang pengurusan, memerlukan ketiga-tiga kekuatan tersebut. Misalnya seorang guru mempunyai kekuatan kawalan kendiri dan kekuatan melakukan apa yang difikirkan dan dikatakannya, tetapi lemah dalam kekuatan perhubungan sosial! Maka nilai kerjayanya sebagai seorang guru pasti kurang dan terhad.

Demikian juga betapa sering kita mendengar kejatuhan pemimpin-pemimpin politik yang mempunyai kekuatan perhubungan sosial dan kekuatan melakukan apa yang difikirkan dan dikatakannya tetapi sangat lemah dalam kekuatan kawalan kendiri.

Akhirnya kita semua sebenarnya mahu mencari pemimpin yang rela ‘bekerja di ladang yang mengarah pada hasil tuaian yang lumayan’ serta mengiktiraf bahawa tempat kerja/pejabat di mana sebahagiaan besar daripada kita menghabiskan masa kehidupan harian di sana, adalah sesungguhnya tempat yang suci dan ‘tanah yang subur’ yang perlu dihormati dengan sikap dan sifat yang bersih, cekap dan amanah serta “melayani bukan untuk dilayani”. -- JL

Total Comments:0

Name
Email
Comments